no comments

Tips Umum : Bagaimana Menyelesaikan Pengajian PhD

Doktor Falsafah

PhD adalah suatu ungkapan yang bermaksud Doctor of Philosopy (dalam Bahasa Inggeris). Ianya adalah suatu proses penghasilan cabang ilmu yang novel atau baru yang belum diketahui atau dijumpai oleh orang lain. Selain daripada itu mereka yang menghasilkan PhD ini haruslah perlu membuktikan bahawa hasil kajian/karya yang dihasilkan adalah semata-mata dari pelajar tersebut, iaitu tidak mencedok dari mana-mana bidang ilmu yang dikaji sebelum ini.

Tesis akhir yang dihasilkan adalah dengan melalui kajian yang boleh dibuktikan secara saintifik. Hasil kajian yang novel atau unggul ini kemudiannya disampaikan dalam bentuk penulisan karya yang bermutu tinggi yang pada akhirnya akan disahkan oleh pemeriksa-pemeriksa dalaman dan luaran yang berkemahiran tinggi dalam bidang yang dikaji itu.

Sungguhpun pernyataan-pernyataan yang ditulis dalam tesis tersebut boleh memetik pandangan dan kajian luar, namun  setiap petikan tersebut haruslah ‘disebut’ (cite) penulisnya agar tesis berkenaan tidak dianggap meniru hasil kajian lain atau istilah lain plagiarism. Mana-mana pelajar yang dianggap melakukan plagiarism akan dikenakan tindakan yang hebat serta tidak diakui karyanya atau ditarik balik ijazah yang diberi.

 

Memilih Penyelia

Sebelum seseorang memasuki alam pengajian ini, beliau seharusnya memilih seorang (atau 2 orang) penyelia yang berkemahiran dalam bidang yang ingin dikaji. Selalunya pelajar tersebut perlu menghantar proposal pendek supaya dibaca oleh penyelia yang ingin dipilih dan sekiranya ianya bersesuaian, pelajar ini mungkin diterima untuk menjadi pelajar yang diselia oleh penyelia yang dipilih tadi.

Proses pemilihan penyelia ini amat penting kerana pelajar perlu ingat , beliau akan diselia oleh penyelia tersebut untuk 3 atau 4 tahun yang berikutnya. Pemilihan  penyelia ini tidaklah mudah kerana ada kalanya di suatu universiti yang berprestij belum tentu ada seorang pensyarah yang berkemahiran untuk menjadi penyelia dalam bidang yang ingin dikaji. Kalau pun ada, mungkin pensyarah itu sudah mempunyai terlalu ramai pelajar untuk diselia .

Sekiranya seseorang itu telah menemui seorang pensyarah yang berkemahiran di bidang yang ingin dikaji dan telah pun mempunyai banyak pengalaman menyelia pelajar PhD sehingga berjaya sebelum ini, maka anggaplah beliau adalah pelajar yang sangat beruntung. Menjadi seorang pelajar yang diselia oleh seorang penyelia perlu juga ada kemahiran tersendiri. Anda tidaklah boleh menjadi pelajar yang terlalu taksub dengan idea tersendiri dan tidak mahu mendengar nasihat yang diutarakan oleh penyelia, dan pada masa yang sama anda haruslah sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam menyudahkan kajian tesis anda.

 

Disiplin & Pengurusan Masa

Apa yang penting dalam penghasilan tesis yang baik serta dapat diserahkan dalam waktu yang ditetapkan atau GOT (Graduate on Time) ialah pengurusan masa yang baik serta berjadual. Pelajar juga perlulah mempunyai pembacaan yang meluas dalam bidang yang dikaji, menjalankan kajian yang terbukti mempunyai teknik saintifik yang betul (scientifically proven). Akhirnya segala dapatan dari kajian yang dihasilkan perlulah diterjemahkan dalam bahasa ilmiah yang bermutu.

Tidak dinafikan berbagai rintangan mungkin didapati sewaktu perjalanan menghabiskan PhD, namun pelajar haruslah tahu serta bersemangat tinggi cara menangani masalah atau kesulitan yang akan datang. Tidak kurang juga para pelajar mungkin mengalami masalah peribadi, namun pelajar tersebut haruslah cekal untuk memastikan beliau meneruskan perjuangan agar ianya tidak berhenti di pertengahan jalan. Selalunya penyelia yang akan menentukan samada tesis yang dihasilkan telah lengkap dan boleh dihantar untuk dinilai oleh pemeriksa sewaktu ujian terakhir atau dikenali sebagai viva.

Pelajar perlu juga mendapat sokongan yang jitu dari kawan-kawan terutama mereka yang sama-sama berada dalam pengajian ini. Tidak dinafikan juga sokongan keluarga amat penting agar pelajar tidak dibebankan masalah secara bersendirian. Sokongan penyelia juga amat penting kerana beliau mampu memberi input, nasihat, ilmu , dan sokongan yang amat diperlukan oleh pelajar-pelajar PhD. Tidak dinafikan sokongan spiritual contohnya pelajar yang beragama Islam boleh mendapat ilham, ketenangan serta kelapangan dada melalui ibadah-ibadah rutin yang dilakukan setiap hari.

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL