no comments

APA ITU DOKTOR FALSAFAH (PHD)?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Apa khabar? Diharapkan semuanya baik-baik sahaja dan dapat meluangkan sedikit masa untuk membaca perkongsian ilmu daripada saya hari ini.

Adakah anda pernah mendengar perkataan “PhD”? Saya yakin semua pernah mendengar perkataan tersebut. Namun, adakah anda semua tahu dan faham apa itu “PhD”? Jadi, pada hari ini mari kita sama-sama memahami apa itu PhD.

Kebelakangan ini masyarakat kita digegarkan dengan isu PhD atau Doktor Falsafah palsu. Ramai yang terkejut dengan kewujudan PhD palsu yang boleh dibeli sewenang-wenangnya dari institusi yang semestinya juga palsu dari luar negara. Tetapi ada ramai juga yang terlalu mudah mengenepikan isu PhD palsu dengan menganggap mendapat anugerah PhD itu bukanlah perkara besar sangat.

Rasanya ramai yang dah kupas isu PhD palsu. Tapi mari kita lihat PhD itu apa sebenarnya sampaikan ada segelintir manusia sanggup menipu memiliki atau pernah mengharungi pengajian tahap PhD itu.

Kita lihat dulu konteks sijil akademik secara umumnya:

1. Sijil Sekolah Menengah (SPM) – mengesahkan kita sudah mendapat pendidikan asas dalam subjek dan topik umum.

2. Sijil Pra-Universiti – mengesahkan kita telah melalui pendidikan lanjut dalam subjek dan topik tertentu yang akan menjadi asas kepada pengajian selanjutnya.

3. Diploma – mempersediakan kita dengan kemahiran dan pengetahuan asas di dalam profesion atau industri yang berkaitan. Membolehkan kita berfungsi pada peringkat terendah di dalam industri tersebut. Contohnya: Pembantu Jurutera atau Pembantu Akauntan.

4. Sarjana Muda – mengesahkan kita mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang lengkap untuk berfungsi sebagai profesional di dalam industri tersebut. Contohnya: Jurutera atau Akauntan. Norma praktis di Malaysia memerlukan individu itu dilengkapi dengan sekurang-kurangnya Sarjana Muda sebelum boleh menduduki ujian profesional (yang dianjurkan oleh badan di bawah akta terbabit).

5. Sarjana (Masters) – secara umumnya, mengesahkan bahawa kita mempunyai kemahiran atau pengetahuan khusus di dalam satu cabang spesifik di dalam sesuatu industri. Pengkhususan di peringkat sarjana terbit dari ilmu dan pengetahuan yang lebih meluas samada dalam aspek profesional atau akademik.

Kesemua lima tahap sijil akademik di atas merupakan terbitan dari ilmu pengetahuan yang telah dibina oleh manusia sejagat sejak zaman berzaman. Para akademik yang mahir di dalam bidang masing-masing akan mengkaji dan menyusun pengetahuan dan kemahiran yang sesuai menjadi kurikum dan silabus sebelum ditawarkan pada orang awam yang berminat.

Tapi, itu adalah berdasarkan ilmu pengetahuan yang sedia ada. Siapa pulak yang bertanggungjawab mencari dan menerbitkan ilmu baharu?

Pada asasnya, kedoktoran adalah satu pencapaian akademik yang tertinggi hasil dari pengajian dan penyelidikan yang luas dan ORIGINAL pada peringkat lepasan ijazah. Lihat penekanan pada ORIGINAL tersebut. Hanya apabila seseorang itu berjaya mendalami semua ilmu berkaitan topik atau bidangnya dan seterusnya menghasilkan penemuan baharu dan tulen, barulah seseorang itu dianugerahkan dengan Doktor Falsafah!

Ya, ini bermakna dalam tempoh beberapa minggu selepas terbitnya tesis kedoktoran anda itu, anda adalah satu-satunya pakar di dalam topik tersebut di dunia! Masyarakat dunia seterusnya akan menimba ilmu yang anda terbitkan itu, belajar dan memahami metodologi anda, dan kemudiannya akan membina ilmu baharu dari sumbangan anda tersebut.

Di sini kita dapat lihat bagaimana besarnya sumbangan PhD tersebut. Ilmu dari PhD itu adalah milik kemanusiaan. Seharusnya masyarakat boleh mengakses ilmu tersebut samada dari perpustakaan/ khutub khanah, penerbitan atas kertas atau online. Malah, seseorang yang memiliki ijazah kedoktoran tidak akan lokek untuk berkongsi ilmunya (atau tesisnya), kerana mereka sedar betapa kecilnya mereka mengembara di hadapan lautan ilmu yang sangat luas.

Saya amat berharap masyarakat usahlah memperlekehkan atau tidak mengendahkan status PhD tersebut. Ia bukan lambang kekuasaan atau magnet duit. Hormatilah sumbangan individu di dalam tesisnya. Sedarlah, bagi seseorang untuk sewenang-wenangnya mengaku memiliki PhD tanpa memberi sumbangan original dan sahih kepada pengetahuan sejagat adalah satu penghinaan besar kepada akademia khususnya, dan masyarakat
umumnya.

Jadi, itu sahaja perkongsian saya pada hari ini. Diharapkan semua pembaca mendapat manfaat daripada apa yang saya telah kongsikan. Kepada pembaca yang telah menyambung pelajaran dalam peringkat “PhD”, saya ucapkan selamat berjaya dan kepada pembaca yang mempunyai niat dan akan menyambung pelajaran tidak kira lah di dalam peringkat apa sekalipun, teruskan usaha anda. Selagi ada kesempatan dan peluang, kejarlah ilmu kerana ilmu itu tersangatlah penting dan ia tidak akan datang sendiri kepada kita.

Sumber: Arsitek Miskin
KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL