no comments

Anak Kampung Pangkat 2 SPM Buktikan Kegagalan Bukan Penghalang Meraih PhD

‘Doktor Falsafah’, suatu pangkat yang dipandang tinggi oleh masyarakat. Namun untuk mendapatkan gelaran tersebut sudah tentu perlu melalui pelbagai cabaran, banyak kisah suka duka yang perlu diharungi untuk mencapai peringkat tertinggi dalam bidang pengajian akademik ini.

Sedikit perkongsian dan motivasi untuk semua yang di peroleh Dr Shamshuritawati Sharif, seorang pensyarah di UUM. Menurut Dr Shamshuritawati, beliau berjaya menamatkan PhD 4 tahun lepas setelah melalui cabaran dan pengorbanan yang bukan sedikit. Apa yang menarik tentang doktor yang berusia 40 ini ialah, beliau merupakan satu-satunya yang berjaya masuk ke universiti daripada 6 beradik. Sebagai anak kampung yang bersekolah di luar bandar, mendapat keputusan 4A1B dalam UPSR sudah dikira sebagai satu pencapaian yang sangat baik.
“Fokus tesis saya adalah dalam multivariate hypothesis testing, salah satu bidang dalam statistik dan dianugerahkan PhD (Mathematics) oleh UTM.” – Dr Shamshuritawati

SPM Pangkat 2 dan hampir gagal pengajian Master

Setelah cemerlang dengan 11 aggregat sewaktu SRP, beliau hampir kecundang sewaktu SPM apabila hanya mendapat gred 2 (26 mata). “Mujurlah saya mendapat tawaran Diploma Statistik di ITM Shah Alam pada tahun 1995. Inilah penyelamat saya sehingga apa yang saya capai kini.”

Dr Shamshuritawati menamatkan ijazah dan kemudian menyambung ke peringkat Master Decision Science, UUM Sintok Kedah pada tahun 2001 dan berjaya tamat dalam tempoh 2 tahun. Namun menurut doktor ini, sebelum itu beliau pernah melanjutkan pengajian dalam Master in Statistics, Universiti Malaya untuk satu semester.

“Keputusan mendukacitakan walaupun tidak dibuang universiti kerana tiada strategi dalam pembelajaran. Satu pengajaran besar buat saya. Boleh dikatakan sebagai kegagalan ke 2 saya selepas SPM.” – Dr Shamshuritawati

Namun rezeki tuhan itu luas. Siapa sangka rezeki untuk beliau tetap masih ada. Selepas menamatkan master, Dr Shamshuritawati dilantik menjadi pensyarah tetap di UUM pada tahun 2003. Dan kemudiannya pada tahun 2009, beliau mengambil keputusan menyambung pengajian ke PhD, pada dasarnya adalah atas kehendak dan arahan majikan. Sejujurnya , kepercayaan diri dan percaya bahawa ada rezeki dimana-mana, maka jangan mudah untuk putus asa. Ikuti perkongsian Dr Shamshuritawati bagaimana daripada arahan majikan, beliau berjaya menukar perspektif hingga akhirnya menamatkan pengajian PhD dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Nota untuk calon PhD

“Bukan dilarang membuat cita-cita yang baru tetapi berfikirlah dengan wajar, yang akan datang itu disyukuri yang telah ada itu lebih disyukuri lagi”, kata Hamka.

Semua pasti mengetahui bahawa PhD adalah ijazah tertinggi dalam bidang pendidikan. Satu tangga yang paling atas iaitu fasa terakhir dalam aras pengijazahan. Sudah tentulah proses ke situ menjadi agak sukar dan akan bertambah sukar jika segala persiapan dan persediaan perlu melepasi proses halangan demi halangan. Sebagai muslim ianya dipanggil ujian dan musibah, maka setiap yang berlaku, perlu harungi dengan doa serta kepercayaan pada diri.

“Saya? Saya mendaftar kerana ketetapan majikan. Setelah berkali-kali cuba melepaskan diri daripada ‘hukuman’ sambung pengajian, akhirnya saya mendaftar juga pada penghujung tahun 2009. Setiap staf di jabatan saya akan diberikan tahun sasaran untuk melanjutkan pengajian. Saya tiada pilihan. Sudah penghujung. Hukum paksa. Itu pendapat saya ketika itu. Hal tersebut membuatkan diri kita tidak akan pergi jauh kerana kita lakukan atas keterpaksaaan. Ohh…tidak! Dari sisi pandangan saya, keterpaksaan itu perlahan-lahan akan menjadi kerelaan jika kita berkemahuan untuk tranpose hal tersebut.” – Dr Shamshuritawati.

Apa maksudnya? Maksudnya, dalam sesuatu keadaan tertentu akan berjaya walaupun dalam keterpaksaan, oleh sebab itu perlunya sikap bersabar dengan ketentuan-Nya.

Pada tahun 2009, Dr Shamshuritawati dan dua tiga orang rakan yang lain adalah antara mereka yang terakhir berangkat melanjutkan pengajian. Perjalanan ke satu dunia yang sangat menakutkan. Menakutkan dengan cerita penuh kegagalan. Rata-rata dipenuhi dan dihumban dengan kisah supervisor yang mengagalkan pelajar, tidak membantu pelajar, ego, keras hati, pilih kasih, jangkaan berlebihan, sibuk, dan pelbagai sifat dan sikap negatif telah digambarkan. Perasaan ketika itu seumpama hendak pergi berperang lagaknya. Mungkin gagal. Mungkin berjaya.

Jika ingin berjaya perlu dekatkan diri dengan mereka yang ada semangat untuk berjaya. Pesan pada diri, ini bukan masanya untuk kita bersenang-senang. Kata ustazah, kehidupan di dunia bukan untuk bersenang-senang. Hidup bersenang-senang dan kekal selamanya adalah di sana nanti. Bagi Dr Shamshuritawati, masyarakat mungkin tak mampu untuk tinggalkan harta berjuta, mungkin juga tidak mampu untuk membentuk anak untuk menjadi anak yang soleh, tetapi sebagai ahli akademik mereka mampu meninggalkan ilmu yang bermanfaat.

Perkara yang paling mudah. Tak ada PhD pun, boleh kan? Ya boleh. Itu kata-kata dari sudut hati kecil yang kotor apabila sudah tidak mahu berjuang. Hidup ini satu perjuangan serta jihad. Jihad melawan nafsu sangat sukar sebenarnya. Bukankah begitu?

Persediaan sebelum memohon PhD

“Akibat daripada cerita-cerita negatif, jiwa menjadi sangat tidak tenang. Mencari penyakitkah aku? Saya mula membaca kisah-kisah kejayaan. Mula menyertai bengkel menulis buku, bengkel menulis artikel, dan satu dua bengkel yang membuka minda kepada kenapa kita perlu punya PhD. Saya cuba membantu diri untuk memperkuatkan keputusan yang dilakukan. Masuk ke kelas malam untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Pergi paling lewat. Pulang paling awal. Malu jika rakan-rakan sekelas tahu saya adalah salah seorang pensyarah tetapi lemah berbahasa Inggeris. Selama tiga bulan ke kelas berbayar setiap malam. Pengorbanan masa dan wang tidak terkira. Dalam hal ini, yang penting adalah persetujuan bersama pasangan masing-masing jika sudah berkahwin. Saya ketika itu masih bujang. Nampak mudah bukan? Tetapi yang dinamakan masalah, semua orang punya masalah. Mustahil jika dia tiada masalah. Kadang-kadang cuma tidak dizahirkan melalui wajahnya sahaja. Satu MOU bersama mak dan ayah yang sudah berusia lebih 70 tahun telah dipersetujui bersama sebaik sahaja memutuskan untuk kekal bersama majikan.

Setelah mula bekerja pada usia 23 tahun, kami tinggal bersama. Kehilangan mereka daripada pandangan anak mata adalah proses yang sangat sukar untuk saya. Bagaimana dengan kebajikan mereka? Bagaimana dengan sakit demam mereka? Makan minum? Biar Allah yang jaga. Tawakal. Ini satu aspek yang penting untuk calon PhD. Memahamkan pasangan dengan tugas kita, memahamkan kita dengan tanggungjawab pada universiti. Bukan mudah untuk pasangan memahami kerjaya seorang pensyarah yang perlu menjalankan penyelidikan dan penyeliaan pelajar. Setiap usaha mesti ada kejayaan walaupun hasilnya kecil sahaja. Betulkan? Mak ayah, saya ada 3 tahun untuk belajar. Mak dan ayah mesti faham jika saya tak dapat balik dan menjaga mak ayah seperti selalu.” – Dr Shamshuritawati

Untuk capai kejayaan, bukan sahaja perlu lakukan pengorbanan tetapi mungkin ada yang terkorban dan mungkin juga ada org lain yang berkorban untuk diri sendiri juga.

Jika orang lain boleh, kenapa tidak kita?

Produk akhir pengajian adalah tesis. Menulis tesis itu wajib (ada universiti yang tidak mahukan tesis tetapi itu adalah kes minoriti). Untuk menulis perlunya ada kemahiran menulis, melaporkan, mengkritik dan berhujjah. Gilap kemahiran penyelidikan semahu-mahunya pada masa ini. Ingat, masa yang ada adalah hanya 3 tahun. Tidak lebih. Mungkin kurang. Bila menyentuh tentang masa, sudah tentulah yang membantu kita adalah pengurusan masa. Hidup mesti ada gaya orang bisnes. Menyelesaikan PhD pun lelahnya setara dengan menjalankan bisness sendiri. Ilmu ini luas sangat. Apa yang ada mungkin cuma di hujung jari sahaja. Kecil. Cari dan habiskan pencarian itu. Biar yang kecil jadi signifikan.

Dr Shamshuritawati berkata, “Apa yang saya fikirkan sepanjang tiga tahun tiga bulan pengajian PhD adalah tentang menghargai diri bahawa kita insan terpilih. Bukan semua orang mampu memegang jawatan sebagai pensyarah universiti. Jangan kata jawatan pensyarah, guru sekolah pun masih ada yang mengeluh dengan jawatannya kerana pekerjaannya bukanlah mudah yang disangka.”

Apa dikongsikan oleh Dr Shamshuritawati mempunyai nilai inspirasi tersendiri. “Ayah saya kerja kampung, tukang rumah, nelayan, jual buah di pasar malam. Semua kerja dia buat. Tapi semuanya kuli orang. Dari situ saya berazam, saya tak nak jadi kuli orang. Mak pula surirumah tetapi sentiasa cari idea untuk bantu ayah tambah pendapatan. Mak tak pernah merungut walau ayah hanya tinggalkan duit belanja RM5 sehari.”

Begitu kisah yang dikongsikan oleh Dr Shamshuritawati dan dimana banyak perkara yang boleh ambil sebagai semangat dan inspirasi kepada masyarakat. Tiada kejayaan yang tak di uji dengan kegagalan dulu. Ya, kegagalan adalah salah satu proses menuju kejayaan, apabila seseorang dapat mengambil pengajaran dari kegagalan itu. Sekarang ketika anda berada di bawah atau di tengah kegagalan, anda tidak perlu mengeluh dan menyalahkan keadaan.

Satu perkara yang kadang-kadang membuat seseorang sedih dan kecewa, kerana terlalu fokus pada kegagalan yang di alami. Cuba renungkan dan fahami bahawa setiap kegagalan mesti ada pengajaran. Jangan terlalu lama meratapi kegagalan dan berusaha untuk terus maju. Roda hidup sentiasa berpusing, tidak selamanya anda akan mengalami kesedihan. Lama kelamaan perasaan itu akan berubah menjadi kebalikannya, iaitu kebahagiaan. Jangan pernah berputus asa hanya kerana anda mendapat satu atau dua kegagalan dalam hidup anda. Sekarang untuk berusaha kembali, anda memerlukan dorongan dan motivasi diri.

Sumber :
Dr. Shamshuritawati Sharif

Dari : Team MPWS

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL