no comments

OBJEKTIF KAJIAN : DUA OBJEKTIF YANG PERLU ANDA TAHU

Objektif ialah sasaran sebenar penyelidik yang boleh dicerap. Berbeza dengan matlamat kerana objektif adalah lebih khusus dan digunakan untuk mencapai sesuatu matlamat penyelidikan. Objektif menjadi tujuan khusus yang perlu dicapai dan disebabkan itu, objektif perlu dinyatakan dengan jelas supaya dapat menunjukkan apa yang hendak dicapai.

Objektif terbahagi kepada dua iaitu Objektif Umum dan Objektif Khusus.

  • OBJEKTIF UMUM

Objektif Umum atau matlamat kajian merupakan pernyataan meluas tentang hasil kajian yang diharapkan ataupun niat umum penyelidik yang dapat memberi gambaran tentang cadangan penyelidik beliau.

Objektif umum kajian menyatakan perkara yang dijangka dicapai oleh penyelidik daripada penyelidikan tersebut secara umum.

Contoh : Objektif kajian umum kajian ini adalah untuk mengenalpasti faktor-faktor iklim organisasi yang mempengaruhi prestasi kerja  kakitangan sektor awam di negeri Kedah ( bidang pengurusan )

Berdasarkan contoh di atas, didapati terdapat dua pemboleh ubah yang penting dalam objektif kajian iaitu pemboleh ubah yang mempengaruhi (pemboleh ubah bebas) iaitu iklim organisasi, dan pemboleh ubah yang dipengaruhi (pemboleh ubah bersandar) iaitu prestasi kerja  kakitangan sektor awam di negeri Kedah.

  • OBJEKTIF KHUSUS

Objektif Khusus ialah objektif umum yang perlu dipecah-pecahkan kepada bahagian yang lebih kecil dan merupakan ringkasan hasil yang dapat dicapai oleh penyelidik. Objektif khusus haruslah sistematik untuk menangani persoalan kajian.

Tindakan yang harus dilakukan, tempat dan tujuan kajian dijalankan haruslah dinyatakan. Ia perlu berkait rapat dengan persoalan kajian. Kebiasaannya diberikan nombor supaya setiap objektif dibaca sebagai pernyataan ‘individu’ bagi menyampaikan niat penyelidik.

Matlamat dan objektif kajian harus dibentangkan dengan ringkas dan padat dan keduanya saling berkaitan kerana tujuan adalah matlamat yang ingin dicapai penyelidik.

Contoh :

Objektif khusus kajian ini adalah untuk :

  1. Menentukan hubungan antara pengalaman mengajar matematik dengan pencapaian pelajar dalam subjek matematik.
  2. Mengenal pasti faktor yang mempengaruhi pencapaian akademik pelajar dalam subjek matematik (bidang pendidikan)

 

Sumber : Kaedah Penyelidikan & Analisis Data SPSS

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL