no comments

MODEL – MODEL YANG TERLIBAT DALAM PEMODELAN PERSAMAAN BERSTRUKTUR (SEM)

Di dalam pemodelan persamaan berstruktur (SEM), terdapat dua jenis model yang terlibat dalam sesuatu analisis iaitu:

  1. Model Pengukuran (Measurement Model) – model yang menghubungkan antara konstruk dengan item – item yang mengukur konstruk tersebut (Rajah 1). Penyelidik perlu mengesahkan model pengukuran setiap konstruk terlebih dahulu sebelum membina model berstruktur yang menggabungkan kesemua konstruk untuk menjalankan analisis SEM. Prosedur pengesahan konstruk ini dinamakan Analisis Pengesahan Faktor (Confirmatory Factor Analysis, CFA). Prosedur CFA menilai konstruk dari aspek uni-dimensionaliti, kesahan (validity), dan kebolehpercayaan (reliability).
  2. Model Berstruktur (Structural Model) – model yang mempersembahkan hubungkait sebab-akibat antara konstruk di dalam sesuatu kajian di mana hubungkait ini dibina berdasarkan sokongan teori. Konstruk-konstruknya disusunaturkan ke dalam model berstruktur berdasarkan hipotesis yang dinyatakan dalam kerangka teoritikal.

 

PERANAN TEORI DALAM PEMODELAN PERSAMAAN BERSTRUKTUR (SEM)

Sesuatu penyelidikan bermula dengan penyelidik membina model teoritikal berdasarkan sokongan teori. Setiap hubungkait yang dibina antara konstruk disokong oleh kajian literatur. Penyelidik kemudiannya membina model pengukuran untuk setiap konstruk dengan menggunakan item atau instrumen dalam soal selidik.  Penyelidik samada mengambil instrumen dari literatur dan mengubahsuai (adapt and modify) kepada kajian semasa, atau menerimapakai (adopt) instrumen sedia ada yang telah dibina oleh penyelidik terdahulu. Instrumen yang diubahsuai pernyataan item, atau terdapat item yang ditambah, atau instrumen itu diterjemahkan kepada bahasa lain perlu menjalani prosedur “pretest” dan “pilot test”. Prosedur “pretest” perlu untuk menentukan kesahan kadungan (content validity), kesahan muka (face validity) dan kesahan skala pengukuran (measurement validity).

Prosedur “pilot test” pula perlu untuk menilai pemberat faktor setiap item, meneliti komponen – komponen yang terbentuk daripada kombinasi item yang dibina dan juga untuk menilai kebolehpercayaan dalaman (internal reliability) instrumen tersebut. Prosedur yang terlibat di peringkat ini adalah Analisis Penerokaan Faktor (Exploratory Factor Analysis atau EFA) menggunakan data dari “pilot test”. Seterusnya penyelidik menjalankan kajian lapangan (field study) untuk mengumpul data kajian sebenar.

Setelah data lapangan didapati prosedur seterusnya ialah Analisis Pengesahan Faktor (Confirmatory Factor Analysis, CFA) untuk menilai kesahan dan kebolehpercayaan konstruk.  Setelah selesai CFA, penyelidik akan menjalankan prosedur terakhir iaitu Pemodelan Persamaan Berstruktur (Structural Equation Modelling, SEM). Di dalam prosedur CFA, penyelidik meneliti pemberat faktor (factor loading) setiap item dan indeks-indeks kesepadanan (fitness indexes) untuk kontruk tersebut. Item yang mempunyai nilai pemberat faktor rendah (kurang daripada 0.6) akan menyebabkan indeks kesepadanan tidak dicapai kerana item berkenaan tidak menyumbang kepada konstruk. Maka item ini perlu disingkirkan dari model pengukuran. Selepas penyingkiran, prosedur CFA ditentukan semula – sehingga indeks kesepadanan akan dapat dicapai.

Sekiranya kesemua item yang mempunyai nilai pemberat faktor rendah telah disingkirkan tetapi indeks kesepadanan masih tidak dicapai, maka penyelidik perlu mendapatkan Indeks Pengubahsuaian (Modification Indices, MI). MI akan menunjukkan dua item yang berulang (redundant) atau pernyataan yang mempunyai maksud yang sama dari perspektif responden. Penyelidik perlu menyelesaikan masalah ini (redundancy) supaya indeks kesepadanan dapat dicapai.

Sumber : Buku Pendekatan Mudah SEM

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL