no comments

Mohon Pinjaman Pelajaran MARA, Ini Pengalaman Saya Berusaha Tanpa Kabel

Untuk makluman semua, MARA kini telah membuka permohonan bagi mendapatkan pinjaman pelajaran untuk pengajian di peringkat Pasca Siswazah dan Professional di Institusi Pengajian Tinggi terkemuka dalam dan luar negara bermula 15 Februari hingga 25 Februari 2019. Untuk memohon, sila klik http://online05.mara.gov.my/pasca/

Ramai yang bercita-cita ingin melanjutkan pelajaran ke IPT dalam dan luar negara dan pinjaman pelajaran MARA adalah salah satu peluang yang membolehkan anda mencapai cita-cita untuk belajar di luar negara.

Namun begitu, ramai yang merasakan susah untuk dapat pinjaman pelajaran MARA ini kecuali ada bantuan orang dalam atau kita panggil sebagai “kabel”.

Saya antara salah seorang rakyat Malaysia yang telah mendapat manfaat dari pinjaman pelajaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan saya rasa terpanggil untuk berkongsi cerita saya yang memohon tanpa menggunakan kabel.

Amaran: Post ini agak panjang untuk anda yang mudah mengalah.

Semuanya bermula pada awal tahun 2013 apabila isteri saya tiba-tiba mencetuskan idea untuk menyambung pelajaran di United Kingdom. Pada masa itu saya rasa seperti mustahil sebab ada rasa rendah diri. Yelah, selalunya yang belajar di luar negara ini orang yang bijak pandai. Namun begitu, saya ikutkan sahaja idea isteri saya.

Saya mula memohon untuk membuat MBA di UK. Antara universiti yang menerima permohonan saya adalah Newcastle University, Reading University, Durham University dan Brunel University. Setelah itu, apabila permohonan pinjaman pelajaran MARA mula dibuka, kami pun sama-sama memohon.

Dalam proses menunggu maklum balas dari MARA, saya teringat kenangan yang mana pada masa itu saya masih bekerja dan perlu ke Mahkamah Shah Alam bagi pihak majikan saya, SapuraKencana Petroleum Berhad pada masa itu. Selesai urusan di mahkamah, saya singgah sebentar di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alam untuk solat dhuha. Selesai solat dhuha, saya mesej isteri saya untuk bersedekah supaya Allah murahkan rezeki kami dengan mendapat tawaran pinjaman pelajaran MARA. Walaupun saya mesej isteri saya begitu, masa saya ingin menderma di tabung masjid saya seperti rasa “rugi” kalau derma RM50, jadi saya hanya derma RM20 sahaja pada ketika itu.

Nak dijadikan cerita, tidak lama lepas tu isteri saya berjaya mendapat panggilan untuk mengambil ujian yang diaturkan oleh MARA manakala saya tidak mendapat panggilan tersebut. Ruginya saya rasa bila teringat balik yang saya boleh ragu-ragu ketika ingin menderma beberapa hari sebelum itu. Saya mula susah hati dan bersedih. Namun begitu, isteri saya berikan sokongan dan kata-kata semangat untuk tidak berputus asa. Maka bermulalah episod saya naik turun bangunan MARA tanpa sebarang kabel.

Perkara pertama saya buat adalah menulis surat rayuan untuk diberi peluang hadir ke sesi ujian dan berbekalkan surat rayuan tersebut, saya ke bangunan MARA di KL. Saya tahu bukan mudah untuk saya dapat bertemu pegawai MARA yang berkenaan tapi saya percaya sebagai manusia saya perlu berusaha.

Alhamdulillah, saya berjaya berjumpa pegawai MARA dan menyampaikan surat rayuan beserta cerita sedih saya kenapa saya perlu turut serta ke UK dan mendapat pinjaman pelajaran MARA.

Tidak lama kemudian, saya mendapat panggilan untuk hadir sesi ujian yang diaturkan oleh MARA. Saya merupakan kelompok terakhir yang dipanggil untuk ujian tersebut. 😂

Sambil menunggu, saya terus berpesan kepada diri dan isteri untuk banyakkan amalan menjemput rezeki seperti bersedekah dan sebagainya.

Apabila keputusan pinjaman pelajaran MARA keluar, sekali lagi saya diuji. Isteri dapat tawaran tetapi saya tak dapat tawaran. Sekali lagi saya menulis surat rayuan dan ke bangunan MARA. Tidak cukup dengan surat, saya hantarkan juga emel kepada pegawai berkenaan.

Banyak kali saya turun naik bangunan MARA semata-mata untuk meyakinkan pegawai MARA yang saya wajar dipertimbangkan untuk dapat tawaran pinjaman pelajaran MARA. Dalam masa yang sama, saya minta emak dan ayah mendoakan saya. Saya juga banyakkan lagi amalan yang menjemput rezeki. Selain itu saya juga bernazar. Basically, saya buat segala apa yang saya boleh buat sebagai manusia, sebagai hamba. Selebihnya saya serahkan kepada Allah.

Alhamdulillah, selepas berusaha dengan bersungguh-sungguh dan menanti dengan penuh sabar, saya akhirnya mendapat tawaran pinjaman pelajaran MARA beberapa hari sebelum kami berlepas ke United Kingdom. Kelam-kabut dibuatnya menguruskan pelbagai perkara. Rumah kami sewakan, kereta saya jual dan pelbagai macam perkara lagi.

Terima kasih MARA untuk peluang yang diberikan, banyak perubahan yang berlaku dalam hidup saya setelah berjaya menggenggam segulung ijazah dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Brunel Business SchoolBrunel University London.

Di sini saya kongsikan beberapa emel yang saya hantarkan kepada pegawai MARA supaya dapat dijadikan rujukan anda semua.

Semoga perkongsian ini dapat menjadi sumber inspirasi kepada anda yang ada cita-cita untuk belajar di luar negara seperti saya. Jika saya boleh, anda juga pasti boleh!

P/S: Bayaran balik pinjaman pelajaran MARA juga dah nak selesai bayar. Target tahun ini untuk habis bayar melalui pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Sumber: Facebook Ameirul Azraie

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL