no comments

PENGALAMAN DAN PANDUAN RINGKAS MENYIAPKAN TESIS PHD

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca-pembaca sekalian. Apa khabar anda semua pada hari ini? Semoga sentiasa berada dalam keadaan yang sihat walafiat hendaknya. Post saya pada kali ini saya ingin kongsikan kepada anda semua pengalaman dan panduan menulis tesis PhD daripada seorang pensyarah Kimia di Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, iaitu Dr. Siti Fairus mohd Yusoff. Mari kita ikuti perkongsian dan panduan menulis tesis daripada Dr. Siti Fairus.

 

PhD – rata-rata ramai memberikan nama penuh PhD adalah Permanent Head Damage. Tetapi saya masih mengingati kawan rapat saya ketika di University of Bristol, Dr Muhammad Zamir Othman, beliau gelarkan PhD sebagai ‘Perjalanan Penghujung Dunia’. Salah satu gelaran yang unik dan ‘positif’ yang bersesuaian dengan perjalanan dan proses demi menyiapkan satu tesis.

Ketika saya melalui momen menulis tesis PhD, banyak pengalaman yang saya pelajari (disamping mempelajari cara menangani tekanan menulis tesis!). Format tesis yang perlu saya sediakan adalah berdasarkan format artikel jurnal (publication-based).

Pada fikiran saya, ianya agak mudah jika dibandingkan dengan format konvensional (pendahuluan, kajian kepustakaan, metodologi, hasil & perbincangan dan kesimpulan). Secara jujurnya, saya tidak pasti adakah format tersebut diminta oleh University of Bristol tapi yang pasti saya hanya mengikut cadangan penyelia saya. Oleh kerana saya mempunyai 4 projek yang berbeza, dengan itu setiap satunya boleh jadikan satu bab. Walaupun keempat-empatnya berbeza tajuk, tapi ianya masih berkait antara satu sama lain.

Daripada keempat-empat projek tersebut, tiga daripadanya adalah 100% disiapkan oleh saya sendiri. Manakala,satu daripadanya (projek 4) merupakan hasil kerjasama antara saya dan kumpulan penyelidikan Prof. G, J. Vancso daripada University Twente, Netherlands. Secara keseluruhannya, tesis PhD saya terdiri daripada :

Tajuk tesis:

“Crystallization-Driven Self-Assembly of Polyferrocenyilsilane-Based Block Copolymers”

Bab 1- Pendahuluan

Bab 2- Projek 1 (diterbitkan di Journal of the American Chemical Society)

Bab 3- Projek 2 (belum diterbitkan)

Bab 4- Projek 3 (diterbitkan di Macromolecules)

Bab 5- Projek 4 (diterbitkan di Polymer)

Bab 6- Penutup

Saya akui dan saya rasa ramai juga bersetuju dengan saya, bahawa menulis tesis adalah bukan perkara yang mudah. Ada juga yang kecundang ketika sedang menyiapkan tesis. Kes tersebut bukan sahaja di luar negara (di makmal PhD saya sendiri) malahan di universiti tempatan juga. Syukur dalam kes saya, saya mempunyai penyelia dan senior yang ringan tulang untuk membantu membaiki tesis saya sehingga ianya berkualiti (di mata penyelia saya- Prof. Ian Manners) dan boleh dihantar ke Graduate School.

Saya mula menulis pada umur kajian PhD saya 2.5 tahun. Untuk pengetahuan semua, tempoh saya menyiapkan penyelidikan PhD saya adalah 3.5 tahun. Ini bermakna tempoh yang saya ambil untuk menyiapkan satu tesis adalah 1 tahun. Seringkali saya ingatkan kepada pelajar seliaan saya bahawa

‘Jangan menunggu di saat akhir baru hendak mula menulis’.

Saya akan sentiasa mengungkapkan ayat tersebut kepada pelajar tanpa jemu supaya mereka tidak merasa ‘sakit’ pada penghujung perjalanan. Antara sebab lain juga penulisan patut dimulakan terlebih awal adalah supaya kita boleh melihat kekurangan kepada tesis tersebut. Sekiranya kekurangan itu diketahui lebih awal, makanya tindakan (eksperimen atau analisis tambahan) boleh dilakukan.

Saya faham sekiranya ada yang berputus asa ketika proses penulisan. Ini kerana anda perlu membuat pembacaan yang banyak. Pada saya membaca review articles sangat membantu ketika proses tersebut. Review articles adalah satu artikel yang meringkaskan keadaan semasa mengenai topik yang dikaji. Ianya merangkumi kajian yang pernah diterbitkan, bukannya melaporkan fakta-fakta atau analisis yang baru.

Tidak seperti artikel penyelidikan, review articles adalah sumber yang baik untuk mendapatkan gambaran asas tentang sesuatu topik. Akan tetapi, ini bukannya bermaksud anda perlu mengetepikan pembacaan artikel penyelidikan kerana maklumat dan fakta yang terkini adalah masih lagi datang daripada artikel penyelidikan. Secara keseluruhannya, pembacaan merupakan satu kebiasaan yang bagus yang akhirnya akan membantu memudahkan penulisan tesis.

Tahun terakhir saya di University of Bristol agak ‘tough’ kerana saya perlu menulis, melakukan eksperimen dan analisis sampel pada masa yang sama. Akan tetapi, saya tidak rasa terbeban pada penulisan kerana saya menulis artikel dan tesis pada satu masa yang sama dan mempunyai rakan-rakan makmal yang rajin menghulurkan bantuan. Oleh itu, jalinan dengan rakan makmal adalah antara yang terpenting dalam proses ini.

Saya ingin menyebut nama mereka di sini sempena menghargai jasa mereka kepada saya iaitu, Dr. Joe B. Gilroy (Assistant Professor di University of Western Ontario, Dr Felix Schacher (Professor di Jena University)  dan Dr Ming-Siao Hsiao (postdoc di The University of Akron), antara individu yang banyak menolong saya ketika proses menulis. Saya bekerjasama dengan mereka untuk setiap satu projek. Oleh itu, mereka menawarkan untuk menyemak bab yang berkaitan dengan penyelidikan masing-masing sebelum saya menghantar bab tersebut kepada penyelia.

Walaupun adanya mereka yang menolong saya, masih banyak lagi yang perlu diperbetulkan apabila sampai kepada penyelia. Oleh itu, seingat saya lebih daripada 5 draf telah saya sediakan sehingga penyelia telah berpuas hati untuk meluluskan penghantaran tesis. Saya berasakan sekiranya saya mula menulis tesis pada saat-saat akhir belum tentu saya dapat menamatkan ‘Perjalanan Hujung Dunia’ saya dalam tempoh 3.5 tahun.

Sekiranya anda melihat kepada sedikit sebanyak gambaran keseluruhan proses penulisan yang saya alami ini, adakah anda bersetuju sekiranya saya mengatakan proses penulisan perlu dimulakan seawal yang boleh? Iya, Bagi yang cemerlang, adalah tidak mustahil untuk menyiapkan pada saat-saat akhir tetapi adalah sebaiknya ‘sediakan payung sebelum hujan’.

 

Itu sahaja perkongsian saya pada kali ini. Semoga perkongsian ini dapat membuatkan anda lebih bersemangat untuk meneruskan penulisan tesis anda.

 

SUMBER : Dr. Siti Fairus Mohd Yusoff

 

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL