no comments

EKONOMI ATAU KEWANGAN

Menurut pakar, ekonomi boleh ditakrifkan sebagai satu cara di mana manusia menggunakan hasilan yang ada dan terhad untuk memenuhi cita rasa yang tidak ada sempadannya. Hasilan yang ada termasuklah harta benda, wang dan sebagainya yang boleh menjadi alat untuk mencapai harapan itu tadi.

Oleh kerana wang tidak pernah mencukupi, kita selaku ibu bapa sentiasa berusaha untuk mencari wang lebih agar dapat memenuhi kehendak kita dan keluarga. Dalam mencari wang, kita dibatasi dengan agama agar sentiasa mendapat wang daripada sumber yang halal. Ini penting kerana wang ini kita gunakan untuk membeli keperluan termasuk makanan.

Masalah ekonomi amat ketara dalam peringkat permulaan pembentukan keluarga, dan ia menjadi lebih ketara apabila anak-anak mula bersekolah. Statistik menunjukkan antara sebab pasangan bercerai ialah kerana masalah ekonomi.

Dalam keadaan ekonomi merudum, lebih banyak keluarga yang akan terjejas kerana ramai pekerja diberhentikan. Masalah akan menjadi lebih rumit jika mereka tidak mempunyai wang simpanan. Keluarga terdekat mungkin tidak dapat menolong kerana mereka juga mempunyai masalah tersendiri.

Kepentingan wang simpanan sememangnya tidak boleh dinafikan. Semasa anak-anak masih kecil, eloklah menabung untuk  masa depan diri dan anak-anak. Pelbagai jenis skim insurans pelajaran boleh diperoleh dewasa ini. Pilihlah mana-mana yang sesuai dengan situasi kewangan kita.

Dalam kita berjimat untuk masa depan, kita tidak boleh keterlaluan sampai menjadi kikir. Sifat kikir tidak selari dari segi Islam khususnya dan masyarakat kita amnya. Memang ada orang yang asyik menabung untuk hari tua sedangkan keperluan anak-anak terabai. “Duit adalah untuk dibelanjakan”. Itulah kata-kata seorang kanak-kanak berumur 9 tahun yang saya tidak boleh lupakan. Dia  berkata begitu apabila saya bertanya berapa banyak wang yang dia simpan.

Seterusnya dia berkata, “buat apa ada duit kalau kita tidak boleh belanja”. Kata-kata anak itu memang ada benarnya. Jadi, saya fikir lebih baik sekiranya kita ambil jalan tengah. Kita cukupkan keperluan keluarga secara ala kadar dan selebihnya kita menabung untuk masa depan keluarga.

Pepatah Melayu ‘sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit’ amat bermakna jika kita amalkan. Bayangkan jika kita mula menabung, katalah seringgit sehari untuk setiap orang anak kita, dan kita niatkan untuk kegunaannya apabila mencapai umur 18 tahun. Tak perlulah saya kirakan berapakah jumlah tabungan kita itu. Banyak buku mengenai tabungan kewangan yang boleh kita rujuk untuk mendapatkan anggarannya.

SUMBER: BUKU MENDIDIK ANAK ABAD 21 – Satu Pengalaman

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL