no comments

JURNAL BERWASIT VS JURNAL TIDAK BERWASIT

Jurnal berwasit bermaksud setiap artikel yang diterbitkan telah melalui proses perwasitan (review) oleh pakar yang dilantik oleh pihak jurnal, biasanya melibatkan 2-5 orang pewasit bagi setiap artikel. Mereka merupakan pakar dalam bidang yang menjadi topik utama artikel tersebut. Terdapat jurnal yang meminta cadangan nama pewasit daripada penulis artikel, namun pemilihan akhir para pewasit adalah terletak pada pihak jurnal sendiri. Proses perwasitan dilakukan secara double blind review, iaitu pihak penulis dan pewasit saling tidak kenal mengenali antara satu dengan yang lain. Ini bagi memastikan proses perwasitan itu adalah telus dan tidak berat sebelah. Oleh sebab itu, semasa menghantar artikel, kebanyakan penulis diminta untuk menghilangkan segala identiti mereka yang boleh dikenali oleh pihak pewasit. Terdapat juga jurnal yang meminta penulis mengekalkan identiti mereka dalam teks artikel, tapi pihak jurnal sendiri yang akan memadamkannya sebelum teks itu dihantar kepada para pewasit.

Jurnal tidak berwasit pula merupakan jurnal yang tidak mewasitkan artikel yang diterbitkannya. Ini bermaksud artikel yang dihantar kepada jurnal ini tidak akan dirujuk kepada pakar dalam topik artikel itu untuk mengesahkan dan menilai kualiti penulisan. Ini juga bermakna penerbitan dalam jurnal sebegini adalah lebih mudah daripada penerbitan di jurnal yang berwasit. Perkara ini kerap berlaku dalam penerbitan buletin dan majalah. Proses penyuntingan artikel mungkin hanya dilakukan oleh pihak editor jurnal tersebut sahaja dan mungkin hanya membabitkan aspek teknikal dan bahasa. Terdapat juga jurnal yang menawarkan pilihan kepada penulis sama ada mahu mewasitkan artikel yang dihantar ataupun tidak. Maka dalam keadaan ini, pilihan adalah di tangan penulis.

 

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL