no comments

5 Elemen Pengajaran Berkesan Di Institusi Pengajian Tinggi

Penulisan ini bertujuan untuk berkongsi maklumat bersama tenaga pengajar mengenai pengajaran berkesan kerana pelajar tidak semua yang menunjukkan prestasi cemerlang terutamanya guru pelatih. Menurut sumber di dalam penulisan oleh Norfazila binti Abdul Malim (2013) iaitu Kementerian Pengajaran Tinggi Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia (2015) menyatakan bahawa prestasi yang ditunjukkan oleh guru pelatih kurang memuaskan. Menurut Abu, B. 2006; Omar, S. et al. (1994) menyatakan bahawa tahap kesediaan, minat dan sikap, pengetahuan dan kemahiran mengajar yang berada ditahap sederhana dan ini dapat dilihat daripada pencapaian murid yang tidak memuaskan dari segi pembinaan sahsiah dan keperibadian pelajar dan guru pelatih juga gagal untuk membentuk generasi pelajar diharapkan.

Pengenalan

Pengajaran yang berkesan memberi impak yang mendalam kepada pelajar. Pengajaran merupakan satu proses dimana ilmu pengetahuan dan kemahiran disampaikan. Pengajar merupakan insan mutlak dalam kehidupan pelajar mahupun di peringkat sekolah rendah, menengah mahupun di menara gading. Menurut Dunnge,R &Wragg. T. (1994) dalam artikal bertajuk Pedagogi dalam Pendidikan, menyatakan bahawa pengajaran berkesan bermaksud seseorang pengajar atau guru memiliki pengetahuan yang luas dan mendalam mengenai sesuatu ilmu pengetahuan serta mempunyai kemahiran dan teknik professional yang tinggi. Kualiti pengajaran menurut Shahril@Charil bin Hj Marzukimi (n.d) merupakan keupayaan guru untuk menyampaikan pengajaran atau konsep atau kemahiran yang mudah difahami oleh pelajar, mudah diingat dan menyeronokkan pelajar.

Ciri-ciri pengajaran berkesan

Ciri-ciri pengajaran berkesan menerangkan elemen-elemen yang ada dalam pengajaran berkesan. Elemen pertama yang perlu ada dalam pengajaran berkesan adalah pensyarah mempunyai kefahaman yang mendalam terhadap kandungan kursus yang diajar. Apabila seseorang pensyarah benar-benar faham dan mahir dalam bidang yang diajar, maka objektif bagi setiap pengajaran yang dilaksanakan sepanjang semester dapat dicapai dengan jayanya dan hasil pembelajaran sesuatu kursus yang diajar dapat dicapai sepenuhnya oleh pelajar. Didalam penulisan oleh Intan Safinas Mohd Arif Albakri, Fazilah Idris dan Maznah Ibrahium (t.t), Rashidi Azizan dan Abdul Razak (1996) telah menyatakan pensyarah perlu mengenalpasti objektif pengajaran dan memastikan objektif tersebut tercapai. Ini adalah kerana objektif pengajaran yang kabur akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran.

Elemen kedua penting selain pemahaman pensyarah mengenai kandungan dan objektif kursus adalah penyediaan rancangan mengajar yang akan membantu pensyarah merancang pelaksanaan pengajaran yang berkesan kepada pelajar. Setiap pensyarah bertanggungjawab dalam menyediakan rancangan mengajar atau lesson plans sebelum memulakan kelas bersama pelajar. Rancangan mengajar haruslah lengkap mengikut setiap minggu dalam sesuatu semester berdasarkan rangka silibus. Di dalam penulisan Muhamad Suhaimi Taat, Mohd Yusof Abdullah dan Baharom Mohamad (2012), menurut Miller (1990), mencadangkan bahawa setiap proses pengajaran harus terlebih dahulu disediakan rancangannya dan dalam rancangan pengajaran ini harus mempunyai perkara seperti tujuan am, objektif, langkah-langkah pengajaran yang mengandungi aktiviti dan perlu ada penilaian untuk mengukur pencapaian pelajar.

Penggunaan Alat Bantu mengajar (ABM) atau Bahan Bantu Mengajar (BBM) adalah elemen ketiga yang dianggap sangat penting sebagai alat yang menyokong keberkesanan penyampaian sesuatu pengajaran. Penggunaan bahan ini bertujuan untuk membantu pelajar mendapat idea yang mendalam mengenai sesuatu topik dan memastikan pelajar tidak berasa bosan. Contoh ABM atau BBM ialah flashcards, storyboard, video and audio, big book, muzik dan banyak lagi. Menurut Rashidi Azizan dan Abdul Razak ( 1996) di dalam penulisan oleh Intan Safinas Mohd Arif Albakri, Fazilah Idris dan Maznah Ibrahium (t.t), pensyarah harus mengoptimumkan penggunaan alat bantu mengajar (ABM) kerana ABM merupakan tambahan kepada penyampaian isi pengajaran secara lisan dan dapat membantu pelajar memahaminya.

Seterusnya, pemilihan kaedah dan teknik pengajaran yang digunakan oleh pensyarah merupakan elemen keempat adalah penting supaya proses pengajaran berlaku dengan sempurna dan pelajar tidak berasa bosan. Pengajaran berpusatkan pelajar merupakan pembelajaran aktif. Al-Kailany dan Iyad (1986) di dalam penulisan Muhamad Suhaimi Taat, Mohd Yusof Abdullah dan Baharom Mohamad (2012) menyatakan bahawa kaedah mestilah sepadan dengan tujuan dan matlamat pelajaran, kaedah mesti sejajar dengan objektif pelajaran yang hendak dicapai. Pengajaran yang dirancangkan oleh pensyarah perlu dipelbagaikan dengan aktiviti hands on. Mengikut Faridah, Rohaida & Abd. Razak (2013), guru harus memantapkan diri dan menjadi seorang yang kreatif untuk menyediakan rangsangan yang berorientasikan aktiviti hands on dan minds on. Penglibatan pelajar dalam aktiviti hands on adalah releven dalam memastikan pelajar memahami konsep, formula atau kandungan sesuatu topik. Aktiviti ini akan membantu pelajar dalam penguasaan kemahiran membuat hipotesis.

Elemen terakhir yang mempengaruhi pengajaran berkesan adalah persekitaran pembelajaran kondusif yang diwujudkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dijalankan. Ruang atau tempat belajar harus selesa dan tiada gangguan seperti bunyi kuat dan sebagainya. Persekitaran kondusif akan menghasilkan suasana harmonis, ceria dan memberi semangat motivasi kepada pelajar dan pensyarah serta menjadikan PdP lebih berfokus. Menurut Faridah, Rohaida & Abd. Razak (2013) penyediaan persekitaraan yang kondusif, interaktif dan berbantukan peralatan yang sesuai menjadi ransangan dalam pengalaman pembelajaran murid.

Kesimpulan

Secara umumnya, sebagai seorang pensyarah, kita haruslah sentiasa peka dan bertanggungjawab untuk mempraktiskan lima elemen pengajaran berkesan yang dibincangkan di atas dan berusaha memperbaiki kesilapan dan melakukan penambahbaikkan cara pengajaran disampaikan kepada pelajar. Pensyarah disarankan untuk mengikut Model Slavin bagi melaksanakan pengajaran berkesan dalam PdP. Antara elemen yang perlu dititikberatkan menurut Slavin ialah kualiti pengajaran, tahap kesesuaian pengajaran, insentif dan masa pengajaran. Sebagai seorang pendidik di institut pengajian tinggi kita bertanggungjawab untuk mendidik dan menyampaikan ilmu sebaiknya kerana kejayaan seorang pendidik bukan dinilai daripada sejauh mana pelajar dapat menerima ilmu dan kemahiran secara optimum tetapi lebih daripada itu ialah pelajar dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran tersebut serta boleh mengaplikasikan kedua-duanya dalam kehidupan masa depan mereka kelak.

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL