no comments

Phd: Apakah sebenarnya di sebalik tabir mu?

“Phd adalah satu proses ‘berstrategi’. Individu yang berdisiplin,bersemangat, tahan diuji dan pandai pula melihat ‘ ‘kesusahan’ sebagai ‘peluang’ dan halangan sebagai ‘penolak’ akan berjaya. Kerjayaan atau kegagalan adalah milik kita sendiri. Saya tidak akan membeli ‘alasan’ untuk membolehkan kita gagal.” -Profesor Dr Normah Omar-

 

Kadangkala aku resah memikirkan PhD. Sehari demi sehari, se-akan2 apa yang telah dibuat selama setahun, seperti tidak berapa bernilai untuk dipresentasikan. Bukannya prestasi aku buruk sehingga tiada apa hasil yang membanggakan, tetapi aku rasa tahap keyakinan aku masih lemah untuk meletakkan PhD itu dalam genggaman. Sejurus itu aku terusik, apa sebenarnya PhD ini? Semakin banyak membaca, semakin rasa banyak yang tidak diketahui, semakin rasa terlalu kebelakang diri ini untuk mengejar semula arus intelektual yang deras meneraju dunia akademik kini.
.
Di atas meja aku, penuh dengan journal paper, di rak hadapan ku penuh dengan buku2, yang penulisannya bermula sebelum aku dilahirkan lagi.. yang cuba aku maksudkan ialah, dunia barat yang sedang aku memijakkan kaki ke atasnya ini telah lebih awal menceburi bidang2 kejuruteraan ini dan aku ini ibaratnya baru ingin memulakan perjalanan mengenali dunia kejuruteraan. Mana mungkin aku mampu menguasai semuanya untuk dijadikan tempat berdiri mempertahankan hujah hasil tesis ku nanti.
.
Rasa2 ku, PhD ini tidaklah sangat menguji kehebatan intelektual, tetapi ia lebih mengukur betapa kita matang dalam mengurus intelektual tersebut. Dalam masa yang singkat (3-4 tahun), tak mungkin aku mampu menjadi seorang intelek, tetapi sebaliknya ia cukup untuk ‘mempersiapkan’ diri ku menjadi seorang intelek kelak.
.
PhD tidak seperti disertasi Sarjana Muda mahupun Sarjana yang perbincangan agak tumpul dan tidak sangat berkehendakkan isi-isinya itu benar2 menyumbang kepada dunia pengetahuan (Knowledge). Kemungkinan Tesis Sarjana (Master by Researh) sudah mirip kepada PhD tetapi apa yang membezakannya sudah pasti bagaimana seseorang itu mampu mengolah isi kandungannya secara matang dan bersenikan kemahiran penyelidikan. Semua tulisan itu benar2 asli (original) keluar dari benak pemikiran sendiri berdasarkan pembacaan2 yang padu, sementara sempat menjenguk dan mencuit pandangan2 orang lain yang selagu dan senada untuk dijadikan hujah, seraya cuba meletakkan persoalan dan melontarkan pertikaian sekiranya pandangan itu tidak kukuh berlatar alasan yang relevan.
.
Pembacaan pula tidaklah terlampau mencapah sehingga tiada apa rumusan yang dapat disimpulkan di penghujungnya. “Focused reading”, aku ingat lagi senior ku pernah lontarkannya ke lubuk pemikiran ku sebelum aku melangkah ke sini. 3 tahun yang singkat perlu dipenuhi dengan persiapan yang intensif, fokus dan bersistematik.
.
Hmmmm… sudah ada kah kematangan itu pada diri ku? Aku sedar, kematangan itu kadangkala dipengaruhi oleh faktor umur, tetapi ramai yang seumur dengan ku sudah pun ada yang bergelar Doktor (falsafah) sekarang ini. Cara yang terbaik ialah, berusaha untuk mematangkan diri, daripada aku menunggu kematangan itu datang sendiri menemui tuannya.
.
Kini, lebih kurang setahun aku di sini. Walaupun agak segan untuk aku banggakan diri dengan pencapaian setakat ini, tapi aku syukur dan terharu, sekurang2nya aku sedar bahawa sedikit sebanyak PhD membantu aku untuk terus matang. Kadangkala terasa diri ini lebih cerewet untuk menerima dan memberi pandangan jika ianya tidak dihiasi dengan hujah2 yang kukuh. Pertanyaan kosong yang sangat subjektif sifatnya juga membuat aku tidak suka untuk menjawab kerana ia tidak terfokus dan objektifnya kabur (contohnya”Somacamana sekarang?”)..
.
Dalam menyediakan laporan dan pembentangan, lebih banyak aku habiskan masa dengan menjawab sendiri persoalan2 yang aku timbulkan sehingga kadangkala tidak bergerak apa yang aku usahakan. Dalam perjalanan, pergi balik antara rumah dan universiti, selalu ‘terleka’ kerana asyik cuba menyusun perkara2 yang sepatutnya dilakukan sejurus selepas sampai nanti. Itu kan yang pernah cuba diterapkan oleh ibu bapa kita masa kecil, hidup berdisplinkan jadual harian (tetapi dulu aku selalu malas untuk menjadualkan kehidupan ku sendiri).
.
Apapun, bersedia atau tidak, keputusan untuk aku terus melanjutkan pengajian ke peringkat PhD, sesegera mungkin (dengan keadaan pada ketika itu ramai rakan2 lain belum bersedia dan cuba melengah2kan permohonan PhD) telah pun aku pratikkan suatu ketika dulu, dengan berbekalkan sedikit keyakinan yang agak tegar walaupun kadangkala ia bergoyang dalam menangkis pengaruh rakan yang agak kencang. Lalu, sekarang, bukanlah alasan yang patut aku sajikan, keluhan tidaklah sangat akan melegakan, seharusnya aku terus berlari ke hadapan tanpa perlu berundur.. kita merancang, Allah jua merancang, namun perancangan Allah jualah yang terbaik.. Wallahu’alam..

 

Salam perjuangan buat para pejuang Phd….

 

 

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL