no comments

Pernah menangis hilang pendengaran, graduan OKU bangkit genggam PhD

“Air mata saya mengalir bila tiba-tiba tak dengar bunyi air, angin”. Itu luahan graduan, Dr Mohamad Zuber Ahmad Majid, 31, yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) Pendidikan (Ekonomi), Fakulti Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurutnya, beliau mula hilang deria pendengaran pada tahun 2013 ketika masih dalam pengajian di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selepas menjalani pembedahan pada kedua-dua telinganya akibat penyakit ‘bilateral cholesteatoma’.
“Pembedahan itu dijalankan ketika saya di tahun akhir sebagai pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) di UMT dan selepas itu, saya hilang deria pendengaran selama tiga bulan.
“Tapi saya tak tangguh belajar dan masih boleh menamatkan pada masanya, cuma saya konvo dalam bilik bedah ketika itu,” katanya
Mohamad Zuber yang merupakan graduan kurang upaya (OKU) pendengaran mengakui sukar menerima keadaan dirinya ketika itu lebih mendiamkan diri daripada bersosial dengan orang lain.
Bagaimanapun, beliau nekad untuk terus melakukan aktiviti harian seperti biasa tanpa dibatasi kekurangan dirinya.
Menurutnya, pendengarannya kembali selepas tiga bulan apabila beliau terdengar suara pemberita di televisyen ketika sedang sujud menunaikan solat Isyak.
“Dulu bila saya lihat orang sekeliling, saya akan fikir orang melihat kekurangan saya.
“Tapi saya tanam dalam diri saya bahawa saya bukan OKU kerana saya bertindak sama seperti diri saya yang dulu,” katanya berasal dari Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Mohamad Zuber ketika melanjutkan pengajian di UKM turut dilantik sebagai presiden Sekretariat Mahasiswa OKU (SMAKU) yang bernaung di bawah Unit Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UKM.
Menurut beliau, sekretariat tersebut ditubuhkan bukan sahaja menjaga kebajikan mahasiswa OKU, tetapi juga pekerja yang senasib dengan mereka di UKM, selain memperkasakan pelajar OKU dengan mengadakan pelbagai aktiviti bersama pelajar yang lain.
“Sebelum ini, pelajar OKU kurang terlibat dalam pengurusan aktiviti kampus, kita tidak mahu budaya itu.
“Kita nak memperkasakan mereka supaya mempunyai sifat kepimpinan dalam sesebuah program dan menggalakkan golongan ini keluar daripada zon selesa untuk membina jati diri,” katanya.
Mohamad Zuber sering berpesan kepada pelajar OKU yang lain supaya tidak membiarkan orang lain melihat kekurangan mereka.
Kata beliau, selain motivasi daripada rakan-rakan, keluarga juga perlu memainkan peranan untuk terus menyokong pelajar OKU supaya tidak meraih simpati daripada orang lain dan terus berusaha mencapai cita-cita.
“Saya selalu berpesan kepada pelajar OKU yang lain supaya jangan biar orang pandang kita (OKU) sebabkan kekurangan kita dan tidak terlalu meminta simpati orang lain.
“Bila kita buat ikut keupayaan kita, orang akan nampak,” katanya.

Sumber: Engku Shariful Azni

Daripada: Team MPWS

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL