no comments

Kaedah Analisis Data Kualitatif

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Apa khabar? Diharapkan semuanya dalam keadaan yang baik sahaja ya. Pada hari ini, saya ingin kongsikan kepada anda semua mengenai kaedah analisis bagi data kualitatif.

Bagi penganalisisan kualitatif, data diperiksa untuk menentukan sama ada ianya sesuai untuk kategori yang dikehendaki. Melalui proses ini, data akan ditapis dan kemudiannya pembuangan bagi data-data yang tidak berkaitan dilakukan untuk memudahkan analisis kajian. Di dalam kajian ini, soalan temubual yang dijalankan adalah dalam bentuk soalan semi-struktur. Penggunaan pita rakaman audio dan catatan nota tangan digunakan untuk merekod maklum balas daripada responden. Semasa sesi temubual dijalankan, adalah penting bagi pengkaji untuk mendengar dengan jelas segala butiran yang disampaikan oleh responden dan menulis kembali setiap pita rakaman sebaik sahaja temubual selesai dijalankan. Ini bertujuan membolehkan pengkaji mengingati segala maklumat yang di berikan kerana ianya masih segar dalam ingatan pengkaji. Data yang dikumpulkan daripada sesi temubual yang telah dijalankan ke atas pengurus besar, pengurus, eksekutif dan kerani ini perlu diterjemahkan, diinterpretasi dan dianalisis. Kajian ini menggunakan soalan temubual, dokumen dan pemerhatian serta soal selidik sebagai alat pengumpulan data kajian. Semua maklumat yang diperolehi akan ditrigulasikan dengan nota yang diambil semasa temubual, pemerhatian dan pencarian dokumen.
Petikan (Quotation) daripada sesi temubual juga dipilih sebagai rujukan dalam penulisan bab yang seterusnya berdasarkan kepada isu dan masalah yang berkaitan dengan kajian yang dijalankan (Kvale, 1988). Petikan ini dapat menerangkan kesan semula jadi dan menyokong isu yang berkaitan dengane-Perolehan syarikat kajian kes. Petikan ini juga digunakan bagi tujuan kesahihan dengan merujuk kepada temubual yang telah dijalankan ke atas responden yang berbeza-beza. Di dalam kajian ini, terdapat juga data yang tidak berstruktur untuk dianalisis. Miles dan Huberman (1994) memberi perbincangan yang lebih mendalam serta beberapa panduan dalam mengendalikan data yang tidak berstruktur ini. Data-data ini terdiri daripada dokumen yang telah diterbitkan dan tidak diterbitkan seperti laporan tahunan syarikat, laporan unit perolehan, catatan nota pengkaji, catatan daripada rakaman pita audio dan sebagainya. Secara umumnya penyelidikan kualitatif berhadapan dengan tugas untuk menentukan atau memutuskan apa yang perlu dilakukan terhadap data yang diperolehi (Wan Khairuzzaman, 2003). Perkara ini berlaku kerana tiada panduan khusus yang boleh dijadikan rujukan kepada pengkaji dalam menganalisis data yang tidak berstruktur ini (Boulton danHammersley, 1996). Oleh yang demikian pengkaji menggunakan panduan yang dikemukakan oleh Miles dan Huberman (1994) dalam menjalankan analisis ke atas data kualitatif yang telah diperolehi. Menurut Miles dan Huberman (1994), terdapat tiga aliran aktiviti dalam menjalankan analisis kualitatif. Tiga aktiviti ini ialah pengurangan data (datareduction), mempamerkan data (data display) dan kesimpulan dan pembuktian(conclusion drawing and verification).
Pengurangan data merujuk kepada proses pemilihan, fokus, perincian, dan menukarkan data daripada catatan nota atau transkrip yang diperolehi semasa pengumpulan data dijalankan. Pengurangan data ini berlaku sepanjang penyelidikan dijalankan di mana pengkaji akan memilih dan menentukan rangka kerja yang harus diikuti, persoalan kajian yang perlu dikemukakan dan pendekatan pengumpulan maklumat yang harus dipilih. Selepas pengumpulan data dilakukan, pengurangan data juga berlaku dalam membentuk kesimpulan, penkodan, penyingkiran, pembentukan kelompok atau dalam bentuk  penulisan memo. Aktiviti pengurangan data ini juga diteruskan selepas kerja lapangan dijalankan sehingga laporan akhir disempurnakan. Langkah yang kedua dalam aktiviti penganalisisan data ialah mempamerkan data tersebut. Pameran data melibatkan aktiviti seperti mengendalikan, memadatkan maklumat bagi memudahkan kesimpulan dan tindakan dilakukan. Dengan memerhatikan data yang dipamerkan, ianya dapat membantu pengkaji untuk memahami perkara yang berlaku untuk analisis seterusnya dan tindakan selanjutnya yang perlu diambil berdasarkan kepada pemahaman pengkaji. Berdasarkan kepada transkrip yang dipamerkan, ianya memudahkan pengkaji untuk membuat rumusan kerana kebiasaannya manusia sukar untuk memproses maklumat dalam kuantiti yang besar. Oleh itu, dengan mempamerkan data, ianya dapat mengurangkan data atau maklumat yang kompleks kepada bentuk yang lebih mudah difahami. Oleh itu, pengkaji mempamerkan data-data ini dalam bentuk graf, carta dan gambarajah rangkaian supaya data-data yang diperolehi dapat di gabungkan ke dalam bentuk yang mudah dicapai dan padat dengan maklumat. Perkara ini memudahkan pengkaji melihat perkara yang berlaku dan mengenal pasti kesimpulan serta membuat cadangan yang bersesuaian. Bahagian yang terakhir dalam aktiviti penganalisisan ini ialah melakarkan kesimpulan dan mengemukakan pembuktian. Pengkaji berperanan menentukan makna setiap sesuatu perkara. Pengkaji akan melihat kepada segala data yang telah dianalisis sebelum ini untuk mengemukakan kesimpulan bagi maklumat tersebut. Bagaimanapun, Miles dan Huberman (1994) juga turut menyatakan bahawa penyelidik yang cekap mampu untuk melakarkan kesimpulan sementara di samping mengekalkan maksud yang ingin disampaikan oleh responden. Bagi memastikan kesahihan data, maksud yang cuba disampaikan daripada data perlu diuji dari segi kemunasabahan ( plausibility), ketegapan ( sturdiness), dan pemastian (confirmability)data.
Sumber: sardotcom
KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL