no comments

9 Elemen Penting Dalam Pembinaan Artikel Jurnal Yang Wajib Diambil Perhatian

Penulisan artikel yang berkualiti memerlukan fokus dan penelitian dalam literatur yang melibatkan aspek teori serta aplikasi. Melalui perkongsian pintar dengan pakar anda mungkin boleh menjimatkan masa dalam perkara ini.

Sesebuah artikel akademik biasanya terdiri daripada tajuk, abstrak, pendahuluan, metodologi, dapatan kajian, perbincangan, rumusan dan cadangan, penutup dan senarai rujukan. Tips penulisan artikel jurnal ini dibincangkan secara umum supaya ia dapat dimanfaatkan oleh semua.

Tajuk

Tajuk artikel hendaklah ditulis secara ringkas, jelas dan menumpukan perbahasan utama keseluruhan artikel. Tajuk yang baik seeloknya menarik perhatian ramai untuk membacanya.

Abstrak

  • Abstrak artikel perlu mengandungi pendahuluan ringkas tentang keseluruhan kajian.
  • Selepas itu, penulis perlu mejelaskan objektif utama dan objektif terperinci kajian. Sekiranya objektif itu melebihi dua perkara, penulis hendaklah menyusun objektif-objektif tersebut mengikut keutamaan.
  • Selepas itu,jelaskan metodologi kajian dengan terperinci. Ia melibatkan reka bentuk kajian, populasi serta kaedah persampelan.
  • Senaraikan dapatan kajian secara ringkas mengikut turutan objektif kajian tadi. Abstrak kajian juga perlu disertakan secara ringkas implikasi kajian terhadap amalan semasa ataupun sumbangan kajian terhadap badan ilmu.
  • Jumlah bilangan perkataan dalam abstrak adalah bergantung kepada jurnal. Ada yang menetapkan tidak melebihi 100 patah perkataan, namun kebiasaannya adalah antara 100 sehingga 300 patah perkataan. Sekiranya bilangan abstrak melebihi atau berkurangan daripada jumlah yang ditetapkan, maka kebiasaannya pihak jurnal akan memulangkan artikel itu kembali kepada penulis untuk diperbaiki. Malah ada jurnal yang menetapkan format tertentu dalam penulisan abstrak. Perkara ini bergantung kepada pihak jurnal.

Pendahuluan

  • Pendahuluan artikel perlu mempunyai latar belakang kajian serta teori yang mendasari kajian tersebut. Penulis juga perlu menjelaskan kajian-kajian terdahulu yang pernah membincangkan persoalan yang serupa. Ini bagi membolehkan pembaca melihat kedudukan kajian terbaru ini dalam badan ilmu.
  • Seterusnya, penulis perlu membentangkan pernyataan masalah kajian yang mendorong kajian itu dilakukan. Begitu juga, apakah bentuk sumbangan kajian baru ini terhadap badan ilmu secara keseluruhannya.
  • Kemudian, penulis perlu menyatakan persoalan kajian ataupun hipotesis kajian. Sekiranya persoalan kajian itu melebihi satu, susun mengikut keutamaan. Kesemua elemen ini harulah diletakkan di bawah pendahuluan dan dibezakan oleh perenggan yang berbeza. Bahagian ini perlu diringkaskan dan biasanya tidak melebihi 3 halaman.
  • Citation yang cukup perlu dilakukan penulis bagi menunjukkan bahawa penulis telah menguasai literatur secukupnya. Sebaiknya juga segala perbahasan perlulah dirujuk kepada sumber rujukan utama dan bukannya diambil dari sumber yang kedua seperti penulisan tesis dan sebaginya. Sebagai contohnya, jika penulis bercakap mengenai Teori Piaget, maka rujukan sepatutnya menggunakan buku Piaget itu sendiri dan bukannya tesis atau buku orang lain yang datang selepas itu.

Metodologi

  • Penulis perlu menjelaskan reka bentuk kajian yang digunakan sepeti kajian eksperimen, tinjauan, kajian kes, action research, kajian etnografi, kajian campuran metode (mixed method), analisis dokumen ataupun kajian kepustakaan.
  • Penulis hendaklah menerangkan latar belakang populasi, teknik persampelan, jumlah bilangan sampel kajian serta rasional bilangan tersebut, pemilihan responden dan juga lokasi kajian yang terlibat.
  • Penulis juga harus menerangkan bentuk-bentuk instrumen yang digunakan, serta teknik kesahan dan kebolehpercayaan instrumen yang digunakan.
  • Bagi kajian kualitatif pula sebagi contohnya, penulis harus menerangkan apakah teknik kesahan yang digunakan seperti teknik kesahan Cohen Kappa dan sebagainya.
  • Sekiranya penulis menggunakan akronim, maksud akronim tersebut perlu dijelaskan.
  • Penulis juga perlu menerangkan bentuk teknik analisis yang digunakan seperti penggunaan Statistical Package for the Social Sciences (SPSS), Rasch Model, Structural Equation Modelling (SEM) dan sebagainya.

Dapatan Kajian

  • Sebaiknya, dapatan kajian perlu disusun mengikut susunan persoalan kajian supaya para pembaca dan penilai dapat mengaitkannya dengan persoalan kajian yang disebut terlebih dahulu.
  • Persembahan data juga perlu mengikut standard jurnal. Kebanyakan jurnal menggunakan standard The American Psychological Association (APA), namun terdapat juga jurnal yang menggunakan format yang lain.
  • Oleh itu, penelitian kepada format penulisan yang digariskan oleh setiap jurnal akan sedikit sebanyak membantu para penulis.
  • Penulis boleh juga melihat contoh artikel yang telah diterbitkan oleh jurnal tersebut bagi mendapatkan gambaran kasar tentang jangkaan pihak jurnal.
  • Bagi data kualitatif pula, terdapat jurnal yang lebih menggemari teknik naratif berbanding teknik persembahan data sebenar. Perkara ini adalah subjektif dan bergantung kepada setiap jurnal. Walaupun begitu, corak persembahan data ini haruslah teliti, jelas dan tersusun.

Perbincangan

  • Bahagian perbincangan menunjukkan penguasaan penulis dalam membincangkan isu utama penulisan. Seeloknya perbincangan ini disusun mengikut susunan persoalan kajian supaya pembaca dapat tumpu dan mengaitkannya dengan dapatan.
  • Penulis perlu membincangkan persoalan kajian secara kritis satu persatu berpandukan dapatan kajian dan ulasan literatur yang mantap. Ia juga perlu disokong oleh teori dan kajian-kajian yang lepas.
  • Kemudian, penulis harus merumuskan bentuk penemuan baru atau penemuan yang menyokong dapatan terdahulu yang menyumbang kepada badan ilmu dan amalan semasa.
  • Perbincangan perlu ditulis secara sistematik, akademik dan tidak meleret-leret.
  • Setiap pernyataan harus diperkuatkan dengan bukti yang boleh diambil daripada kajian-kajian yang lepas. Elakkan membuat pernyataan secara ‘syok sendiri’ tanpa disertakan buktinya. Apa yang penting, perbincangan seharusnya dalam bentuk yang akademik.

Kesimpulan dan Cadangan

Rumusan hendaklah ditulis secara ringkas tentang kajian yang dilakukan dan apakah bentuk sumbangan kajian tersebut kepada badan ilmu. Penulis hendaklah mengemukakan cadangan-cadangan baru yang terhasil daripada penemuan kajian yang dilakukan terhadap keadaan semasa.

Penutup

Kemukakan secara ringkas tentang kajian yang dibuat, penemuan-penemuan yang penting dan implikasi kajian. Penulis harus mengelakkan diri  daripada membuat citation baru.

Rujukan

  • Pastikan bahawa setiap citation yang dibuat dalam teks ditulis juga di bahagian rujukan.
  • Penggunaan perisian-perisian tertentu seperti EndNote boleh membantu penulis dalam perkara ini.
  • Senarai rujukan juga perlu ditulis berdasarkan format yang telah ditetapkan.
  • Sebaiknya, penulis perlu meluangkan masa untuk membaca Guide for authors yang disediakan oleh pihak jurnal terlebih dahulu. Hal ini kerana jurnal berlainan menggunakan format yang berlainan pula.
  • Dalam penulisan artikel, penulis perlu memperbanyakkan penggunaan rujukan yang terkini, seboleh-bolehnya 60% terdiri daripada bahan yang berumur kurang daripada 5 tahun daripada tahun artikel itu ditulis. Terdapat juga jurnal yang menghadkan bilangan rujukan bagi setiap artikel. Sebagai contohnya, Gema Online Journal hanya membenarkan penggunaan 30 rujukan bagi setiap artikel yang dihantar.

Sumber: ghazaliyusri.wordpress.com

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL