no comments

8 tahun tak patah semangat, wanita ini tetap dapat PHD

Lapan tahun untuk mendapat gelaran doktor falsafah (PHD) bukan tempoh yang pendek. Tanpa kecekalan, mungkin ramai yang terkandas di tengah jalan.

Setelah sekian lama mengharungi cabaran dalam perjalanan PhD seorang ibu berjaya mengharungi jerih payah itu. Dia membuktikan sokongan orang sekeliling amat penting.

Di sebalik kejayaan seorang lelaki ada wanita di belakangnya.

Tetapi bagi pelajar Sains Gunaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Nor Farhana Jasmi, keadaan yang berlaku adalah sebaliknya.

Pelajar kampus Jengka, Pahang itu beruntung didukung kuat oleh sang suami, Fairuzzaman Shaharuddin.

“Isteri aku ambil jubah harini. Aku bangga gila dengan dia. Lapan tahun beb nak habiskan belajar.

“Dari dia bujang, kahwin, kerja, ada anak, mati anak, ada anak balik (baru dapat PHD),” dedah Fairuzzaman, minggu lalu selepas Farhana mengambil jubah konvokesyennya.

Tulisan di Twitter itu memberi inspirasi kepada banyak pihak sehingga diulang ciap lebih 16,000 kali.

Satu tempoh paling sukar di tahun-tahun akhir pengajiannya selepas kematian anak sulung mereka Dewi Faleesya Fairuzzaman ketika masih bayi akibat tersedak susu.

Dewi Faleesya meninggal dunia ketika bawah jagaan sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Kota Kemuning, Shah Alam pada 25 Jun.

Mereka bagaimanapun mendapat cahaya mata baru pada Julai lalu.

Mengimbas kembali perjalanan panjangnya dalam dunia akademik itu, Farhana berkata dia pada mulanya mendaftar pengajian PHD secara sepenuh masa tetapi kemudian menukarnya kepada separuh masa.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Nana mengakui cepat mengalah.

Pensyarah ke pejabat, pujuk habiskan belajar

Bagaimanapun, nasibnya agak baik apabila orang bukan sahaja suami tetapi penyelianya sendiri memberi sokongan penuh.

“Tapi perjalanan PhD saya bukanlah cemerlang seperti yang lain. Saya adalah pelajar yang sering rasa cepat mengalah.

“Terutamanya hilang anak di saat betul-betul di hujung pengajian saya, sampai penyelia saya datang cari saya di office untuk pujuk saya supaya habiskan.

“Suami pun banyak beri nasihat dekat saya dan dia nampak jatuh bangun hingga hujung penamat saya.” katanya kepada Malaysiakini.

Fairuzzaman, 31, pula mendedahkan dia kerap memujuk Farhana menghabiskan pengajian, termasuk memujuk dan mmeberikanya kelonggaran untuk melakukan kerja rumah.

“Setiap kali dia kata nak berhenti saya pujuk dia setiap hari.

“Sampai saya pesan dekat dia supaya tidak perlu masak, tidak perlu buat kerja rumah hanya perlu fokus kepada kerja dia sahaja,” katanya.

Bukan itu sahaja, sang suami kadang kala tampil membancuh kopi kepada isterinya yang berjaga malam untuk menulis tesis.

“Pernah malam itu aku nampak dia menitik-nitik air mata sambil buat pembetulan (tesis). Saya pun bancuh Nescafe bagi dia minum,” katanya.

Farhana sekarang merancang untuk teruskan kerjaya dalam bidang yang diceburi.

“Saya sekarang menceburi pekerjaan dalam industri geoteknikal, khususnya prefabricated vertical drain (PVD). Saya dalam jabatan kawalan kualiti dan makmal ujian.

“Jadi perancangan saya untuk terus mengumpul pengalaman dan dalam masa sama memberi sumbangan sebanyak yang ada buat syarikat yang saya bekerja sekarang,” katanya

Farhana akan menghadiri istiadat konvokesyen Sabtu itu.

SUMBER: https://www.malaysiakini.com/news/494245

Nor Farhana Jasmi

Dari : Team MPWS

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL