no comments

Tips Lulus PhD Berjuang Dulu Sebelum Menyerah

Terdapat pelbagai usaha dalam meneroka ilmu, antaranya dengan menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD). Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dimiliki, tetapi ia juga tidak mustahil untuk dimiliki dengan jayanya. Setiap mereka yang melanjutkan pengajian ke peringkat PhD pastinya melalui pelbagai pengalaman yang berbeza-beza. Destinasi PhD bermula dengan pencarian peluang, permohonan, pemilihan universiti, pemilihan penyelia (supervisor), pemilihan tajuk/topik dan “ups and downs” dalam menyiapkan tesis sehinggalah berjaya dalam pembentangan akhir (viva). Dengan perkongsian beberapa tip di dalam ruangan ini, diharapkan ia dapat membentuk idea, semangat, motivasi dan perancangan yang rapi kepada pembaca-pembaca sebelum melangkah kaki ke gerbang perjuangan PhD.

1)  Keluar dan cari peluang

“Kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.” Untuk berjaya perlulah keluar dari zon selesa dan rajin mencari peluang yang diinginkan. Bagi yang ingin menyambung pengajian di universiti-universiti luar negara, kalian perlu tahu keperluan asas (requirements) yang diperlukan sebagai contoh tahap minima bahasa Inggeris (IELTS atau TOEFL) dan kelulusan minima yang diperlukan samaada sarjana melalui penyelidikan atau sarjana secara kerja kursus. Ia bergantung kepada polisi dan keperluan universiti yang dipilih. Penganjur biasanya akan meminta pemohon memilih universiti yang tersenarai dalam 200 universti terbaik dunia (QS World Ranking).

2) Pilih Penyelia yang bersesuaian dengan bidang kajian

Ramai pakar yang tersohor dari pelbagai universiti di seluruh dunia yang boleh dijadikan sebagai penyelia untuk kajian PhD. Namun, tidak semua mungkin bersesuaian dengan bidang kajian yang akan dijalankan. Jadi apa yang perlu  kalian lakukan? Tanya kepada “pakcik Google,” baca latarbelakang (pastikan bakal penyelia telah berjaya melahirkan ramai pelajar PhD) dan kajian-kajian yang telah atau sedang dijalankan oleh bakal penyelia yang ingin “disunting.” Jika bersesuaian, mulakanlah dengan menghantar email sebagai tanda berminat untuk “meminang” pakar-pakar tersebut sebagai penyelia kajian. Mereka akan beri maklum balas dalam masa yang singkat sekiranya berminat dengan bidang kajian yang ingin dijalankan. Ia bergantung juga kepada nasib, “untung sabut timbul..untung batu tenggelam.”

3) Penyediaan Kertas Cadangan Kajian yang mantap

Sebelum melangkah ke gerbang PhD, setiap calon perlulah menyediakan kertas cadangan kajian yang mana ia mestilah bersesuaian dengan bidang yang diperlukan oleh penaja atau majikan (universiti). Kalian boleh dapatkan contoh-contoh kertas cadangan dari kawan-kawan yang telah berjaya di peringkat ini. Bukan senang untuk menghasilkan kertas cadangan kajian yang boleh meyakinkan penyelia dan panel. Ia perlu mengandungi permasalah kajian yang jelas dan mengikut tren semasa, matlamat dan objektif kajian yang boleh dicapai dan jangkaan hasil kajian yang akan dijalankan mempunyai sumbangan atau impak kepada bidang akademik dan praktikal secara komprehensif.

4) Jangan ada ‘Gap’ dengan Penyelia

Setelah setahun menjalankan kajian, kebiasaannya setiap calon akan diminta untuk membuat pembentangan mengenai kajian yang dijalankan. Ini adalah peringkat yang paling mencabar. Ini kerana ia akan menentukan sama ada kajian yang dicadangkan diterima untuk ke peringkat seterusnya atau sebaliknya. Oleh itu, sebagai pengkaji, kalian dinasihatkan supaya work closely dengan penyelia. Jangan pula lari daripada penyelia. Ini yang sering berlaku, kalau boleh cuba elakkan jika ingin lulus.

5) Belajar dari pengalaman orang lain

Luaskan kenalanmu. Dalam proses membuat kajian PhD kalian perlu melebarkan jaringan dengan rakan-rakan yang sama-sama membuat PhD dan pakar-pakar di seluruh dunia. Ini kerana perkongsian ilmu dan pengalaman serta pertukaran pendapat adalah sangat membantu dalam pengajian PhD. Ramai yang berpendapat membuat PhD adalah lonely journey, jadi jangan melakukan sendirian kerana dikuatiri akan tersesat jalan. Belajar dari pengalaman kawan-kawan adalah guru terbaik. Kini, dunia tanpa sempadan untuk mendapatkan kenalan cuma jangan “sombong” nanti diri sendiri yang rugi.

6) Yakin dengan kajian yang dijalankan

Sebagai pengkaji di peringkat PhD, kalian perlulah yakin, bersemangat dan passionate dengan kajian yang dijalankan. Dengan kata lain, kalian perlulah menjiwai kajian tersebut. Selain daripada itu, yakin dengan setiap bahan, proses, kaedah, analisis, perbincangan, dapatan dan cadangan yang ditulis di dalam tesis adalah sangat signifikan. Pastikan juga No Plagiarism dalam tesis, boleh semak dengan Turnitin.

7) Rujuk tesis-tesis PhD yang lepas (pastikan yang sah)

Merujuk kepada tesis-tesis PhD lepas dalam membuat penulisan adalah salah satu cara yang sangat membantu dan berkesan. Dengan merujuk kepada tesis-tesis PhD yang telah berjaya dan yang sah, banyak idea-idea yang kalian boleh perolehi antaranya penyusunan bahan-bahan kajian, flow antara bab, perbincangan dalam setiap bab (kritikal, ringkas dan jelas), dan kaedah analisis yang digunakan (contohnya Nvivo, SPSS, Microsoft Excel). Dengan merujuk tesis-tesis lepas, kalian juga dapat mengetahui bahan-bahan rujukan yang sesuai antaranya jurnal, kertas prosiding, laporan-laporan dan sumber-sumber lain yang berkaitan dengan kajian. Apa yang penting bahan rujukan mestilah yang terkini dan tidak outdated.

8) Selidik latar belakang pemeriksa luar (External Examiner)

Biasanya pemeriksa luar akan dilantik setelah mendapat kelulusan daripada pihak universiti. Pemilihan pemeriksa luar ini akan dibuat berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan antaranya ialah kesesuaian bidang kepakaran/kajian, pengalaman dalam bidang akademik dan industri. Adalah perlu untuk membuat analisis serba ringkas mengenai latarbelakang pemeriksa luar. Dengan cara ini, kalian dapat ‘membaca’ jangkaan (expectation) mereka semasa viva nanti. Pastikan bahan untuk pembentangan semasa viva ringkas, padat dan jelas serta informatif.

9) Semak format dan buat “Proof Read”

Proses ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Kalian perlu pastikan penulisan dalam tesis melalui perbincangan (secara kritikal), rujukan dan format dibuat secara konsisten. Kalau tidak ia boleh menganggu “mata” pemeriksa semasa proses penilaian dijalankan. Tesis yang telah lengkap perlulah disemak oleh proof reader yang bertauliah dan mempunyai kelayakan yang ditetapkan. Jangan lupa peruntukkan sedikit wang simpanan untuk tujuan ini.

10) Perbanyakkan amal ibadah dan bersedekah

Memohon keampunan kepada yang maha Esa adalah satu keperluan dalam menyiapkan tesis PhD. Perbanyakkan membaca surah Al-Rahman dan surah Al-Waqiah. Sebagai hambaNya, tambahkan amalan (wajib dan sunat) dan keraplah bersedekah, tidak kira samada dalam bentuk wang ringgit, barang-barang, makanan dan minuman mahupun hanya sekalung doa. “The more you give, the more you get.”

Sumber: News UTHM

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL