no comments

Gadis Ini Berkongsi Bagaimana Beliau Gagal Dalam Subjek Matematik Tetapi Cemerlang di Universiti

Kisah ini dikongsikan oleh seorang gadis yang bernama Nur. Beliau kini sedang melanjutkan pengajian mod separuh masa dalam bidang B.Ed (Hons) Guidance & Counseling di IIUM Centre For Continuing Education, IIUM Gombak Tahun Tiga.

Sewaktu zaman sekolah, saya seorang seorang murid yang sebenarnya bijak. Tetapi saya tidak tahu mengapa saya tidak pernah lulus subjek matematik sewaktu sekolah menengah. Sewaktu tahun menduduki SPM, ayah saya hantar saya menghadiri kelas tuisyen matematik dengan guru pakar secara one on one di Taman Melati, Kuala Lumpur yang jarak perjalanannya adalah 15 minit dari rumah. Cuba teka apa yang saya dapat untuk keputusan SPM saya? Saya dapat 2A, 3B, 3C dan 1G. G itu adalah matematik. Dan G itu tidak dicatat dalam sijil asli keputusan SPM. Saya mula berasa down kerana dikelilingi oleh adik beradik yang bijak.

Adakah saya kecewa dengan keputusan saya? Ya, saya kecewa dengan keputusan SPM saya dan diri saya sendiri. Saya tahu sepatutnya saya boleh dapat lebih baik dari itu dan saya asyik menyalahkan diri sendiri kerana keputusan matematik seperti itu. Saya juga pernah berputus harap untuk mengejar cita-cita saya sebagai seorang kaunselor yang bertauliah.

Selepas  itu bermula lah episod yang mengubah kehidupan saya 100%. Saya dan keluarga berpindah ke Bangi. Saya mengambil keputusan untuk masuk ke Tingkatan Enam dan meneruskan pengajian Pra-Universiti di sebuah sekolah menengah di Pekan Nilai Lama, Negeri Sembilan. Jarak di antara rumah di pinggir Bangi dengan sekolah di Pekan Nilai Lama adalah 20 minit jarak perjalanan.

Keputusan STPM diumumkan dan saya sekali lagi gagal mencapai keputusan yang baik. Mungkin kerana faktor saya tidak meminati Tingkatan 6. Saya hanya lulus penuh subjek Pengajian Am dan lulus separa subjek-subjek lain. Namun begitu saya menghargai pengalaman itu. Berkawan dengan budak-budak kampung banyak mengubah cara saya berfikir dan bertindak. Rakan-rakan saya jenis yang menghormati orang terutamanya orang yang lebih tua dan orang yang berilmu. Sehingga ke hari ini, walaupun rakan-rakan saya ramai yang telah mendirikan rumahtangga dan bekerjaya kami tetap ziarah para guru kami terutamanya ketika musim perayaan. Tradisi beraya di rumah para guru berkekalan sehingga ke hari ini. Itulah antara nilai baik yang saya belajar dari rakan-rakan kampung saya. Hormat guru yang baik. Rakan-rakan saya dan para guru saya tidak pernah gelak kan saya yang masih terkial-kial belajar degree pada usia yang menghampiri 30-an ini.

Tips pertama untuk berjaya; hormati guru yang baik dan faqih akan ilmu

“Tidak termasuk golongan kami orang yang tidak memuliakan yang lebih tua dan menyayangi yang lebih muda serta yang tidak mengerti (hak) orang yang berilmu (agar diutamakan pandangannya).” (Riwayat Ahmad)

Tetapi jika ada sebarang kesalahan yang terzahir dari peribadi seorang guru. Usah diikut.

Hari Raya Aidilfitri 2016 di rumah guru-guru di Nilai dan Seremban

Selepas itu saya membaca surat khabar dan ternampak iklan mengenai program Diploma Kaunseling di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM). Ayah dan ibu saya memberi peluang lagi dan kali ini saya tidak mensia-siakan peluang saya. Saya daftar diploma pada usia 20 tahun dan bergraduasi pada usia 23 tahun dengan keputusan yang baik. Saya juga aktif dengan pertandingan-pertandingan debat dan pidato di kolej serta terpilih sebagai Timbalan Setiausaha Majlis Perwakilan Pelajar.

 

Pertandingan debat peringkat akhir dan mewakili fakulti di kolej

Tips kedua untuk berjaya ; Rebuild ourself

Ingatlah pesanan dari Al-Qur’an : “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka” QS 13:11

Siapa yang berusaha pasti berjaya. Selagi nadi kita berdenyut kita mesti lakukan yang terbaik dalam menjalani kehidupan kita. Baiki kekurangan yang ada pada diri kita. Kenal diri kita dan kenal potensi diri kita. Hargai diri kita kerana setiap orang antara kita ada potensi tersendiri dan berupaya untuk berjaya.

Selepas tamat pengajian diploma, saya cabar diri saya untuk bekerja sambil belajar di UIAM Gombak. Dengan jadual kerja dan belajar yang tidak pernah berhenti, Alhamdulillah saya berjaya mengekalkan keputusan CGPA 3.50 ke atas setiap semester. Saya bekerja sebagai seorang pegawai pemasaran dan pernah bekerja sebagai seorang guru pendidikan khas di sebuah pusat psikologi dan guru bimbingan di sebuah ma’ahad tahfiz. Perjalanan ini banyak membuka mata saya untuk lebih menghargai diri sendiri dan nikmat yang diberikan.

Bersama rakan-rakan sekuliah

Seorang rakan sekuliah saya pernah berulang-alik dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menghadiri kuliah di UIA pada setiap hari sabtu dan ahad. Hari jumaat pagi beliau akan menaiki bas ke Kuala Lumpur dan menumpang di rumah saya atau rakan-rakan sekuliah yang lain. Hari ahad selepas kuliah beliau akan menaiki bas pulang dan akan tiba di Kuala Terengganu pada hari isnin pagi dan terus masuk ke pejabat.

Saya dan rakan-rakan sekuliah saling menyokong dan menolong antara satu sama lain. Sekiranya seorang terlupa akan sesuatu yang lain akan mengingatkan. Sekiranya seorang berduka yang lain akan mendengar dan menghulurkan bantuan. Sekiranya seorang berjaya kami akan mengucapkan tahniah. Begitulah persahabatan kami.

Tips ketiga untuk berjaya : Bersahabat dan bercampur dengan orang yang positif, bijak dan berjaya

“Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah / bersikap bijaksanalah dalam memilih sahabat.” (Riwayat Ahmad)

Maka pilihlah rakan yang baik, berakal dan bijak. Rakan yang berwawasan dalam kehidupan dunia dan akhiratnya. Tinggalkan dan elakkan berkawan dengan individu yang mempunyai sifat sebaliknya.

Di akhir perbualan di antara krew dan beliau, beliau berpesan untuk jangan pernah penat dengan kehidupan, sentiasa mencari ilmu, menyebarkan ilmu dan tingkatkan kebolehan diri sendiri untuk terus maju ke hadapan. Gunakan ilmu yang diperoleh untuk dimanfaatkan kepada orang lain dan masyarakat. Beliau mengakhiri sesi temubual dengan mengucapkan selamat maju jaya diucapkan kepada semua dan semoga kekal dalam perjuangan dan tidak berputus asa.

 

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL