no comments

Perbezaan Antara Kajian Kuantitatif Dan Kualitatif

Kaedah merupakan cara atau jalan menyelesaikan permasalahan penyelidikan. ‘Kaedah penyelidikan merupakan segala langkah yang diambil untuk mencapai segala objektif penyelidikan’(Ahmad Mahdzan Ayob 1995:44). Secara umum kaedah utama penyelidikan untuk mendapatkan data terbahagi kepada dua, iaitu dengan menggunakan pendekatan kuantitatif dan pendekatan kualitatif.

Penyelidik boleh memilih salah satu pendekatan ataupun menggabungkan kedua-duanya. Dihubungkan dengan teori-teori sosiologi, teori yang berbentuk makro selalunya akan menggunakan pendekatan kuantitatif sementara yang berbentuk mikro kebiasaannya menggunakan pendekatan kualitatif.

Terdapat perbezaan antara penyelidikan kuantitatif dan penyelidikan kualitatif . Pendekatan kuantitatif mengutamakan ‘kuantiti’. Penyelidikan kuantitatif melibatkan angka-angka, data-data numerikal atau statistik. Statistik melibatkan pengiraan-pengiraan seperti min, median, mod, peratusan, sisihan piawai, skor-Z, skor-T, varian, dan sebagainya.

Pendekatan kuantitatif dikatakan lebih berstruktur , mempunyai darjah kekaburan yang minima, makna yang jelas, bercorak linear, mempunyai penjadualan yang jelas, dan menumpukan kepada hasil. Dari segi skop kajian ia boleh melibatkan responden yang besar. Pendekatan kualitatif pula berasaskan ‘kualiti’.

Ianya bersifat deskriptif yang lebih kepada penghuraian ‘makna’ perkara-perkara yang dikaji. Ia tidak mengutamakan data-data berbentuk numerikal. Ia kurang berstruktur, terbuka dan lebih menumpukan kepada proses. Skop kajiannya pula meliputi bilangan responden yang kecil.

Terdapat banyak perbezaan antara pendekatan kuantitatif dan kualitatif. Dari sudut kaedah penyelidikan atau pendekatan kuantitatif menggunakan kaedah postivis, eksperimental, data numarika dan ujian statistik. Manakala penyelidikan kualitatif pula menggunakan kaedah interpretif, penghuraian, kajian  lapangan, kajian sejarah, kajian  kes, data verbal dan triangulasi data.

Selain itu, dari segi konsep utama pula ialah penyelidikan kuantitatif mengamalkan konsep variable, konsep hipotisis kepercayaan, operasional, kesahan dan signifikan. Sebaliknya kaedah kualitatif pula mengamalkan konsep makna, esei, pemahaman, pembentukan fenomena, konteks dan triangulasi.Seterusnya ialah perbezaan dari sudut bidang yang dikaji oleh penyelidik. Kaedah kuantitatif lebih menjurus kearah bidang sains asas, perindustrian, psikologi, sains politik, kejuruteraan, ekonomi dan pendidikan.

Manakala kaedah  kualitatif pula cenderung kearah bidang antropologi, kemasyarakatan, linguistic, sosiologi dan sejarah. Dalam menentukan tujuan pula, kaedah kuantitatif melihat kepada tujuan untuk menguji teori, membina fakta, menunjukkan perbezaan, menunjukkan hubungan, meramal tingkah laku dan menerangkan kejadian secara statistik. Berbeza pula dengan kaedah kualitatif iaitu membina tujuan untuk melengkapkan teori, meningkatkan kefahaman, menghuraikan kenyataan, menyatakan kejadian semulajadi dan menerangkan kejadian secara verbal.

Melihat pula perbezaan dari sudut reka bentuk kajian, kaedah kuantitatif berbentuk eksperimental, kuasi eksperimental, temubual berstruktur, pemerhatian berstruktur dan tinjauan. Kaedah kualitatif pula berbentuk pemerhatian, pemerhatian peserta, temubual tidak berstruktur, rujukan maklumat dokumentasi dan kajian kes. Dari sudut sampel pula, kaedah kuantitatif mengambil sampel bersaiz besar, kaedah persampelan kebarangkalian, pemilihan sampel secara rawak, kumpulan sampel kawalan dan sampel berlapis.

Manakala kaedah kualitatif pula, sampel yang diambil berskala kecil, persampelan bukan kebarangkalian dan pemilihan sampel dengan mempunyai tujuan berdasarkan penyelidikan yang dilakukan oleh penyelidik. Keupayaan keputusan yang digeneralisasikan adalah tinggi dengan menggunakan kaedah kuantitatif berbanding kaedah kualitatif.

Melihat perbezaan dari segi data pula, kaedah kuantitatif mengumpul data secara kuantiti, bilangan, pengukuran dan statistik.  Manakala kaedah kualitatif pula menjurus kearah penghuraian deskriptif, nota pandangan, catatan verbal, rakaman pemerhatian atau temubual dan maklumat dari bahan dokumentasi.

Dari sudut analisis data pula, kaedah kuantitatif menganalisis data secara deduktif dan statistik. Manakala kaedah kualitatif pula menganalisis secara tertutup, dalam jangka masa yang panjang dan secara mendalam. Seterusnya perbezaan dari segi format instrument untuk membentuk data pula, kaedah kuantitatif adalah lebih formal, spesifik, struktur, telah ditetapkan dan menggunakan skala. Manakala kaedah kualitatif adalah sebaliknya.

Sungguhpun terdapat perbezaan-perbezaan kualitatif dan kuantitatif, kedua-duanya merupakan kaedah penyelidikan yang empirikal. Semua penyelidikan empirikal mempunyai persamaan-persamaan asas seperti mempunyai matlamat, sistematik dalam prosedur, membuat perbandingan, membuat deskripsi, menguji hipotesis, membuat penjelasan sebab dan akibat dan membuat analisa kritikal. penyelidik boleh memilih salah satu daripada pendekatan terutamanya berdasarkan masalah dan keluasan skop kajian yang akan dilaksanakan. Sekiranya kajian penyelidik melibatkan jumlah responden yang besar misalannya melebihi empat puluh orang, pendekatan kuantitatif lebih sesuai. Sekiranya penyelidik cuma memilih bilangan responden yang kecil, misalnya lima orang, maka pendekatan kualitatif dipilih.

Dalam kajian ‘sekularisasi’, sekiranya penyelidik ingin menyelidik seluruh komuniti sekolah, penyelidik mungkin akan menggunakan kuantitatif kerana sampel yang besar diperlukan. Sekiranya kajian hanya melibatkan sebilangan kecil murid dalam sebuah bilik darjah yang mempunyai tiga puluh orang murid, penyelidik mungkin lebih sesuai memilih pendekatan kualitatif. Penyelidik juga boleh menggunakan kedua-dua pendekatan kualitatif dan kuantitatif dalam satu kajian yang sama. Penyelidik harus ingat bahawa isu utama yang menjadi asas kepada kaedah penyelidikan adalah permasalahan, bukan kaedah menentukan penyelidikan. Dengan kata lain setiap penyelidikan bermula dengan masalah, bukan metodologi. Setelah ada permasalahan barulah data-data dicari melalui metodologi-metodologi dan strategi pilihan sesuai.

Sumber: madeinuitm.com

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL