no comments

Memilih PhD yang betul

Menulis cadangan penyelidikan yang baik

Memandangkan tahap dan kualiti pengajian PhD yang tinggi, calon mestilah memastikan projek kajian yang dicadangkan adalah sesuai dengan tahap PhD. Kerana itu, dalam membuat cadangan penyelidikan (research proposal), seseorang calon digalakkan membaca tesis PhD dalam bidang dan contoh cadangan penyelidikan. Ini dapat membantu calon menyiapkan cadangan penyelidikan yang baik. Dapatkan nasihat daripada pakar bidang.

Setelah tajuk kajian itu dihantar ke fakulti atau universiti untuk mendapatkan tempat pengajian, projek kajian PhD ini akan dibuat penilaian untuk penawaran tempat. Seperti yang disebut sebelum ini, projek kajian akan berubah dengan maklum balas oleh jawatankuasa penilaian defend proposal yang lazimnya dibuat dalam tahun pertama pengajian. Jangan malu untuk berkongsi dengan mereka yang lebih mahir dalam penyelidikan PhD untuk mendapat nasihat.

Mencari penyelia yang berpengalaman

Penyelia sangat penting dalam pengajian PhD. Dalam mencari penyelia atau yang ditentukan oleh fakulti atau jabatan di universiti, satu perkara pokok ialah penyelia mempunyai pemikiran yang dikongsi bersama dengan calon PhD (share the same school of thought). Terdapat beberapa kes di mana calon PhD dan penyelia mempunyai fikrah berbeza yang membawa kepada pertikaian pandangan sehingga ada yang membawa kepada perbalahan. Agak sukar bagi calon PhD untuk meneruskan pengajian sekiranya keadaan ini wujud. Maka, perlu calon PhD membuat sedikit semakan latarbelakang penyelia dengan membaca tulisan beliau.

Satu lagi kriteria penting kejayaan ialah hubungan yang baik antara penyelia dan calon PhD kerana ia akan membawa hasil yang positif. Justeru, pepatah yang mengatakan ‘supervisor is always right’ amat tepat sekali. Ini kerana kejayaan seseorang calon PhD banyak bergantung kepada persetujuan penyelia.

Pengalaman belajar semasa di peringkat Sarjana (LLM) dan PhD di SOAS, kebanyakan pensyarah Undang-undang Islam adalah bukan-Islam. Mereka adalah orientalist tetapi tidak bermusuhan dengan Islam. Untuk dua subjek Undang-undang Islam semasa ambil LLM, ketiga-tiga pensyarah adalah penganut agama Kristian tetapi fasih berbahasa Arab.

Prof Chibli Mallat seorang bangsa Arab Kristian yang selalu membawa tasbih semasa memberi kuliah. Dr Doreen Hinchcliffe pakar Faraid dan Mr Ian Edge, penyelia kedua PhD saya adalah juga seorang peguam Undang-undang Komersial Arab, mahir berbahasa Arab. Prof Menski pula seorang Pakar Undang-undang India dan Pakistan. Seorang lagi pensyarah dalam Undang-undang Perbandingan Komersial Arab, Prof. Ballantyne amat fasih berbahasa Arab. Kebanyakan Pakar Undang-undang Islam di Jabatan Undang-undang SOAS adalah anak murid Prof Coulson, Pakar Undang-undang Islam yang merupakan penyelia kepada Prof Dato’ Dr Mohammad Hashim Kamali (PhD) dan Prof Dato’ Dr Monir Yaacob (MPhil).

Satu keunikan belajar Undang-undang Islam di SOAS ialah pensyarah dan penyelia meraikan pandangan calon selagi mana ia mempunyai fakta dan alasan yang kukuh. Adunan rujukan buku Arab dan Inggeris serta bahasa lain termasuk Bahasa Melayu menjadi kekuatan sesebuah tesis.

Semasa saya memohon kemasukan pengajian PhD di SOAS, saya memilih Prof Andrew Harding, Pakar Undang-undang Perlembagaan Malaysia termasuk negara Asia Tenggara. Penyeliaan di bawah Prof Harding berjalan sehingga pengajian di awal tahun ketiga bila mana dia memaklumkan bahawa beliau akan berhijrah ke Kanada. Seperti yang saya kongsi sebelum ini, Mr Ian Edge mengambil alih tugas sehingga saya berjaya mendapat PhD. Kedua-dua penyelia ini menerima hujah, fakta dan pandangan yang saya kemukakan dalam tesis saya. Pendek kata tiada perbezaan fikrah.

Persamaan fikrah juga penting dalam penentuan pemeriksa dalaman dan luaran tesis. Saya bernasib baik kerana University of London bersetuju melantik Dr Doreen Hinchcliffe sebagai pemeriksa dalaman dan Dr Dawood El-Alami sebagai pemeriksa luar. Kedua-dua pemeriksa memberi laporan pemeriksaan yang baik untuk pra viva dan pasca viva.

Saya juga mendapati Dato’ Dr Mohd Daud Bakar (dulu UIAM kini Kumpulan Amanie) juga berjaya mendapat PhDnya dalam masa 3 tahun 1 bulan. Pembetulan hanya pada satu perkataan dalam abstrak, bagi saya adalah lulus dengan cemerlang tanpa pindaan. Begitu juga Dr Danial Yusof (kini di ISTAC-UIAM) juga berjaya memperolehi PhD dan lulus tanpa pindaan dalam masa 3 tahun 5 bulan. Dr Danial berjaya menyerahkan tesis PhDnya dalam tempoh 3 tahun tetapi ia mengambil masa 5 bulan untuk viva. Dr Ramadan Fitri (Maybank Islamic) berjaya mendapat PhD di Jabatan Near and Middle Eastern Studies, SOAS dalam tempoh 3 tahun dengan hanya minor corrections yang hanya mengambil masa 2 minggu sahaja.

Saya dapati kesemua kejayaan calon PhD without correction atau with minor corrections menjurus kepada penyelia dan pemeriksa yang berkongsi fikrah yang sama. Terdapat kes di mana tesis seorang calon PhD mengkritik hebat pemikiran seorang Sarjana agung dalam pemikiran Islam di Amerika Syarikat. Nasib tidak menyebelahi calon bila mana pemeriksa luar adalah anak murid dan penyokong kuat Sarjana agung tersebut. Akhirnya, calon ini menghadapi masalah besar dengan major corrections.

Memilih Institusi atau Fakulti atau Jabatan Pengajian PhD

Cadangan penyelidikan yang baik memudahkan untuk mendapat tempat pengajian yang baik malah yang berprestij tinggi. Ini kerana, lazimnya penganjur biasiswa melihat kepada ranking universiti yang dipohon dan latarbelakang pemohon dalam membuat penilaian penganugerahan biasiswa tersebut. Justeru itu, memilih tempat pengajian amat penting dalam pengajian PhD.

Menjadi kebiasaan seseorang calon PhD mencari penyelia bidang agar ia memudahkan perjalanan kajian PhD yang dibuat. Namun, yang lebih memahami dan ‘pakar’ dalam kajian PhD itu adalah calon sendiri. Penyelia hanya memberi tunjuk ajar agar penyelidikan dan penulisan yang dibuat mengikut landasan yang betul.

Maka, di mana penyelia yang tersohor dalam bidang berkhidmat akan menjadi kriteria pilihan tempat pengajian pemohon. Maka tidak hairanlah terdapat seseorang penyelia yang mempunyai ramai calon PhD berbanding rakannya kerana kemasyhuran bidang penyelia tersebut.

Apa yang penting ialah, tempat pengajian yang kita akan belajar untuk tempoh 3-4 tahun mestilah mendapat pengiktirafan pihak berkuasa di Malaysia. Terdapat juga pihak yang tidak bertanggung jawab ‘membeli’ dan memperolehi PhD bogus untuk mendapat gelaran ‘Dr’. Malah ada nama universiti tersebut tidak langsung dikenali dan modus operandinya hanyalah untuk mengaut keuntungan.

Carilah tempat pengajian yang rankingnya tinggi agar di kemudian hari kelak tidak dipertikaikan oleh  sesiapa. Meskipun begitu, universiti yang rankingnya pertengahan tidak menjadi isu pertikaian dari aspek kualiti. Di UK misalnya, seseorang pemohon yang berjaya mendapat tawaran pengajian PhD dari 10 universiti teratas dan terbaik ranking akan dipandang tinggi dan pihak penganjur biasiswa mudah menawarkan tawaran biasiswa kepada pemohon tersebut.

Universiti di UK yang rankingnya tinggi lazimnya mengenakan syarat kemasukan yang ketat. Di samping cadangan penyelidikan yang baik, latar belakang pencapaian akademik pemohon serta penguasaan Bahasa Inggeris yang tinggi menjadi pra syarat permohonan. Tahap penguasaan Bahasa Inggeris adalah mengikut jabatan atau fakulti atau universiti.

Lazimnya, bagi pengajian Sains Sosial, pra syarat pencapaian band kelayakan Bahasa Inggeris berbeza mengikut bidang pengkhususan. IELTS band 7.5 dan ke atas dikenakan kepada calon yang mendaftar di Jabatan atau Fakulti Undang-undang manakala 5.5 dan ke atas bagi jabatan atau fakulti Pengajian Islam. Meskipun begitu, kebanyakan penaja biasiswa mensyaratkan skor band 6.5 – 7.5 sebagai syarat minima kemahiran Bahasa Inggeris mengikut bidang pengajian. Malah terdapat universiti tempatan mensyaratkan skor minima 6.5 untuk pengajian dalam negara dan 7.5 bagi pengajian di luar negara.

SUMBER: PROFESOR MADYA DR MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL
Daripada: Team MPWS

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL