no comments

TIPS MENULIS ARTIKEL JURNAL

Setelah memperihalkan aspek-aspek teknikal berkaitan dengan penerbitan artikel jurnal, saya suka pula membincangkan beberapa tips dalam penulisan artikel jurnal. Namun, kepelbagaian bentuk kajian dan bidang menjadikan penulisan artikel itu berbentuk rencam dan pelbagai. Oleh itu, saya akan berkongsikan tips-tips umum sahaja yang boleh digunakan sebagai panduan oleh kepelbagaian bidang tadi, insyaAllah.

Tips umum

Pertama sekali, anda sebagai penulis perlu mempunyai modal jika anda mahu berniaga. Penulisan artikel adalah buah daripada hasil kajian yang anda lakukan. Oleh itu, anda perlu mewujudkan modal itu dahulu sama ada melalui kajian sendiri, kajian kerjasama dengan organisasi ataupun kumpulan.

Anda juga perlu mengenali bidang kepakaran yang menjadi kekuatan anda seperti sosio linguistik, psikolinguistik, psikologi pendidikan, kurikulum, korpus, kontrastif dan sebagainya. Anda juga mungkin sahaja pakar dalam bidang ekonomi dan juga sains. Namun, bidang-bidang ini juga mempunyai sub-sub kepakaran masing-masing. Anda tidak boleh terlalu tamak kerana anda tidak akan mampu untuk menjadi pakar dalam semua bidang. Penulisan artikel yang berkualiti memerlukan fokus dan penelitian dalam literatur yang melibatkan aspek teori serta aplikasi. Bagi membina penguasaan literatur, ia memerlukan masa dan melibatkan pembacaan serta penelitian yang teliti. Anda mungkin boleh menjimatkan masa dalam perkara ini dengan membuat perkongsian pintar dengan pakar. Mungkin para profesor ataupun pelajar PhD dan sarjana boleh memandu anda dalam pembacaan literatur. Anda boleh sahaja memohon bantuan mereka dari segi teori dan literatur, namun anda pula mengepalai kajian aplikasinya.

Perkara ini juga biasa berlaku apabila melibatkan projek kajian yang besar. Seorang pakar dari Amerika Syarikat mungkin akan meminta bantuan kepakaran di Malaysia bagi mengepalai pengumpulan maklumat di bahagian Asia Tenggara yang boleh menyempurnakan satu kajian yang berskala besar. Inilah yang dinamakan sebagai kajian kolaborasi dan suasana menang-menang pun dapat diwujudkan antara para pengkaji. Seorang profesor dalam bidang kejuruteraan mungkin sahaja memerlukan bantuan literatur daripada seorang sarjana dalam bidang perubatan ababila kajiannya melibatkan rentas disiplin ilmu. Dengan cara ini, perkongsian kepakaran akan berlaku dan ilmu juga akan berkembang merentasi bidang.

Anda perlu mengenali tokoh dalam bidang penulisan anda. Perkara ini akan membolehkan anda melihat trend perbincangan dan perbahasan semasa dalam bidang tersebut, mengkaji corak perbahasan yang diterima oleh pihak jurnal serta boleh menjejaki nama jurnal yang menerbitkan artikel tersebut. Anda juga boleh merujuk kepada penulisan tokoh tersebut seterusnya dapat meningkatkan lagi mutu akademik penulisan anda.

Anda juga perlu mengkaji corak penulisan dan trend semasa kajian berkaitan dengan bidang anda. Kajian yang baik belum tentu akan diterbitkan oleh jurnal berimpak tinggi sekiranya perbahasan itu sudah lapuk dan sudah tepu. Ini kerana impak yang mampu dihasilkan adalah kurang kerana pengkaji sudah tidak membincangkan perkara itu lagi.

Anda juga perlu mengenali jurnal yang berpotensi menerbitkan hasil penulisan anda. Jurnal-jurnal berimpak tinggi khususnya yang terindeks dalam ISI Tomson dan SCOPUS sangat menitikberatkan skop penulisan. Sekiranya skop penulisan artikel itu terkeluar daripada skop jurnal, maka ia akan ditolak tanpa diwasitkan.

Sesebuah artikel akademik biasanya terdiri daripada tajuk, abstrak, pendahuluan, metodologi, dapatan kajian, perbincangan, rumusan dan cadangan, penutup dan senarai rujukan.

Artwork by: ghazaliyusri

 

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL