no comments

KE MANA HALA TUJU ANDA SETELAH GRADUASI ?

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca 🙂 Apa khabar semuanya ? Semoga semua sihat-sihat sahaja. Okay, artikel saya pada kali ini saya akan ulas berkenaan kemana hala tuju anda setelah graduasi. Ada yang bakal bergraduasi tak pada tahun ini? Saya yakin pasti anda sekarang dalam fasa keliru, sama ada hendak meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atau terus bekerja . Betul tak ??

 

Seperti yang kita tahu, alam pelajaran seringkali digambarkan sebagai fasa yang paling manis dan penuh warna yang dilalui oleh kebanyakan orang lebih-lebih lagi di pusat pengajian tinggi. Di tahap inilah, masing-masing mula mencari minat diri sendiri, memilih jurusan yang diminati, bergelumang dengan tugasan dan akhirnya penat lelah bertahun semasa di universiti berakhir dengan jubah yang tersarung pada badan di hari graduasi.

Namun, perjalanan sebenar baru sahaja bermula. Fasa selepas graduasi adalah fasa seseorang itu keluar ke ‘dunia sebenar’, melangkah ke satu lagi fasa lain dalam hidup. Fokus utama bukan lagi projek, discussion, kuliah pada waktu pagi, atau tugasan berderet yang menanti tarikh akhir. Soal wang, hutang pinjaman pendidikan, dan mungkin soal rumah tangga mula mengambil tempat.

Mungkin ada juga dalam kalangan fresh graduate yang keliru sama ada memilih untuk meneruskan lagi pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seperti master atau mencari pekerjaan bagi menstabilkan kewangan selepas graduasi. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diteliti bagi memilih hala tuju seterusnya:

1. Tepuk Dada, Tanya Hati

Fasa selepas graduasi ialah fasa bagi seseorang itu mempertajamkan lagi perancangan dan hala tuju hidup, sama ada ingin terus mencari pekerjaan untuk menstabilkan kewangan atau terus menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.

Jika anda terlintas untuk membuat pilihan yang kedua, maka pastikan pilihan tersebut bukan kerana ikut-ikutan tetapi kerana matlamat dan tujuan yang jelas daripada diri anda sendiri. Harus diingat bahawa setiap peringkat pembelajaran mempunyai cabarannya yang tersendiri.

2. Job Hunting

Jika anda memilih untuk mula menceburkan diri ke dunia pekerjaan, maka persiapkanlah diri anda sebaiknya. Banyak tips-tips interview yang boleh anda jumpai di carian google mahupun perkongsian rakan-rakan Facebook yang sudah mempunyai pengalaman kerja.

3. Pendapatan Sampingan

Setiap orang pasti akan mengalami perjalanan hidup yang berbeza-beza. Ada yang cepat mendapat pekerjaan dan ada pula yang perlu menunggu lama dan perlu mencuba berkali-kali. Apapun yang berlaku, usah putus semangat.

Bagi mengisi masa yang terluang daripada dibazirkan, anda boleh melakukan dahulu kerja separuh masa seperti menyediakan khidmat home tutor, ejen dropship atau memulakan bisnes sendiri.

Cara ini juga boleh membantu kewangan anda terutama bagi mereka yang mempunyai pinjaman pendidikan yang harus dibayar. Dengan wang sampingan yang dijana, anda boleh membayar dahulu pinjaman pendidikan mengikut jadual yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya tunggakan.

4. Pengurusan Kewangan

Jika anda berjaya memperoleh pekerjaan yang baik dengan gaji lumayan, tidak salah untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri, namun kewangan harus diuruskan sebaiknya.

Usah leka kerana ramai orang yang terperangkap dengan hutang selepas graduasi malah ada yang sehingga disenaraikan muflis akibat pengurusan kewangan yang tidak betul. Rujuklah pihak yang pakar dalam urusan kewangan bagi membantu anda.

5. Kehidupan Berumah Tangga

Ramai juga yang memilih untuk mendirikan rumah tangga sebaik sahaja menamatkan pelajaran. Alhamdulillah bagi anda yang tidak mempunyai apa-apa masalah dan halangan. Namun, usahlah hal ini dianggap trend, contohnya anda berkahwin kerana ramai rakan-rakan yang sudah berumah tangga dan anda berasa anda sudah ketinggalan.

Kenal pasti niat, matlamat dan kemampuan anda untuk berumah tangga agar sedikit sebanyak konflik dan masalah dapat dielakkan sejak dari awal.

 

Apa pun jalan yang anda pilih setelah bergraduasi, pastikan pilihan tersebut dinilai semasaknya. Tidak perlu mencemuh pilihan hidup orang lain atau membanding-bandingkan hidup kita dengan orang lain.

Setiap orang pasti mempunyai keutamaan masing-masing. Apa jua yang ditakdirkan di akhirnya pasti itu yang terbaik buat kita. Semoga Allah mengiringi kita di sepanjang jalan yang dipilih, Wallahualam.

 

SUMBER : NATIRAH AZIRA

 

 

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL