no comments

Persediaan Pascasiswazah Hadapi Realiti Pekerjaan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pembaca sekalian. Apa khabar? Sihat? Diharapkan semuanya berada dalam keadaan sihat walafiat. Pada hari ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua berkenaan dengan satu topik yang sudah tidak asing lagi bagi kita semua iaitu berkenaan dengan peluang ataupun kebarangkalian bagi pascasiswazah dalam mendapatkan pekerjaan setelah tamat belajar. Jadi, mari kita sama-sama membaca perkongsian di bawah mengenai persediaan yang perlu dilakukan oleh golongan pascasiswazah dalam menghadapi realiti pekerjaan.

Bulan Oktober menyaksikan kegembiraan dan kemeriahan mahasiswa menamatkan pengajian baik bagi penuntut universiti awam mahupun swasta. Perasaan ingin bergraduasi pastinya ditunggu-tunggu setelah berhempas pulas menuntut ilmu selama beberapa tahun. Setelah tamat graduasi, pastinya para graduan masih teruja dan gembira dengan kejayaan diri mereka. Garis masa di media sosial masih dipenuhi dengan gambar-gambar hari bersejarah mereka.

Namun begitu, bulan madu buat mahasiswa nyata sudah tamat. Jika universiti diibaratkan seperti istana bagi menuntut ilmu pengetahuan, alam pekerjaan sudah semestinya menjadi kayu pengukur yang sebenar buat mahasiswa agar berjaya menempatkan diri mereka dalam industri pekerjaan. Bank Negara Malaysia (BNM) mengesahkan sebanyak 23% daripada penganggur golongan muda ialah graduan institut pengajian tinggi dengan jumlah statistik 6 dari 10 orang yang menganggur adalah graduan yang berusia di bawah umur 24 tahun.

Jabatan Perangkaan Malaysia mencatatkan kadar peningkatan pengangguran pada tahun 2017 dengan jumlah peratusan sebanyak 3.5% berbanding dua tahun lalu kadarnya di bawah 3%. Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) pula mencatatkan seramai 54,103 orang siswazah universiti menganggur dalam tempoh 6 bulan selepas menamatkan pengajian masing-masing. Carian daripada laman sesawang Jobstreet pula mendapati kebanyakkan punca graduan menganggur adalah datangnya daripada sikap graduan itu sendiri.

Antara persediaan yang boleh dibuat oleh graduan dalam menghadapi realiti dunia pekerjaan pada hari ini adalah dengan memastikan resume kemas dan sentiasa dikemas kini. Kajian mendapati purata kakitangan Sumber Manusia hanya mengambil kira-kira 30 minit untuk meneliti satu resume. Oleh itu, resume yang baik tidak akan memaparkan perkara yang remeh sebaliknya memaparkan maklumat penting. Manakala format resume pula seharusnya diubah mengikut kesesuaian syarikat yang dipohon.

Seiring globalisasi, signifikan menguasai lebih daripada satu bahasa menjadi bonus buat individu bagi menjawat pelbagai jawatan penting yang dipohon. Namun masih ramai graduan lemah dalam penguasaan bahasa kedua iaitu bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian mereka. Untuk melengkapkan diri dengan peluang pekerjaan pada hari ini, graduan seharusnya mengambil peluang untuk mempelajari dan menguasai lebih dari satu bahasa.

Antara lain, graduan harus bersikap cakna dengan corak soalan temuduga. Persediaan yang lengkap sudah semestinya dapat membantu graduan untuk menjawab soalan dengan tenang tanpa merasa risau. Antara soalan yang paling kerap ditanya pada masa kini ialah mengenai perancangan individu dalam jangka masa lima tahun akan datang. Jika graduan menyedari corak soalan tersebut dan dapat memberikan jawapan yang bernas, maka peluang untuk mendapat perkerjaan adalah lebih tinggi.

Kaji selidik mendapati 30% graduan menjangkakan gaji permulaan mereka ialah RM6,500 sebulan dan sebanyak 68% graduan meminta angka gaji dan faedah yang tidak realistik. Hal ini jelas membuktikan bahawa graduan memilih sektor pekerjaan yang menjanjikan gaji setimpal dengan kelayakan serta cenderung menolak tawaran pekerjaan yang lari daripada bidang yang dipelajari ketika di universiti. Seharusnya apabila ditawarkan dengan peluang pekerjaan tidak kira lari bidang atau angka gaji kecil, para graduan seharusnya mengambil peluang ini untuk menimba pengalaman kerana banyak syarikat pada hari ini lebih cenderung memilih pekerja yang berpengalaman.

Selain itu, graduan juga seharusnya membina momentum ketika di alam universiti dengan menyertai aktiviti kokurikulum. Hal ini adalah kerana pencapaian akademik hanya akan membantu calon mendapat tempat temuduga namun kemahiran tambahan diperlukan untuk menjawab temuduga dengan jayanya. Kemahiran menyelesaikan masalah, berfikir dengan pantas, kemahiran menyesuaikan diri, kemahiran berinteraksi dengan orang, mengambil inisiatif proaktif dan sebagainya merupakan kemahiran yang dicari oleh majikan apabila ingin mengambil pekerja baharu.

Kesimpulannya, tidak kira apa jua status atau sijil yang dipegang, sikap dan mentaliti yang dibawa oleh graduan adalah lebih penting untuk mendapatkan pekerjaan buat diri mereka sendiri. Persediaan dan usaha yang diambil nanti akhirnya pasti akan membuahkan hasil tidak kira cepat atau lambat. Tiada jalan mudah untuk mencapai kejayaan dan semuanya bermula dari bawah.

Itu sahaja perkongsian kita pada hari ini. Semoga bermanfaat.

 

Sumber:  Nur Syafieda Mohamed Salleh

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL