no comments

Tips mendapat PhD dalam tiga tahun

Bagaimana Untuk Berjaya Mendapat PhD Dalam Masa 3 Tahun Dan Tiada Pindaan Tesis Selepas Viva?

“Saya diminta untuk berkongsi pengalaman bagaimana boleh berjaya mendapat Ijazah PhD tanpa pindaan dan mengikut tempoh pengajian. Saya akan bermula dengan Bab 1: Pendahuluan terlebih dahulu untuk posting pertama dalam bab ini.” – Prof. Mohamed Azam Mohamed Adil

 

Pendahuluan

 

Beberapa persoalan mesti dijawab terlebih dahulu sebelum memulakan pengajian PhD:

 

  1. Kenapa anda mahu membuat PhD?
  2. Apakah ia merupakan sebahagian kehendak universiti atau organisasi tempat anda bekerja?
  3. Apakah ia untuk kepuasan diri anda?
  4. Apakah ia untuk kerjaya akademik anda?
  5. Apakah kerana anda mahu gelaran ‘Dr’?

 

Ini kerana, menurut Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim:

 

“PhD merupakan suatu proses unik. Ramai yang mencuba untuk mendapatkannya, tetapi ramai yang kecundang. Mereka yang berjaya pula melalui pelbagai halangan. Ada orang mengatakan ia suatu proses yang cukup perit dan meletihkan.”

 

Sambung Prof Dr Muhd Kamil lagi:

 

“Terlalu sedikit yang dapat menyiapkan pengajian mereka tepat mengikut jadual. Apatah lagi untuk mencari mereka yang tamat kurang daripada tiga tahun. Ia boleh bilang dengan jari.”

 

Memang benar, bilangan mereka yang memperolehi PhD dalam masa 3 tahun amat sedikit. Lazimnya, ia mengambil masa sehingga 4 tahun. Tetapi ramai juga yang mengambil masa lebih lama. Setahu saya, ada yang mengambil masa sehingga 10-12 tahun!

 

Saya tiada data terkini tetapi semasa sebelum saya dipinjamkan ke IAIS dari UiTM pada tahun 2013, terdapat beberapa pensyarah semasa itu yang berjaya menyiapkan PhD mereka kurang atau dalam tempoh 3 tahun. Antaranya ialah Prof Kamil (siap PhD 24 bulan tetapi serah tesis dalam masa 32 bulan di University of Bongor, Wales, UK), Prof Faizah Darus dalam tempoh 36 bulan dari Fakulti Perakaunan, UiTM Shah Alam, Prof Ismail Masiron, Fakulti Kejuruteraan Elektrikal, UiTM dalam masa 36 bulan dan Prof Roshidi Hassan, UPM dalam tempoh 33 bulan.

 

Saya sendiri tidak dapat mencapai rekod ini kerana bertukar penyelia di awal tahun ketiga pengajian di SOAS, University of London. Prof Andrew Harding memaklumkan bahawa beliau akan berhijrah ke Canada semasa saya bermula bab terakhir penutup tesis PhD saya. Terkejut dan takut menerima berita ini kerana ia akan melambatkan lagi tempoh pengajian saya dengan penyelia baru.Tetapi Allah Maha Besar, penyelia baru Ian Edge seorang Barrister cum lecturer in Islamic Law di Law Department, SOAS, telah mengambil tugas dengan baik walaupun agak sukar untuk berjumpa dengannya mengikut jadual dek kerana beliau sibuk dengan kes-kes dengan anak guamannya.

 

Beliau memohon saya menyerahkan tesis yang telah siap satu bab setiap kali pertemuan yang memakan masa selama 6 bulan. Saya masih ingat penyelia saya berkata, ‘I can’t read the entire thesis within a month’. Akhirnya, saya dapat menyerahkan tesis saya melalui sahabat karib saya Dr Basaruddin Ahmad Ahmad USM ke Senate House, University of London pada 13 Julai 2005. Asalnya saya mahu menyerahkan tesis itu pada 7 Julai 2005 tetapi kota London lumpuh akibat terdapat beberapa kejadian bom di stesen Tube London dan beberapa bas dua tingkat. Saya tidak boleh keluar ke kota London akibat bom tersebut. Tiket untuk balik ke Malaysia telah dibeli oleh UiTM pada 9 Julai 2005 dan saya terpaksa balik juga atas sebab yang tidak boleh dielakkan.

 

Untuk mendapat kejayaan PhD tanpa pindaan tesis yang dibuat adalah rezeki dari Allah. Saya pun tidak menduganya. Mungkin kerana faktor untuk mencari pemeriksa luar dan dalam yang memakan masa yang lama dan juga penukaran penyelia di awal tahun ketiga pengajian, penantian 10 bulan untuk viva, Allah anugerahkan kejayaan tesis saya tanpa pindaan, Alhamdulillah.

 

Saya mengenali beberapa kawan lain yang turut berjaya memperolehi PhD tanpa pindaan terhadap tesis mereka. Antaranya ialah Prof Kamil (dulu Fakulti Perakaunan,UiTM dan Universiti Taibah, Madinah, kini UniKL) dan Dr Mohammad Rizal Salim (dulu Fakulti Undang-undang, UiTM kini University of Notingham Malaysia).

 

Mungkin kita tidak mengetahui bahawa Prof Dato’ Dr Ahmad Murad Merican (dulu UiTM, kemudian UTP dan USM, kini ISTAC-UIAM) juga tidak kurang hebatnya. Saya mengikuti ruang penulisan mingguannya dalam NST suatu masa dulu yang sungguh bernas. Beliau bukan sahaja dapat menyiapkan tesis PhDnya kurang dari 3 tahun, malah lulus tanpa pindaan dengan viva yang hanya mengambil masa 35 minit. Perlu ditekankan bahawa beliau membuat PhD secara sambilan bukan sepenuh masa.

 

Tip untuk berjaya dalam tempoh tiga tahun dan tanpa pindaan akan saya kongsi dalam posting yang lain.

 

Nukilan oleh Prof Kamil saya akhiri untuk posting kali ini:

 

“Proses mendapat PhD merupakan suatu kisah kehidupan. Ia mengakibatkan pelbagai perubahan sama ada fizikal mahupun emosi. Rambut yang hitam boleh menjadi putih atau yang lebat menjadi jarang. Ada yang pergi bersama keluarga, tetapi pulang bersendirian. Ada yang kehilangan suami dan ada pula yang terpaksa mencari isteri baru. Ada yang pergi mempunyai seorang isteri, balik dua isteri. Ada yang pergi punya ayah ibu, bila balik jadi yatim piatu”.

Sumber : Mohamed Azam Mohamed Adil

Daripada : Team MPWS

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL