no comments

9 TIPS MEMILIH INSTITUSI PENGAJIAN dari- Sharifah Norkhadijah Syed Ismail

Pemilihan institusi pengajian tinggi merupakan proses terpenting untuk anda yang ingin melanjutkan pengajian. Berikut ialah kriteria yang kami fikirkan penting untuk dipertimbangkan ketika anda mencari institusi yang bersesuaian dengan anda. Tetapi senarai ini tidaklah menyeluruh. Mungkin ada kriteria lain yang penting untuk kerjaya pendidikan anda yang boleh ditambah kepada senarai ini, seperti penempatan pekerjaan atau kadar keciciran, yang boleh membantu anda membuat keputusan.

Antara kriteria yang penting ialah;

 

Lokasi

Lokasi menjadi faktor utama pemilihan anda. Anda perlu mengetahui di mana lokasi institusi pengajian anda. Adakah ia terletak di hujung bandar atau berada di tengah-tengah kota raya? Adakah ia mempunyai sistem pengangkutan yang efisen? Anda akan tinggal di kawasan itu untuk sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun, jadi anda perlu memastikan bahawa anda selesa. Sewaktu saya memilih University of East Anglia Norwich, United Kingdom, sudah tentu saya tidak mempunyai idea bagaimana keadaan asal tempat ini, bagaimana penerimaan penduduk sekitarnya dan banyak lagi persoalan lain. Namun begitu dengan adanya internet, saya dapat melihat kesesuaian institusi ini dengan membaca komen-komen yang ditinggalkan oleh mereka yang pernah belajar di sana. Saya boleh melihat gambar-gambar sekitar institusi pilihan saya. Saya juga boleh menghantar email dan berkomunikasi dengan pelajar Malaysia yang berada di sana untuk mendapatkan gambaran sebenar tempat tersebut. Anda juga boleh mengaplikasikan kaedah yang sama.

 

Kualiti hidup

Anda perlu menilai kualiti hidup di kawasan sekitar institusi pengajian anda. Sekiranya anda seorang yang telah berkeluarga anda perlu mengambil kira perkara-perkara seperti pusat jagaan kanak-kanak untuk anda menghantar anak kecil anda, sekolah yang terdekat untuk anak anda yang bersekolah, peluang pekerjaan untuk pasangan anda bagi membolehkan ekonomi kewangan terus kukuh, fasiliti kesihatan seperti hospital dan klinik terdekat sekiranya anak kecil anda sakit dan banyak lagi faktor-faktor lain yang berkaitan.

Anda mungkin boleh memohon maklumat ini secara langsung daripada institusi pengajian tersebut. Secara amnya mereka akan membekalkan maklumat ini di laman web mereka dan anda boleh mendapatkan informasi di sini.

 

Program yang ditawarkan

Setiap institusi dan fakulti menawarkan pelbagai program yang berbeza. Ada pengajian PhD yang mewajibkan anda menghadiri kelas dan menduduki peperiksaan sebelum memulakan kerja-kerja makmal anda seperti di Amerika Syarikat. Ada juga institusi yang tidak mewajibkan pelajar mereka menghadiri kelas seperti di United Kingdom. Walaupun pada dasarnya PhD adalah sama namun kursus yang ditawarkan mungkin berbeza kurikulum. Oleh itu anda perlu menilai matlamat kerjaya anda bagi membolehkan anda memilih program yang akan memberi manfaat kepada kerjaya anda kelak.

 

Kos

Sebelum ini adalah amat sukar untuk mencari bantuan kewangan untuk ijazah sarjana atau Ph.D. berbanding untuk ijazah sarjana muda di mana pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) disediakan. Oleh itu kos yuran merupakan suatu kriteria pemilihan anda yang utama. Namun begitu, terdapat banyak bantuan kewangan ketika ini untuk pelajar yang ingin menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan PhD yang disediakan oleh kerajaan serta badan-badan swasta yang lain.

 

Masa

Untuk program PhD sepenuh masa, anda mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun atau 6 semester, tetapi jika anda mengambil kursus separuh masa, ia boleh mengambil masa sehingga enam tahun atau 12 semester. Pastikan anda tahu berapa lama ia akan membawa anda supaya anda bersedia dengan untuk mendapatkan semua kredit yang diperlukan untuk tamat pengajian.

 

 

Kemudahan asas

Kemudahan fizikal sesebuah instistusi adalah satu faktor penting untuk berjaya dalam pengajian siswazah anda. Anda perlukan institusi yang mempunyai sebuah perpustakaan yang dipenuhi dengan buku-buku yang berkaitan dan bahan-bahan rujukan atau makmal dilengkapi dengan alat yang sesuai untuk menyiapkan penyelidikan anda.

 

Penyelia berpotensi

Profesor anda, penasihat graduan dan ahli fakulti lain harus menjadi topik penting dalam pencarian institusi anda. Mengetahui penyelidikan yang sedang dijalankan oleh profesor dalam bidang anda serta kumpulan penyelidikan yang beliau tubuhkan merupakan perkara penting dalam penilaian anda. Minta pelajar lain mengenal pasti penasihat yang sesuai untuk anda kerana mereka adalah orang-orang yang bekerja rapat dengan penyelia anda. Di samping itu, pentadbiran universiti yang mesra juga harus menjadi kriteria pemilihan anda kerana ia membantu anda ketika berhadapan dengan masalah.

 

Di kampus atau dalam talian

Menyambung pengajian di dalam kampus atau secara talian juga merupakan kriteria pilihan yang harus anda fikirkan. Jika anda seorang pelajar yang terikat dengan kerjaya yang tidak boleh dilepaskan, pengajian dalam talian boleh menjadi pilihan anda. Namun, jika anda ingin berkembang maju dengan berinteraksi dengan rakan-rakan atau profesor anda, pengajian di kampus mungkin pilihan terbaik anda.

 

Akreditasi

Anda mesti memastikan institusi pilihan anda telah mendapat akreditasi atau diiktiraf oleh badan pemantau. Jika tidak, anda akan mempunyai masa yang sukar mendapat pekerjaan kerana kebanyakan majikan meletakkan nilai yang sedikit pada institusi yang tidak diakredetasi.

 

 

Sumber : Sharifah Norkhadijah Syed Ismail

 

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL