no comments

Analisis Pengesahan Faktor (CFA) Konstruk Aras Kedua ( SEM )

Analisis Pengesahan Faktor (CFA) untuk konstruk aras kedua (second order construct) adalah bertujuan untuk mengesahkan bahawa konstruk tersebut perlu diukur menggunakan beberapa sub-konstruk tertentu di mana setiap sub-konstruk itu pula diukur menggunakan beberapa item. Konstruk aras kedua terjadi apabila Analisis Penerokaan Faktor (EFA) menghasilkan beberapa komponen dan setiap komponen mengandungi beberapa item. Di sini, konstruk utama telah menjadi konstruk aras kedua manakala komponen-komponen yang terhasil menjadi sub-konstruk.

Penyelidik perlu membuat analisis penerokaan faktor (EFA) semula untuk instrumen yang diadaptasi dan diubahsuai (adapted and modified) dari kajian terdahulu jika terdapat perubahan ketara dalam ciri-ciri populasi semasa berbanding dengan populasi terdahulu di mana konstruk aras kedua itu diterokai dan disahkan. Antara contoh perubahan ketara ciri-ciri populasi ialah :

  1. Jangkamasa yang panjang – antara dua kajian tersebut di mana status sosio-ekonomi telah berubah dengan ketara. Contohnya tahap pendapatan, tahap pendidikan dan status pekerjaan responden telah yang jauh berbeza.
  2. Budaya yang berbeza – dalam populasi semasa berbanding dengan populasi di mana instrumen tersebut mula dibina dan disahkan. Mungkin penyelidik perlu menambah beberapa item baru kepada instrumen asal atau membuang beberapa item asal yang tidak sesuai untuk populasi baru yang hendak dikaji.
  3. Industri yang berlainan – antara kajian semasa berbanding dengan industri kajian terdahulu di mana instrumen tersebut dibina. Sebagai contoh- kajian terdahulu telah dibuat dalam industri pelancongan (tourism) di mana instrumen telah dibina manakala kajian semasa ingin dibuat dalam industri pendidikan (education). Oleh itu instrumen asal perlu diubahsuai dan ditambah beberapa item yang difikirkan perlu untuk industri semasa.

    Secara teorinya, jika ciri-ciri populasi sasaran telah berubah maka kombinasi komponen serta item pengukuran juga akan turut berubah. Oleh itu, penyelidik perlu menerokai semula komponen serta kombinasi item yang mengukur sesuatu konstruk tersebut. Dengan kata lain, kajian pilot dan analisis penerokaan faktor (EFA) perlu dijalankan semula terhadap konstruk tersebut walaupun prosedur yang sama telah pun dijalankan pada suatu masa dahulu.

    SUMBER : Zainudin Awang

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL