no comments

PENCARIAN MAKLUMAT BERKAITAN KAJIAN

Kajian yang akan dijalankan semestinya memerlukan banyak maklumat daripada pelbagai sumber. Maka, adalah menjadi satu keperluan kepada pengkaji untuk mengetahui bagaimanakah cara untuk mencari maklumat yang berkaitan dengan kajian. Terdapat beberapa pendekatan yang boleh diambil untuk mencari maklumat terkini dan sumber yang bersesuaian bagi kajian yang anda jalankan.

Beberapa perkara penting yang perlu diambil berat iaitu:

  1. Kenal pasti sumber maklumat sama ada sumber tersebut mempunyai maklumat utama berkaitan kajian.
  2. Membentuk carian online dengan mengenal pasti kata kunci dan membina carian kompleks.
  3. Membuat carian online dan menyimpan semua hasil carian.
  4. Mengkaji hasil carian yang diperoleh.

Namun begitu, anda juga perlu berhati-hati dalam beberapa perkara semasa mencari maklumat. Sumber maklumat kebiasaannya dihasilkan bagi beberapa tujuan tertentu, maka ianya berkemungkinan mempunyai kandungan yang terhad dan tidak lagi relevan pada masa kini. Oleh yang demikian, anda perlu meminta nasihat daripada penyelia atau pensyarah untuk memastikan kesesuaian maklumat yang anda peroleh. Proses pencarian maklumat juga memerlukan masa yang panjang, maka anda sepatutnya mengatur jadual anda supaya tidak terbazir.

Semasa menilai sesebuah tulisan yang akan dijadikan rujukan dalam kajian lepas, beberapa perkara perlu diteliti bagi memastikan kesesuaian sumber berkenaan;
A.        Autoriti Penulis
Apabila meneliti tulisan yang ingin dijadikan kajian lepas atau Literature Review, autoriti seseorang penulis juga perlu diambil kira. Anda tidak boleh menjadikan semua tulisan yang ditemui sebagai bahan rujukan tanpa menyemak kredibiliti bahan berkenaan termasuk penulisnya.
Tulisan-tulisan di internet yang anda perolehi tanpa sumber yang boleh dipercayai tidak boleh dijadikan bahan rujukan untuk tulisan ilmiah. Walau bagaimanapun, sekiranya tulisan berkenaan anda perolehi di laman web yang boleh dipercayai yang dibina oleh Jabatan Kerajaan seperti PDRM, Cyber Security, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Pendidikan, Jabatan Alam Sekitar dan sebagainya, statistik atau maklumat berkenaan boleh digunakan.
Anda perlu tahu Siapa yang melakukan penelitian? Apakah pengarang berkenaan merupakan orang yang memiliki autoriti dalam bidang tersebut? Apa bukti yang dapat mendukung hal ini?
B.        Tulisan ilmiah berkualiti
Sumber bacaan yang digunakan juga perlulah terdiri daripada tulisan ilmiah yang berkualiti. Ini bermakna, tulisan-tulisan bersifat popular yang disiarkan untuk bacaan umum seperti di majalah, akhbar dan bahan bacaan popular tidak sesuai untuk dijadikan rujukan dalam kajian ilmiah.
Anda juga boleh mendapatkan sumber rujukan yang terdapat dalam Jurnal elektronik dan database yang disediakan secara dalam talian. Walau bagaimanapun, anda perlu berhati-hati apabila melakukan carian dalam internet yang menghasilkan laman sawang tidak dapat disahkan kebolehpercayaannya.
Beberapa persoalan perlu dijadikan panduan untuk menentukan kualiti sesebuah tulisan;
i.                    Dari mana asal tulisan itu? Apakah berasal dari sumber yang valid misalnya institusi pendidikan?
ii.                  Apakah penelitian ini dijadikan rujukan oleh orang lain atau telah diterima oleh badan editorial misalnya. Apakah jurnal tersebut diterbitkan dalam mana-mana jurnal?
iii.                Jika berasal dari laman sesawang (website), apakah memuat informasi pengarang, apakah laman sawang berkenaan adalah dari sebuah institusi pendidikan? Apakah ada tarikh diterbitkan?
C.   Kebolehpercayaan sumber
Kebolehpercayaan sumber boleh anda teliti berdasarkan beberapa perkara iaitu;
i.                    Apa yang dibahaskan oleh kajian itu?
ii.                  Apakah kajian ini diterima dalam bidang ini? Bagaimana anda boleh tahu sekiranya tulisan berkenaan diterima dalam bidang ini? Salah satu cara untuk menjawab persoalan ini adalah dengan melihat apakah penelitian yang sama telah digunakan dalam sumber atau tulisan lain apabila membincangkan topik yang sama, dan adakah sumber rujukan ini telah digunakan secara berterusan dengan sumber yang lain?
iii.                Apa yang membuatkan tulisan ini dapat dipercayai? Apakah rujukan dalam tulisan ini juga menggunakan sumber rujukan yang boleh dipercayai juga? Sesebuah tulisan yang mempunyai bahan rujukan terhadap sumber yang boleh dipercayai, maka tulisan tersebut secara teorinya boleh dipercayai.
D.  Objektif
i.               Apakah tulisan berkenaan terdapat bukti yang bias tentang sesuatu hal, contohnya, apakah anda akan percaya apabila tulisan berkenaan menyatakan bahawa asap rokok tidak bahayakan kesihatan?
ii.         Apakah statistik yang dinyatakan sesuai dengan penerbitan lain? Jika tidak, apakah argumen (kaedah, rancangan penelitian dll) yang dipakai sebagai pegangan dasar dalam penelitian itu cukup meyakinkan?
iii.                Apakah data yang dikemukakan itu benar? Adakah sumbernya boleh dipercayai?
D.   Mutakhir dan Terkini
Apabila menulis tulisan ilmiah, anda perlu memastikan bahawa sumber rujukan yang digunakan terdiri daripada tulisan yang terkini. Rangkuman tulisan berkenaan sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 tahun terkebelakang. Jika anda menulis pada tahun 2010, bahan rujukan yang digunakan meliputi antara tahun 2000 hingga 2010.
Walau bagaimanapun, terdapat kekecualian terhadap sumber rujukan berkenaan, antaranya;
i.                    Jika menulis tentang sejarah sesuatu perkara atau rentetan peristiwa
ii.                  Menggunakan rujukan asal yang mencetus kepada sesuatu perkara; contoh teori darwin menjadi asas kepada kajian tentang kejadian alam, merujuk tulisan hikayat-hikayat lama sebagai teks kajian dan sebagainya.
iii.                Membandingkan perbezaan pendapat antara dua perkara atau tokoh yang berlaku pada zaman yang berbeza seperti mengkaji pendapat Al-Ghazali dan tokoh Islam moden tentang sesuatu perkara, mengkaji pemikiran Mahathir Mohamad dalam Dilema Melayu dan pemikiran masa kini tokoh itu.
iv.                 Dan sebab-sebab lain yang dirasakan relevan.
Jadi, anda perlu meneliti perkara berikut untuk menentukan kekinian sesebuah tulisan;
• Tahun tulisan tersebut diterbitkan.
• Apakah mungkin terdapat informasi yang lebih terkini?
• Apakah anda menemukan tulisan yang lebih baru dan menimbulkan keraguan atau menentang beberapa penemuan sebelumnya?
• Sudahkah informasi terkini itu anda peroleh dan teliti kandungannya?
F. Cakupan

 

  • Apakah informasi yang tersedia sudah lengkap? Berdasarkan penelitian anda sejauh ini, apakah informasi berkenaan telahpun mencakupi bidang yang diteliti?
  • Berapa ukuran sampel? Apakah sampel ini mencukupi?
  • Apakah ada penelitian lebih lanjut yang tidak disebut atau secara sengaja dihilangkan dari penemuan?

 

Sumber: contohtugasan.blogspot.com

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL