no comments

CABARAN PELAJAR PHD BERSTATUS SEORANG ISTERI DAN IBU

Cabaran sebagai pelajar PhD dan ibu kepada bayi dan anak kecil adalah sedikit berlainan. Sebagai seorang perempuan yang berkeluarga mempunyai tanggungjawab untuk bersosial dan meluangkan masa bersama dengan saudara mara dan juga saudara mara suami. Lebih-lebih lagi apabila suami mempunyai susur keluarga yang besar. Setiap minggu, pasti ada jemputan atau aktiviti berkeluarga yang perlu dipenuhi seperti jemputan kahwin, hari jadi, makan, kunjungan keluarga jauh dan sebagainya. Walaupun perkara ini adalah baik tetapi ada masanya pasti berasa sangat penat dan tertekan kerana tidak mempunyai masa mencukupi untuk menyiapkan kerja-kerja rumah dan kerja-kerja PhD. Di sini saya sarankan supaya kita harus pandai membahagikan masa antara keluarga dan saudara-mara. Adalah baik sekiranya kita dapat membuat jadual lawatan untuk memastikan tiada saudara mara yang tertinggal dan pada masa yang sama keperluan kita juga terjaga.

Berikut, saya ringkaskan jenis-jenis cabaran sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak kecil ketika membuat PhD.

i) Pergerakan yang agak terhad dan keadaan badan yang tidak menentu lebih lagi ketika mengandung dan semestinya mempengaruhi rutin kerja harian.

ii) Cabaran ketika menyusu jika mempunyai anak kecil yang masih menyusu, termasuklah badan yang sentiasa penat. Apabila terlalu sibuk dengan kerja seharian, badan akan terasa penat yang berbeza dengan semasa bujang. Di mana, tidur malam tidak menentu sekiranya anak kecil kita jenis yang susah untuk nyenyak dan harus menyesuaian diri dengan keadaan bayi yang tidak dapat dijangka.

iii) Harus memberikan perhatian kepada kanak-kanak kecil yang baru mula pandai bercakap dan selalu inginkan perhatian. Anak kecil juga ada perasaan dimana akan selalu meragam dan menangis jika ibu kurang memberikan perhatian kepada mereka. Oleh itu, sebagai ibu perlu melayan anak kecil yang baru petah berkata-kata untuk membantu mereka pandai bercakap.

iv) Cabaran membahagikan masa antara PhD, suami dan anak-anak. PhD adalah satu tahap yang tinggi untuk dicapai dan pada masa yang sama, banyak risiko yang perlu dihadapi oleh penuntutnya. Mengumpul data untuk tesis dan sebagainya memerlukan masa yang banyak. Tidak mustahil masa yang sepatutnya untuk suami dan anak-anak akan digunakan untuk PhD. Kadang-kadang masa makan, tidak dapat makan bersama, hujung minggu tidak dapat luang bersama keluarga.

v) Kesulitan untuk menyesuaikan diri dengan perbezaan antara suami isteri terutamanya bagi pasangan yang baru berkahwin.

vi) Cabaran apabila pasangan tidak memahami sepenuhnya bebanan pengajian PhD anda. Apabila pasangan tidak dapat faham dengan kehidupan seorang pelajar PhD, akan selalu berlakunya pertengkaran da ini adalah salah satu sebab terjadinya perceraian sekiranya pasangan tidak memahami situasi yang perlu dihadapi.

Panduan untuk menghadapinya

Saya ringkaskan beberapa panduan untuk anda dalam menempuh cabaran membuat PhD berstatuskan isteri dan ibu kepada anak-anak kecil.

i) Perlu selalu mengingatkan diri sendiri tujuan anda berada di universiti ini adalah untuk menghabiskan pengajian PhD.

ii) Pastikan anda mendapat rehat yang mencukupi dan mengambil makanan yang berkhasiat.

iii) Sekiranya anda rasa terlalu penat dan tertekan, minta bantuan keluarga atau kawan-kawan untuk menjaga anak-anak sementara anda mencari waktu dan ruang untuk menenangkan diri sendiri. Jangan biarkan diri anda tertekan terlalu lama.

iv) Perlu faham bahawa setiap anak itu adalah berbeza dan begitu juga suami. Setiap tips yang diberi oleh rakan-rakan atau keluarga perlu ditapis dan diubah mengikut karakter setiap ahli keluarga kerana kaedah yang disaran tidak akan berkesan untuk semua individu.

v) Tidak perlu membandingkan keluarga anda dengan keluarga orang lain. Setiap keluarga mempunyai masalah masing-masing dan tidak wujud keluarga yang sentiasa bahagia tanpa sebarang dugaan.

vi) Perbincangan antara suami isteri tentang bagaimana harus menguruskan rumah tangga adalah sangat penting untuk kebaikan setiap ahli keluarga.

vii) Pastikan suami atau pasangan anda faham bebanan kerja PhD anda kerana tidak ramai di luar sana memahami kesulitan dan kesukaran yang ditempuh untuk menghabiskan PhD. Terangkan perkara ini dengan baik kepada pasangan anda dan nyatakan bahawa anda amat memerlukan sokongannya pada ketika ini.

viii) Bincang bersama ketua jabatan anda tentang kekangan yang ada dan minta sokongan serta masa daripada beliau untuk memberikan anda sedikit ruang bagi menyiapkan pengajian anda.

 

Sumber : Irniza Rasdi

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL