no comments

Kalau Tidak Buat Untuk Diri Sendiri, Buatlah Untuk Anak – Anak – Suami Berjaya Genggam PhD Dengan Teguran Isteri Ini

Kami cukup terkesan dengan perkongsian Puan Asyikin Aini isteri kepada Dr. Basri . Ketika mengenali beliau di Festival Pascasiswazah Malaysia di Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) anjuran Malaysia Postgraduate Workshop Series (MPWS) dengan usahasama KUIS baru – baru ini. Kami cukup kagum betapa kentalnya seorang isteri ini yang menjadi faktor pemangkin semangat buat suami tercinta.

Bacalah perkongsian seorang bapa ini, walaupun berkerusi roda, tetapi tiada apa yang menghalang untuk terus maju jaya. Semoga kisah ini memberi inspirasi buat semua!

Kalau Tidak Buat Untuk Diri Sendiri, Buatlah Untuk Anak – Anak

Takdir berkerusi roda sudah lama ku terima. Masakan tidak, banyak aktiviti setelah berkerusi roda aku ceburi. Dari memandu, berskuba sehinggalah umrah. Semuanya boleh dilakukan.

Namun untuk kembali menulis tesis amatlah sukar. Hendak menjeling tesis pun malas apatah lagi hendak menyiapkan saki-baki bab penulisan.

2 Semester berlalu begitu sahaja. Aku daftar agar tidak luput pencalonan. Aku daftar kerana nak ambil hati semua orang. Padahal tesis tidak berjalan. Aku tidak menulis pun!

Aku masih mencari kata-kata sakti. Kata-kata yang melonjak motivasi diri. Yang mendorong dengan tindakan. Bukan yang sekadar khayalan.

Segala pujukan dan kata-kata dorongan orang sekeliling aku terima. Tetapi tidak dapat dijelmakan dalam bentuk tindakan.

Seperti biasa, isterilah tidak jemu-jemu memujuk. Sehinggalah suatu hari, pujukan itu berbentuk sentapan. “Baba,buatlah tesis”. Lantas aku segera jawab “buat apa nak buat tesis lagi, aku kan dah lumpuh, ”. Sungguh beremosi aku pada haritu. Tak tahu entah kenapa.

Riak isteri sudah berbeza, tutur katanya sedikit tinggi tetapi tersentap terus ke dalam jiwa. “Ye memang awak dah lumpuh, jadi buat sesuatu yang buat anak bangga, memang kaki awak tak boleh begerak, tapi otak awak boleh pakai lagi”.

Beliau meneruskan leterannya, kali ini kata-katanya luar biasa. “Kalau tidak buat untuk diri sendiri, buatlah untuk anak-anak”. Beliau terus ke dapur meninggalkan aku dengan kata-kata tersebut.

Tersentak!

Sambil melihat anakku diruang tamu, air mataku tiba-tiba bergenang.

Kata-kata ini sungguh keramat diungkapkan oleh isteri. Ia bagaikan satu dorongan untuk terus berusaha demi kepentingan anak-anak.

Memang itulah yang aku cari, sekiranya aku tak nak buat untuk diriku, buatlah demi anak-anak. Biar mereka membesar dengan penuh semangat dan motivasi. Motivasi yang tidak akan melumpuhkan semangat mereka kerana mereka mempunyai bapa yang bersungguh-sungguh untuk masa hadapan mereka.

Ia juga sebagai senjata dan persediaan sekiranya kawan-kawan ingin buli mereka berdua. Berkerusi roda tapi bukan biasa-biasa.

Pada usia Humaira dan Firdaus yang masih muda. Mereka tak mengerti apa-apa yang mengapa babanya berkerusi roda. Aku yang berkerusi roda tidak di anggap sebagai orang sakit. Kerana aku mengubah pemikiran mereka. Berkerusi roda tapi boleh buat apa sahaja. Dari memandu, pergi umrah sehinggalah berskuba. Namun aktiviti tersebut sekadar aktiviti biasa.

Menghabiskan PhD akan membuat mereka lebih bangga.

Saat paling menggembirakan anak-anak adalah apabila aku kembali memandu dan menghantar mereka berdua ke sekolah. Wajah mereka bertukar ceria.

“Yay!!! Baba hari ini Baba hantar saya ke sekolah”. Pernah aku bertanya, “Humaira malu ke Baba hantar pergi sekolah? Nanti kawan-kawan cakap “ayah awak cacat” pakai kerusi roda.”

“Tak! Saya suka, Ayah saya walaupun pakai kerusi roda dia buat PhD di UM.” Kata-kata ini ku ingat kembali.

Aku dapat rasakan, dia akan kecewa sekiranya aku abaikan pengajian. Semangatnya pasti luntur pada masa hadapan.

Itulah antara semangat untuk aku siapkan pengajian walaupun pada mulanya selepas lumpuh dah taknak lagi pandang tesis. Mereka mengajar dan memberi semangat kepada diriku sebagai seorang bapa yang perlu memikul tanggungjawab membesarkan mereka walau apapun perkara yang terjadi.

Aku sedar aku perlu menjadi hero kepada mereka. Hero untuk masa depan mereka. Hero dalam membesarkan mereka.

Menyedari hakikat ini, langkah demi langkah aku teruskan tanpa menoleh kebelakang. Terus fokus pada kajian. Biar sedikit kesusahan pada hari ini, membawa erti yang besar pada mereka.

Kini, mereka boleh berbangga. Walaupun berkerusi roda banyak benda boleh dilakukan. Yang paling penting memori ini akan berkekalan.

Terima kasih buat isteri yang menyentap jiwaku. “Kalau tidak buat untuk diri sendiri buatlah untuk anak-anak”.

Sumber: FB Dr. Basri

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL