no comments

Soal Selidik dalam Penyelidikan

Soal selidik merupakan satu set soalan atau item dalam bentuk tulisan. Ia merupakan satu alat yang dibentuk secara khusus untuk mengumpul maklumat bagi tujuan analisis yang dapat menjawab persoalan kajian. Individu yang membina borang soal selidik ini perlulah berpengetahuan luas agar soalan yang dibina adalah wajar, boleh dipercayai dan tidak dipengaruhi emosi. Pelaksanaan soal selidik memerlukan masa dan pemikiran yang mendalam.

Kaedah soal selidik sering digunakan untuk mengutip data dalam Kajian Tindakan secara formal dan sistematik. Sebaiknya soal selidik dapat memenuhi ciri-ciri berikut:

  • Memenuhi objektif dan persoalan kajian
  • Mempunyai kesahan (validity)
  • Mempunyai kebolehpercayaan (reliability)
  • Praktikal (boleh dilaksanakan).

 

Dua jenis soal selidik yang biasa digunakan ialah:

1. Soal selidik bentuk tertutup

2. Soal selidik bentuk terbuka

 

Soal selidik bentuk tertutup

Soal selidik bentuk tertutup ialah butiran yang mempunyai jawapan pendek seperti `Ya’ atau `tidak’; atau memilih beberapa pilihan yang disediakan. Soalan jenis ini biasanya sesuai untuk memperoleh maklumat tertentu sahaja. Kebaikan menggunakan butiran bentuk tertutup ialah:

  • Boleh dijawab dengan mudah
  • Mengambil masa yang pendek
  • Tidak mengalih pandangan responden daripada tajuk yang disoalkan
  • Berbentuk objektif
  • Mudah disusun dan dianalisis

 

Soal selidik bentuk terbuka

Soal selidik bentuk terbuka mempunyai jawapan bebas daripada responden. Tidak ada `petunjuk’ dibekalkan. Ia bertujuan untuk mendapatkan jawapan yang lebih mendalam termasuk motif-motif yang tersembunyi di sebalik sikap, minat, kecenderungan dan cadangan-cadangan responden. Jawapan-jawapan seperti ini agak sukar untuk ditafsirkan, disusun dan dijadualkan dalam laporan. Walau bagaimanapun jawapan ini mempunyai kebaikan sendiri bergantung pada jenis maklumat yang diperlukan.

 

Panduan membina butiran soal selidik

  1. Beri takrifan kepada perkataan-perkataan yang boleh disalah ertikan.
  2. Elakkan penggunaan adjektif dan adverb yang mengelirukan. Perkataan-perkataan seperti `biasanya’, ‘kadang-kadang’, `jarang-jarang’ memberi pengertian yang berbeza bagi setiap individu. Frasa seperti “berapa kali dalam sehari … ” dan sebagainya boleh digunakan.
  3. Elakkan soalan yang menidakkan perkara yang tidak benar. Misalnya, “Adakah anda tidak bersetuju supaya pelajar tidak disebat di khalayak ramai?” Ya, tidak.
  4. Pilihan-pilihan yang diberi mestilah lengkap. Pilihan “Ya” atau “Tidak” kepada soalan “Adakah anda berkahwin?” adalah tidak lengkap kerana mungkin terdapat individu yang berstatus “duda” atau “janda”.
  5. Bariskan perkataan yang hendak ditekankan.
  6. Elakkan soalan yang mempunyai dua maksud. Soalan seperti, “Adakah anda bersetuju supaya pelajar yang cerdas diletakkan dalam satu kumpulan dan dihantar ke sekolah yang khas?” sepatutnya diasingkan kepada dua bahagian.
  7. Jika responden diperlukan memberi “pemeringkatan” atau bandingan satu poin, rujukan harus diberikan . Soalan seperti, “ Apakah pendapat anda tentang pengajaran guru A?” – Baik, sederhana, lemah – dianggap tidak jelas. Responden harus diberitahu dengan siapa guru A harus dibandingkan, adakah dengan guru pelatih , guru berpengalaman atau guru yang dianggap unggul?

 

Cara Mengendalikan Soal Selidik

  • Uji soal selidik kepada responden daripada sampel yang hendak dikaji. Baiki soalan yang didapati kurang jelas supaya soalan tersebut benar-benar dapat memperoleh maklumat yang diperlukan.
  • Untuk mendapatkan kerjasama daripada responden, beri penerangan tentang tujuan penyelidikan yang dijalankan.

 

Ciri-ciri instrumen soal selidik yang baik

  • sesuai dengan keadaan responden
  • format instrumen yang sistematik
  • arahan yang jelas
  • ujian rintis dijalankan sebelum instrumen digunakan

 

Panduan membentuk item-item soal selidik

  • penggunaan bahasa yang mudah
  • selaras dengan tahap responden
  • elakkan soalan yang sukar
  • soalan yang tidak mempengaruhi pemilihan responden
  • elakkan soalan dwi-maksud
  • elakkan soal selidik yang terlalu panjang
  • elakkan soalan yang kabur
  • elakkan mendorong jawapan yang digemari masyarakat
  • elakkan item yang negatif

 

Sumber: wordpress.com

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL