no comments

MEMILIH BIDANG PENGAJIAN

Tujuan menyambung pengajian ke peringkat PhD di dalam atau luar negara bergantung kepada pelbagai faktor. Antaranya adalah faktor bidang penyelidikan yang diminati, penyelia yang bagus, kewangan, geran penyelidikan tersedia dan sebagainya. Bidang yang diminati adalah salah satu faktor yang amat mendorong anda untuk berusaha lebih kuat dan tidak bosan sepanjang pengajian. Anda akan berdepan dengan pelbagai masalah tidak kira dari segi sampel, analisis, data, analisis data dan sebagainya. Kesemua masalah ini merupakan cabaran kepada anda untuk meneruskan pengajian PhD anda. Oleh itu, bidang yang diminati akan memainkan peranan yang amat penting dalam menjadikan anda sentiasa tabah dan sabar semasa berdepan dengan masalah tersebut. Bidang yang diminati juga akan menjadikan anda mampu untuk bertahan ketika bekerja di makmal atau di kawasan kajian tidak kira waktu. Ia adalah faktor pendorong anda di dalam pengajian anda.

Ramai yang suka kekal dalam bidang mereka semasa di peringkat Sarjana. Namun, tidak dinafikan juga ramai pelajar yang akan berhijrah ke dalam bidang penyelidikan yang baru dan diminati semasa peringkat PhD. Mengikut pengalaman Dr. Praveena, beliau telah berada dalam dua bidang yang berlainan di peringkat Sarjana dan PhD. Di peringkat Sarjana, beliau telah menjalankan penyelidikan di dalam bidang kimia tanah/sedimen manakala di peringkat PhD beliau membuat penyelidikan dalam bidang kimia air. Minat dalam bidang penyelidikan alam sekitar adalah faktor utama dalam pemilihan beliau ketika itu.

Beliau amat meminati bidang kimia air dan tanah. Walaupun pada mulanya ianya agak susah, namun sikap untuk terus berusaha menjadikan beliau jatuh cinta dengan kedua-dua bidang kimia air dan tanah. Sememangnya interaksi air dan tanah serta tindak balas kimia di antara air dan sedimen tidak dapat dipisahkan. Antara kebaikan dalam memilih dua bidang yang lain di peringkat Sarjana dan PhD adalah ia akan membuka kita kepada pelbagai ilmu baru dalam analisis sampel, analisis data, statistik serta penulisan dalam dua bidang yang berlainan.

Kesemua ini akan membantu anda apabila melangkah ke dunia pekerjaan yang memerlukan anda mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang yang diceburi. Sebagai contoh, semasa melanjutkan pengajian di peringkat PhD, beliau juga terlibat dalam pelbagai analisis sampel udara, sisa pepejal dan sebagainya. Walaupun pada masa itu, ianya dirasakan agak sukar, namun beliau menjadikan ia sebagai salah satu peluang untuk mempelajari ilmu tambahan. Kesemua ini telah menjadikan beliau seorang yang berpengetahuan luas dalam bidang analisis alam sekitar. Semasa beliau memohon jawatan pensyarah, beliau diperlukan untuk mengajar di dalam bidang analisis persekitaran, sesuatu yang bukan lagi asing bagi beliau

Namun demikian, tidak dinafikan juga sekiranya anda kekal di dalam bidang sama di peringkat Sarjana dan PhD anda juga mempunyai kelebihan yang tersendiri. Meluangkan masa 5 hingga 6 tahun dalam bidang yang sama walaupun topik kajian yang berlainan, akan menjadikan anda seoarang berpengetahuan luas. Anda akan menjadi seorang yang sangat mahir dari segi penyelidikan terkini di dalam bidang tersebut, mampu meneroka penyelidikan yang dijalankan dengan lebih mendalam, mampu menguasai pelbagai kemahiran serta lain-lain lagi. Antara kelebihan pilihan ini adalah, anda boleh memohon pekerjaan dalam bidang yang spesifik mengikut bidang kajian anda. Sebagai contoh, seorang dari rakan kami yang kekal di dalam bidang kajian air selama 6 tahun sepanjang pengajian beliau di peringkat Sarjana dan PhD telah mendapat jawatan pensyarah di dalam bidang analisis air dan menjadi pakar rujuk untuk masalah air. Beliau juga menjadi pakar rujuk bagi institut penyelidikan air di Malaysia. Tidak dinafikan, setelah memperolehi jawatan pensyarah di salah satu universiti awam di Malaysia, beliau masih meneruskan penyelidikan air dengan menerokai pelbagai bidang baru yang terkaitan dengannya.

Oleh itu, memilih bidang di dalam peringkat PhD adalah sangat penting kerana ia akan menjadi pendorong utama kepada kejayaan anda di masa akan datang.

 

 

Sumber : Sarva Mangala Praveena

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL