no comments

Mengapa Pilih Kaedah Kualitatif

Sebagai seorang penyelidik, langkah awal sebelum memulakan penyelidikan adalah mewujudkan persoalan yang perlu dijawab. Jawapan diperoleh dengan menjalankan kajian. Terdapat dua jenis pendekatan iaitu berbentuk kajian kuantitatif dan kualitatif.

 

Kajian kualitatif dijalankan untuk mendapatkan kefahaman yang mendalam terhadap sesuatu perkara yang ingin dikaji (Marohaini 2001). Selain itu, kajian kualitatif juga dijalankan untuk mendapat maklumat terperinci berkaitan sesuatu perkara yang dikaji (Yin, 1984). Ini bermakna untuk mendapatkan maklumat terperinci dan mendalam kajian kualitatif dijalankan.
Tambahan lagi, kaedah ini boleh menerangkan peristiwa secara holistik dalam keadaan sebenar peristiwa berlaku tanpa sebarang manipulasi oleh penyelidik. Kajian ini menjawab persoalan berkaitan dengan mengapa sesuatu fenomena berlaku sedemikian dan bagaimana ia berlaku.

 

Justeru, kajian dijalankan untuk menjawab soalan mengapa dan bagaimana yang dikemukakan oleh pengkaji. Pengkaji menjalankan kajian secara mendalam untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan kajian. Contoh persoalan kajian secara kualitatif ialah:
Mengapa guru masih tidak menggunakan pendekatan koperatif dalam pengajaran dan pembelajaran mereka?
Bagaimana guru menjalankan aktiviti koperatif dalam pengajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah? Dalam kajian kualitatif, penyelidik menjadi instrumen kajian (Creswell 1994). Penyelidik kualitatif merupakan instrumen untuk mengutip data dan menganalisis data.

 

Penyelidik menyelidik peristiwa yang berlaku ketika kajian dijalankan. Kutipan data dijalankan secara berterusan. Kajian ini jarang membincangkan ciri kebolehpercayaan kerana kebolehpercayaan bergantuang kepada subjektiviti seseorang individu (M. Najib 1999).

 

Kajian kualitatif merupakan kajian secara induktif iaitu penyelidik membina konsep, hipotesis dan teori untuk di kembangkan, dinyatakan dan dijelaskan.

 

KAEDAH-KAEDAH PENYELIDIKAN ILMIAH

PENDEKATAN KUALITATIF

Pendekatan kualitatif ialah prosedur penyelidikan yang menghasilkan data gambaran yang boleh diamati (Lexy, 2007), tradisi tertentu dalam ilmu pengetahuan sosial yang secara fundamental bergantung kepada pengamatan manusia dalam kawasannya sendiri dan berkait dengan orang-orang tersebut dalam bahasa dan peristilahannya (Kirk & Miller, 1986).

Pendekatan kualitatif dalam penyelidikan ini adalah kajian kes, adalah suatu penyelidikan yang dilakukan terhadap suatu kesatuan sistem, sama ada yang berbentuk program mahupun kejadian yang terikat oleh tempat, waktu atau ikatan tertentu (Nana, 2005).

Kajian kes dilaksanakan untuk menghimpun data, memperoleh makna, dan memperoleh pemahaman daripada suatu kes. Proses pengumpulan data berdasarkan Cresswell (1998) iaitu mengenalpasti tapak atau individu, mendapatkan akses dan membina rekod, persampelan bertujuan, mengumpul data, merekod maklumat, menyelesaikan isu-isu lapangan dan menyimpan data.

 

Kaedah Kualitatif

a) Soal Selidik

Seterusnya, menerusi kaedah kualitatif tersebut dapat menyokong lagi dapatan kajian melalui pengagihan borang soal selidik (questionnaire designing) iaitu merupakan kaedah kuantitatif. Pendekatan kuantitatif merupakan kajian yang dapat menghasilkan dapatan kajian yang ‘valid’ dan ‘reliable’. Hal ini kerana, penggunaan kaedah kuantitatif ini dapat membuktikan kesahihan yang kukuh dengan menggunakan angka iaitu hasil daripada analisis. Dalam pembentukan borang soal selidik, teknik ‘open ended’, ‘close-ended’ dan ‘cotigency question’ akan digunakan.

Soal selidik ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama bertujuan untuk mendapatkan maklumat berkaitan profil responden.

Manakala bahagian kedua, mengandungi soalan berskala likert bertujuan untuk mengetahui tahap kepentingan dan persepsi setiap elemen yang ada. Soal selidik juga membenarkan pengkaji untuk mendapat lebih informasi tentang sesuatu dalam masa yang singkat. Selain itu, hasil penyelidikan juga akan dapat diguna semula atau diulangi di kawasan-kawasan lain yang mempunyai ciri-ciri persekitaran yang sama dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan atau untuk mencadangkan sesuatu perubahan.

b)Kaedah Pemerhatian

Kaedah pemerhatian terbahagi kepada dua iaitu pemerhatian secara terus (Direct observation) dan Pemerhatian melalui penglibatan (Participant-observation). Kaedah pemerhatian secara terus ini melibatkan pemerhatian secara lansung seperti pengiraan jumlah pelajar yang di sebuah sekolah. Teknik ini biasanya tidak melibatkan komunikasi dengan manusia. Kaedah pemerhatian melalui penglibatan pula berasal dari bidang antropologi (kajian tentang kehidupan masyarakat). Penyelidik biasanya melibatkan diri dengan masyarakat yang hendak dikajinya untuk memahami dengan jelas sesuatu isu yang berkaitan dengan masyarakat tersebut.

c)Temu Bual

Disamping borang soal selidik, maklumat juga diperolehi dengan menggunakan kaedah temubual secara terus dengan pihak yang telah dipilih. Berdasarkan kaedah temu bual, kita dapat memperolehi maklumat berkaitan latar belakang, ciri-ciri serta maklumat-maklumat lain yang diperlukan. Kaedah ini dijalankan bagi individu yang tidak mempunyai masa atau kurang faham untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dalam borang soal selidik. Temu bual bersemuka berkemungkinan adalah kaedah pengumpulan data yang lebih mahal kerana ia mengambil masa yang lama, serta dapat meluangkan masa untuk beramah mesra dengan responden. Temubual berstruktur adalah kaedah yang terbaik bagi soalan terbuka dan mendapatkan maklumat responden secara terperinci.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, penyelidikan ilmiah penting dalam membantu manusia untuk mengetahui, mengetahui dirinya, alam sekelilingnya, masyarakatnya, negaranya dan segala-galanya yang terfikir olehnya. Keinginan mengetahui sesuatu perkara ini telah mendesak manusia untuk melakukan penyelidikan yang kemudiannya membantu memperluaskan ilmu pengetahuan sedia ada.
Tambahan pula, kaedah penyelidikan ilmiah merupakan kaedah pengkajian menerusi penyiasatan yang tuntas dan teliti terhadap semua bukti yang diperoleh berkaitan dengan masalah yang dinyatakan, sehinggalah kita sampai kepada penyelesaian masalah tersebut. Sebelum sesuatu penyelesaian masalah itu diperolehi, pelbagai perkara yang diambil kira dalam penyelidikan ilmiah ini iaitu antaranya teori, masalah, rangka kerja, hipotesis, data, alat bantu dan kebebasan. Mengambil kira atas semua faktor-faktor ini akan membawa kepada keberkesanan penyelidikan dengan penemuan penyelesaian masalah  berkaitan dengan fenomena yang diselidiki. Bagi memudahkan penyelidikan ini dilakukan, maka wujudnya pelbagai kaedah seperti kaedah kualitatif dan kaedah kuantitatif.

Sungguhpun terdapat perbezaan-perbezaan kualitatif dan kuantitatif, kedua-duanya merupakan kaedah penyelidikan yang empirikal. Semua penyelidikan empirikal mempunyai persamaan-persamaan asas seperti mempunyai matlamat, sistematik dalam prosedur, membuat perbandingan, membuat deskripsi, menguji hipotesis, membuat penjelasan sebab dan akibat dan membuat analisa kritikal. penyelidik boleh memilih salah satu daripada pendekatan terutamanya berdasarkan masalah dan keluasan skop kajian yang akan dilaksanakan. Sekiranya kajian penyelidik melibatkan jumlah responden yang besar misalannya melebihi empat puluh orang, pendekatan kuantitatif lebih sesuai. Sekiranya penyelidik cuma memilih bilangan responden yang kecil, misalnya lima orang, maka pendekatan kualitatif dipilih.

Dalam kajian ‘sekularisasi’, sekiranya penyelidik ingin menyelidik seluruh komuniti sekolah, penyelidik mungkin akan menggunakan kuantitatif kerana sampel yang besar diperlukan. Sekiranya kajian hanya melibatkan sebilangan kecil murid dalam sebuah bilik darjah yang mempunyai tiga puluh orang murid, penyelidik mungkin lebih sesuai memilih pendekatan kualitatif. Penyelidik juga boleh menggunakan kedua-dua pendekatan kualitatif dan kuantitatif dalam satu kajian yang sama. Penyelidik harus ingat bahawa isu utama yang menjadi asas kepada kaedah penyelidikan adalah permasalahan, bukan kaedah menentukan penyelidikan. Dengan kata lain setiap penyelidikan bermula dengan masalah, bukan metodologi. Setelah ada permasalahan barulah data-data dicari melalui metodologi-metodologi dan strategi pilihan sesuai.

 

Sumber: MadeInUitm

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL