no comments

Pengalaman belajar PhD….

Assalamua’alaikum semua

 

Pengalaman belajar PhD ini mungkin berbeza antara sesama kita. Di sini saya ingin berkongsi pengalaman saya yang tak seberapa. Manalah tahu sedikit sebanyak bermanfaat dan dapat dijadikan panduan.

 

MULA BELAJAR PhD

 

Selepas selesai Ijazah Sarjana Muda di UM saya terus sambung belajar peringkat Master di UIA. Selepas saja lulus Master saya mula meninjau peluang pekerjaan dan alhamdulillah mendapat tawaran sebagai pensyarah di UTM. Kiranya saya mula belajar PhD setelah bekerja sebagai pensyarah di UTM, Skudai Johor. Itupun setelah beberapa tahun. Agaknya kerana seronok dengan alam pekerjaan…maklumlah dari kecil saya bercita-cita ingin menjadi seorang pensyarah Universiti.

 

CABARAN SEMASA BELAJAR PhD

 

Saya juga menempuh pelbagai cabaran semasa belajar PhD, antaranya:

 

  1. Jarak Jauh-Saya tinggal di Johor Bahru dan belajar di Universiti Malaya KL. Setiap kali ingin berjumpa supervisor bermakna saya terpaksa travel ke KL. Cara saya pula, saya sentiasa bawa suami dan anak-anak saya bersama setiap kali ke KL kerana sebab-sebab tertentu terutamanya saya tidak mahu berjauhan dengan anak-anak yang masih kecil.

 

  1. Bahasa-Kajian saya berkaitan status wanita Yahudi. Jadi mostly rujukannya ialah di dalam bahasa Inggeris. Oleh kerana kajian saya ditulis dalam bahasa Melayu, saya perlu menterjemah bahan-bahan bacaan dalam bahasa Inggeris dan Arab. Boleh dikatakan ia satu tugas yang mencabar dan menuntut kesabaran juga.

 

  1. Kerjasama Untuk Interview– Dalam bab interview, saya tidak berjaya dalam usaha untuk mendapatkan kerjasama daripada Rabai Yahudi. Berkali-kali berusaha call dan hantar email, tak berjaya jua atas alasan mereka tidak bersedia. Akhirnya saya hanya dapat interview paderi Kristian.

 

STRATEGI SAYA

 

Susah kan nak Graduate on Time (GOT)? Strategi saya ialah:

 

  1. Pilih Tajuk Yang Kita Minat

Pemilihan tajuk sangat penting. Tajuk mestilah bertepatan dengan kemampuan kita. Saya pilih tajuk yang saya minat kerana bila ada minat mendalam, kita tak akan mudah lemah semangat, hilang fokus dan putus asa walau apa pun rintangan yang menghalang.

 

  1. Bersungguh-sungguh Dari Awal

Jujurnya saya takut-takut nak sambung PhD. Takut susah, takut ujian berat, takut tak mampu etc. Tapi bila saja saya mendaftar, saya buang segala perasaan negatif tu. Saya pastikan bulan pertama belajar dan siap bab 1 dan diikuti bulan kedua siap bab 2, dan seterusnya..bab 3,4,5 siap pada penghujung setiap semester.

 

  1. Komited

Saya cuba berikan komitmen yang terbaik. Hasilnya cukup tempoh 2 tahun saya sudah selesai menulis 5 bab tesis saya. Masa selebihnya saya serahkan tesis untuk supervisor beri komen dan saya buat penambahbaikan.

 

  1. Tidak Memanjakan Diri

Kalau saya kepenatan atau hilang mood, saya rehatkan diri saya hanya seketika saja. Kemudian saya cari semula kekuatan untuk sambung kajian. Saya biasakan diri, setiap kali saya menulis tesis, saya siapkan at least 10-15 halaman untuk memastikan target saya tercapai.  Walaupun ada anak kecil berumur 3 tahun yang selalunya turut sama berada di atas kerusi berdiri di belakang saya J

 

  1. Kejar Target dan Disiplinkan Diri

Saya tetapkan target dalam penulisan kajian saya bagi setiap semester. Disiplinkan diri setiap hari mesti menulis atau ada improvement berkaitan kajian. Tiada istilah ‘tersesat’ dalam masalah atau angan-angan.

 

  1. Cekal dan Tidak Putus Asa

Semua orang bertembung cabaran dan ujian masing-masing ketika belajar PhD. Saya juga tak terkecuali. Saya sudah mempunyai 3 orang anak ketika belajar PhD. Ketika saya mendapat berita bakal mendapat anak ke 4, langkah saya makin laju. Saya pastikan penulisan kajian saya siap sepenuhnya pada awal kehamilan lagi. Walaupun ketika ini saya diuji oleh Allah dengan masalah janin yang menekan pundi kencing sehingga saya sukar membuang air secara normal. Ketika ini doktor memutuskan saya perlu memakai tiub untuk seketika untuk mengelakkan kesakitan yang teramat sangat. Keadaan ini hanya seketika. Ia berakhir selepas usia kandungan mencapai 3 bulan.

Meskipun sakit saya terus menaip tesis walaupun sambil berdiri kerana tiub tersebut tidak membolehkan saya duduk dengan selesa. Kerana saya percaya untuk berjaya, tiada istilah putus asa.

Ujian yang lain ialah anak saya dimasukkan ke wad ketika menghampiri hari viva tesis saya. Dia hanya dibenarkan keluar dari hospital sehari sebelum hari viva-voce saya. Hati resah dan berkecamuk kan? Sabar dan redha…itulah ubatnya. Saya bertawakkal dan sandarkan semua kepada-Nya.

 

  1. ‘Tundukkan’ Hati dan Jangan Sesekali Sombong

Ini petua untuk memudahkan sesi Viva-voce. Bila nak masuk bilik viva, baca Bismillah..selawat banyak-banyak..baca: Lailaha Illa Anta Subhanaka Inni Kuntu Minazzalimin..etc. Jangan over confident dan lebihkan tawadhuk. Rendah diri yang ada dalam diri kita adalah kunci yang membuatkan kita lebih dipandang tinggi. Saya juga buat persediaan yang rapi untuk sesi viva walaupun tidak menyangka akan dipermudahkan oleh Allah Taala dengan kenangan yang begitu manis. Alhamdulillah saya lulus viva yang berlangsung dalam masa yang singkat tanpa perlu mempamirkan dan menghuraikan slide powerpoint saya. Hanya menjawab beberapa soalan yang ditanya examiners.

 

 

  1. Niat Belajar Kerana Allah Dengan Penuh Minat

Ini perkara asas yang paling penting sebenarnya. Perkara utama. Saya sentiasa ingatkan diri tentang niat mencari ilmu kerana Allah. Kerana itu saya sentiasa rasa berminat mendalami kajian saya. Kerana itu juga rasa putus asa tidak pernah menjengah fikiran saya. Saya percaya kerana itu juga Allah permudahkan perjalanan pengajian saya dari awal hingga akhirnya. Kerana sentiasa memperbetulkan niat Allah kurniakan saya 2 nikmat: dipermudahkan sesi viva saya malah berturutan selepasnya, saya dianugerahkan University of Malaya Excellence Award. Semua berlaku dengan izin-Nya. Alhamdulillah.

 

Akhirnya TAHNIAH saya ucapkan kepada semua yang sedang belajar peringkat PhD atau telah lulus PhD. Perbanyakkan ibadat dan berdoa. Kuatkan semangat. Jangan biarkan diri kalah sebelum berjuang! Anda mampu melakukannya. Insya Allah.

Salam perjuangan pada para pejuang PhD..

Sumber: drcinderella.blogspot.my

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL