no comments

TIPS RAPAT DENGAN SUPERVISOR

Anda baru mendaftar. Dalam surat penerimaan anda sebagai pelajar siswazah, tercatat nama penasihat anda. Penasihat anda ini akan menasihati hal-hal berkaitan kerja kursus dan besar kemungkinan dia juga akan ada namakan sebagai SV anda nanti. Ada IPTA yang terus menamakan SV supaya mudah untuk anda berusrusan sejak berjumpa pertama kali.

Katakan hari ini anda akan bertemu dengan SV anda buat pertama kali. Ternyata SV anda kelihatan hensem tetapi agak serius, ditambah dengan rambutnya yang disikat rapi, kelihatan semakin menipis, tak seperti Einstein yang rambutnya dibiarkan mengerbang tak terurus.

Tolonglah bagi tips sikit, camner nak kamcing dengan SV ni?

Tips? Susah hendak bagi tips  sebab SV ni, macam-macam style ada. Macam ASTRO, semua ada.

SV ada pelbagai warna.

Ala, bagi ler yang basic-basic jer. Jangan sampai saya jumpa SV first time dah kantoi.

OK, basic-basic saja tau.

Sebelum jumpa SV:

Tahu nama penuh dan panggilannya. Macam Prof., Dr., Dato’ atau Datin ker. Jangan main bedal jer macam En. Dekan ker (jika SV anda Dekan) atau main pukul rata semua anda panggil Prof.

Tahu kepakaran SV anda. Baca resume (jika ada) atau artikel terkini SV anda supaya anda tahu kecenderungan SV anda.

Jangan tanya soalan macam, “Prof. ni pakar bidang aper?”. Nampak sangat anda tak ada soft skill komunikasi langsung. Bonus jika anda tahu university tempat SV anda dapat Master dan PhD dulu.

Apasal nak tahu semua tu?

Anda tanyalah, camner Prof. belajar di obersi dan perbezaan zaman dulu dan sekarang, sebagai pembuka bicara.

Silap hari bulan, dia terus ajak anda pergi kantin, pekena roti canai sambil bercerita tentang kehebatannya.

Maybe ada baiknye juga jika tanya senior akan peel SV anda tersebut, mana tahu boleh membantu anda bersedia dengan kerenah dan kehendak serta style supervision SV anda. Namun saya yakin, senior anda tak sama dengan anda. Jika mereka hadapi kesulitan dengan SV tersebut, tidak semestinya anda akan menghadapi perkara yang sama.

Alamak, semua tu kena tahu ker?

Mesti ler supaya anda tahu siapa yang anda nak bawak berbincang tentang tesis anda nanti, dan SV anda mesti respek sikit kat anda sebab anda ada inisiatif dan ambil tahu bukan sahaja kajian anda tetapi tahu latar belakang akademik dan kajian SV anda juga.

Anda pun boleh puji SV anda dengan kata-kata, “Tahniahlah Prof., banyak paper yang Prof. tulis tentang…” dan “Tahniah juga Prof. graduated dari Stanford, US. Dahsyat university tu, bukan calang-calang orang boleh blaja kat sana tu!”.

Semasa berjumpa:

Sebaik sahaja jumpa SV, perkenalkan diri dan jangan sesekali menunjukkan anda takut, malu-malu arnab, konon-kononnya nak humble la.

Prof., saya ni lemah sikit bab-bab research ni. Tu pun saya main-main apply jer, tup-tup dapat cuti belajar. Kalau Prof. tak tolong, jawabnya terlingkuplah saya. Tolong yer Prof.

Jika itulah ucapan anda, separuh nyawa SV dah melayang tengok anda dan hilang respect dia pada anda!

Juga jangan sesekali tergedik-gedik depan SV anda walau apapun tujuan anda, apatah lagi dengan tujuan mendapat special attention, sebab hubungan anda adalah hubungan professional.

Soalan wajib dari SV yang anda kena prepare, “Apa kajian yang anda nak buat?”.

Jawablah dengan menunjukkan anda academically competent dan telah pun mengetahui isu-isu asas yang berkaitan dengan kajian anda seperti saranan dalam Tajuk 1.

Jangan ler jawab macam budak-budak:

“Saya dah lama tak puas hati bidang pertanian tersisih sebagai kerjaya pelajar. Jadi saya memang nak kaji masalah guru-guru sains pertanian yang tak kompeten ni”.

“Abis, apakah isu terkini dalam kajian semasa berkaitan hal ini?”.

“Emmm, saya belum baca lagi Prof., dan saya pun tak pasti”.

“Apa pandangan Prof. dengan kajian saya ni?”

Banyak cantik, anda pula yang tanya SV !

Jadi, tunjukkan bahawa anda bersedia untuk memikul tanggungjawab secara berdikari dalam membuat kajian anda, bermakna anda tidak hanya meminta pandangan tanpa anda terlebih dahulu membaca, memahami dan membuat homework.

Ingat, membuat kajian bukan untuk menyelesaikan masalah ketidakpuasan hati anda. Ketahuilah apa yang berlaku dalam dunia penyelidikan yang berkait dengan kajian anda.

Jawablah seperti:

“Prof., saya dah baca terdapat dua theory berkaitan kajian saya. Kalau saya masukkan satu lagi IV seperti…, bagaimana pandangan Prof.?”.

Bukannya:

“Susahlah Prof., saya jumpa banyak teori tapi mana satu saya nak ambil pun saya tak tahu. Prof. tahu tak? Boleh Prof. bagi tau tak mana yang saya patut pilih?”.

Walaupun anda telah ikut tips di atas, ada kalanya akan timbul conflict antara anda dan SV seperti “Saya selalu tak setuju dengan SV saya. Dia suruh saya buat macam-macam, tensionnyer. Mentang-mentanglah saya ni student, dia tak tahu kita pun ada macam-macam masalah”

Jangan gabra dulu, tak semua SV suruh bermakna “anda kena ikut”. Ini satu hint supaya anda betul-betul pastikan apa yang anda patut buat. Selalunya bila SV suruh buat dan tambah itu ini, anda hanya “menurut perintah”, sedang SV anda maksudkan supaya anda memahami dahulu apa yang anda tulis.

Jadi anda akan terus fikir SV anda suka mengarah anda buat itu ini, sedangkan SV anda mahu anda tunjukkan yang anda tahu apa nak buat dan pertahankannya, bukan cuma pasrah sahaja dan tak yakin apa yang anda buat. Anda jugalah yang akhirnya tension.

Ini le sebabnya anda perlu betul-betul dalami LR bidang kajian anda supaya anda yang lead the discussion with your supervisor, bukan sebaliknya ! Selalunya SV hanya ada idea, not the details, so dia suruhler anda buat macam-macam sedang anda sendiri pun tak sure, especially bila kajian anda baru bagi SV anda, tetapi anda pulak percaya SV anda tahu semuanya.

Tips ini maybe lebih relevan jika SV anda masih muda belia, masih baru dapat PhD. Baru balik obersi, kontena barang garage sale dia pun belum sampai Pelabuhan Klang lagi, tapi perlu mengekalkan “ego” sebagai SV yang baru balik obersi. Sedangkan SV anda sendiri pun tidak familiar dengan kajian anda, so dia pun suruhlah anda buat apa sahaja. Itu mungkin style SV yang akan anda temui.

Jangan tak tahu, ada SV yang baru graduated yang buat qualitative, tak tahu pun amende Cronbach’s alpha, sebabnya SV pun macam anda juga, bukan dapat title “Dr” jer terus tahu semua perkara! Kalau yang dah otai tu, maybe tak ler macam tu.

Jika anda betul-betul pasti, tahu apa yang anda buat, berikan justifikasi anda dengan yakin dan mantap, pasti SV anda akan membantu anda memantapkan lagi apa yang anda ketahui sebab anda dah sediakan asas yang kukuh. Anda kena baca Tajuk 1 untuk memahami apa yang saya maksudkan.

Sentiasa maklumkan progress anda. Jangan sampai SV terlupa yang anda wujud sebagai supervisee sebab dah berkurun lama anda menyepi, langsung tidak memaklumkan apa-apa perkembangan tesis anda.

Selepas berjumpa SV:

Hubungi SV anda secara consistent dengan email. Jangan hanya menghantar email selepas anda terdesak, inginkan tandatangan, nak defer, nak kawin, nak bersalin, ataupun hanya bila berhadapan masalah. Itu perangai buruk!

Minta jasa baik SV anda maklumkan jika beliau tiada di pejabat dalam tempoh yang lama, seperti pergi luar negara atau menjalankan research outstation.

Keywordnya adalah keep in touch consistently with your SV!

Paling ideal, aturkan pertemuan berkala dengan SV anda. Minta SV aturkan masa dan cadangkan waktu yang sesuai. Jangan anda pula yang ponteng dan memberi pelbagai alasan anda tidak hadir, contohnya pertemuan dalam tempuh dua minggu sekali.

Ingatkan SV anda sehari sebelum meeting anda dengan SV, manalah tahu SV anda ada agenda pejabat yang tak dapat dielakkan.

Pastikan anda membuat progress setiap kali perjumpaan. Jangan beri alasan tak sempat buat itu dan ini. Ini hanya akan merendahkan pandangan SV terhadap kemampuan anda.

Terus terang jika ada perkara yang anda inginkan kepastian sebelum perjumpaan supaya anda dapat tunjukkan apa yang anda lakukan, bukan bertanya itu dan ini untuk kepastian semasa perjumpaan, mengabihkan elektrik sahaja kalau macam tu.

SMS sekali-sekala kepada SV anda bertanya khabar secara ringkas, terutama sempena hari raya ker, Merdeka ker, apa-apalah, sebagai bukti ANDA MASIH WUJUD, belum lagi pupus macam dinasour! Maklumkan juga secara ringkas perkembangan thesis anda.

Jangan bertanya sesuatu yang anda sebenarnya belum lagi mencuba untuk menyelesaikannya. Tunjukkan anda telah pun mencuba tetapi masih belum dapat mengatasi sepenuhnya.

Jangan tanya soalan basic yang anda patut explore sendiri seperti “Macamana saya nak cari journal?”, “Kat mananyer saya boleh jumpa journal ini?”, “Kalau tak baca journal tak boleh ker Prof.?”.

Ini hanya akan memalukan diri anda sendiri.

Ingat, SV bukan mentor anda, ini bukan hubungan mentor-mentee, macam pelajar undergraduate. Ini adalah hubungan professional, so be professional!

Jangan mengadu masalah peribadi. Ntah-ntah SV anda lagi banyak masalah peribadi. Jangan ceritakan hutang anda dan lain-lain, atau hal anak-anak anda. SV bukan saudara-mara anda! Jangan minta simpati pulak. SV juga bukan kaunselor atau kawan anda. Jangan ceritakan stress anda sebab SV anda juga mungkin lebih stress, hik hik.

Juga sayugia diingatkan.

Jangan hantar thesis tanpa edit kepada SV anda. Pastikan tiada spelling error. Jadual tak ada tajuk, muka surat tak betul, ini akan menyakitkan saja hati dan mata SV ibarat terkena selumbar apabila membaca thesis anda. Memang nak kena budak ni!

Tolonglah, SV juga bukan editor anda. Walaupun ada yang kesian dan baik hati membantu juga mengedit sedikit sebanyak di sana sini, tapi menjadi tanggungjawab anda pastikan kesempurnaan aspek teknikal draf yang anda hantar kepada SV anda!

OKlah, saya minta diri dulu. Tips kat atas tu basic jer, kalau anda tak boleh ikut juga, baik anda buat kerja lain jer lah. Jangan buang masa dan duit dan tenaga.

Sumber : Dr. Othman Talib

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL