no comments

Rakan OKU ini berjaya capai Impian dan kini Pensyarah Kanan di hormati

BerSempena Hari OKU Sedunia 2016 hari ini, 3 Disember, aku akan share sedikit kisah aku sbg anak OKU…. Tidak mudah seperti yang anda rasa dan anda alami jika dibandingkan dgn kami, insan cacat sejak lahir lagi. Namun aku bersyukur kpd Allah swt serta aku terus bersyukur kerana terpilih dlm golongan umat Nabi Muhammadd saw.

“Aku Anak Jati Aloq Setaq: Sebuah Catatan Memori Zaman Remaja OKU
MOHAMAD MUZAMMIL MOHAMAD NOOR, B.K.M., B.A. Hons, M.A, USM, Ph.D, Malaya
[email protected]

Aku, ramai yang sebut Men. Anak bongsu dalam lapan adik beradik, anak kepada ‘Pak Noq Tanaman’ dan ‘Mak Ma’. Aku rasa aku anak bertuah kepada arwah ayah dan arwah mak aku pasai aku seorang OKU sejak beranak lagi dan diberi perhatian yang penuh kasih sayang. Aku dilahirkan kira-kira 44 tahun lalu dalam keadaan bayi cacat yang comel dan gebu di Hospital Besar Alor Setar yang kini ditukaq kepada Pejabat Kesihatan Daerah kat Bakaq Bata dekat Muzium Negeri Kedah Darul Aman.

Aloq Setaq memanglah tempat tanah tumpah darahku. Tempat aku dibesaqkan, disekolahkan dan tempat mula-mula aku kejaq cita-citaku. Sebuah bandaq yang hebat membangun. Ada menara telekomunikasi antara tertinggi di dunia. Tempat yang aku merasa agak keperitan jugak, maklumlah kurang kemudahan untuk aku akses sebagai OKU berkerusi roda semasa zaman kanak-kanak dan remaja. Semua itu dahulu kala, lebih dua puluh tahun lampau.

Ayah dan mak aku cukup obses untuk aku menimba ilmu bagi aku boleh membaca, mengira dan menulis supaya kehidupan aku lebih luas pada masa hadapan sewaktu depa tidak menjaga aku lagi. Depa mengharapkan sekurang-kurangnya aku bekerja sebagai kerani cukuplah. Yalah nasib anak cacat tidak siapa boleh meneka kecuali semuanya aturan Tuhan belaka. Ayah aku setiap hari dengan kereta Toyota Carolla Wagon menghantaq aku ke sekolah. Dari sebuah sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Dato’ Wan Mohamad Saman (SRDWMS) kat Tandop pinggiaq Aloq Setaq hinggalah sambung belajaq kat sekolah menengah yang bernama Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR) di Meregong, di tengah-tengah pekan Aloq Setaq. Mak aku pulak macam biasa setiap kali aku pi sekolah waktu pagi atau sesi petang akan menyediakan bekai makanan sambil sarongkan stokin dan kasut putih kat kaki aku sambil aku dok ataih kerusi roda. Rindunya saat-saat itu. Kekadang mak akan ikut ayah hantaq aku pi sekolah kalau ayah tak teruih pi pejabatnya. Ayah aku hanya juruteknik pertanian kat Jabatan Pertanian Teluk Chengai jalan nak pi Kola Kedah dan lepaih tu sambung khidmat selepaih pencen kat pejabat MADA di Ampang Jajaq dekat Aloq Setaq gak.

 

15317744_10154271623459217_1313582971159138677_n

Dari situ aku mulai sedaq yang depa dua orang tua aku tu sangat berharap aku luluih setiap kali peperiksaan kat sekolah. Aku masuk sekolah agak lewat usia iaitu lebih kurang umoq 9 tahun. Masa aku umoq 7 hingga 8 tahun, aku di Cherok Padang, Sik kerana ikut ayah dipinjamkan kat Pusat Latihan Pertanian sebagai Pengetua Pusat sekitar akhir tahun 1970-an. Di sana aku dok tepi pintu rumah tengok budak-budak balik dari sekolah setiap hari sekolah. Selalu aku tanya mak, “Mak awat ceq tak pi sekolah macam depa? Ceq teringin jugak mcm depa semua”. Mak diam saja sambil pujuk aku dengan suap makan tengah hari kat luaq pintu rumah. Masa itu nak dapat kerusi roda agak susah, menurut ayah aku. Masa tahun 1981, selepaih ayah aku balik ke tempat kerja asainya kat Telok Chengai dan usaha cari kerusi roda berjaya dapat, maknanya cita-cita aku tercapai. Aku dimasukkan ke sekolah SRDWMS teruih ke darjah 3 tapi pada sesi lepaih waktu rehat. Waktu pagi pula aku ditempatkan dalam Kelaih Pemulihan dibawah seliaan Cikgu Rokiah Mehat untuk berlatih aku membaca. Beliau merupakan cikgu pertama dalam hidup aku. Beberapa tahun lalu aku sempat berjumpa dengan Cikgu Rokiah di Taman Muhibbah, Aloq Setaq semasa ziarah hari raya. Beliau bangga kerana anak didiknya yang OKU dan yang sukar membaca telah memperolehi Ijazah Doktor Falsafah dan bergelar ‘DR.’ serta menjadi ‘guru’ di universiti. Lebih berbesaq hati, aku menghadiahkan sebuah buku yang aku karangi bertajuk ‘Guru Melayu dan Politik Di Kedah, 1940-1960’ kepadanya. Cikgu Rokiah terharu sambil berkata, dulu Muzammil tak boleh baca dan menulis tapi lani dah jadi penulis Kedah yang meningkat naik. Aku hanya mampu mengucap terima kasih dan memohon menghalalkan segala ilmu.

Semasa di SRDWMS, ayah aku mengupahkan seorang tukang kebun sekolah itu, Pak Mat untuk memantau aku di sekolah terutama waktu rehat dan pi tandas. Aku rasa akulah yang pertama anak murid yang berkerusi roda di situ. Kemudahan untuk golongan macam aku tidak payah ceritalah, mana ada sekolah yang tak ada banyak longkang? Susah kerusi roda aku nak lalu. Bayangkanlah waktu pagi aku ke kelaih pemulihan lepaih tu waktu rehat kena tukaq ke kelaih darjah tiga selama setahun. Jadi aku kena kumpoi semua ilmu pelajaran yang aku tertinggai semasa kelaih waktu pagi. Apabila balik rumah, mak, abang dan kakak akupun membantu aku dalam mata pelajaran yang tertinggai. Tapi seperti dijangka keputusan Penilaian Darjah Lima aku taklah memberangsangkan, berpatutlah segala kesukaran yang aku perolehi iaitu belajar tiga tahun terus ambil peperiksaan itu.

Seteruihnya pada tahun 1985, aku menyambung pengajian sekolah menengah aku di SM Seberang Perak di Jalan Pegawai, hanya seminggu saja. Aku grup pertama sekolah yang baru dibuka di situ, menumpang sebuah sekolah kebangsaan. Sebuah bangunan empat tingkat tiada kemudahan yang baik, jadi susahlah aku bersekolah di situ. Ayah aku mintak ditukaqkan ke Kolej Sultan Abdul Hamid di tengah-tengah bandaq Aloq Setaq tapi ditolak oleh pengetuanya. Walau bagaimanapun, sebuah sekolah kat Mergong, STAR sanggup terima pelajar cacat ini menyambung pelajarannya. Aku ditempatkan di Tingkatan 1 Perdagangan 1 sampai Tingkatan 3 Perdagangan 1 dan mengambik peperiksaan SRP dalam tahun 1987. Getir dan kesusahan menyesuaikan diri di sekolah itu dengan kawan-kawan yang normal dan nakai, cikgu-cikgu dan sekelilingnya memanglah tidak dapat dibayangkanlah. Nak pi tandas, kantin, makmal dan padang perhimpunan satu perkara yang payahlah kalau tak dibantu oleh kawan-kawan tapi kawan-kawan sedarjah selalu usik dan buli membuatkan aku jadi pendiam dan menyendiri. Pernah depa ‘tolak’ kerusi roda aku dan aku jatuh dalam longkang sekolah. Cikgu mahupun pengetua pulak tak pernah bertanya apa-apa seperti masalah atau keterbatasan aku kecuali mengajaq saja. Pi perpustakaan sekolah jangan ajaklah, tempat koleksi buku itu dok tingkat ataih. Aku kerap kali diejek kawan dari sekolah rendah sampai menengah kerana semua kelaih darjah di tingkat bawah. Hati aku amat terasa tapi diam sajalah dan tekad untuk maju dalam pelajaran, itu impian aku. Dan aku pujuk hati aku, aku masih ada ayah dan mak.

whatsapp-image-2016-12-06-at-17-19-35

Selepas SRP, naik ke tingkatan 4 Sastera 1, saat itu aku mulai rasa sedaq sikit bahawa dengan ilmu yang banyak, kesusahan aku yang cacat ini dapat dikurangkan. Bercita-cita masuk universiti, perolehi kerja yang bagus, aku kira nasib aku akan terbela. Tapi bagaimana hendak hadapi segala cabaran yang lebih besaq dihadapan nanti? Bagaimana hendak hidup sebagai insan OKU berkerusi roda sekurang-kurangnya di bandaq Aloq Setaq? Bagaimana aku hendak bergerak dari satu tempat ke satu tempat nanti? Keperluan kehidupan aku macam mana? Sampai bila nak berharap kat orang? Semua ini berlegar-legar dalam benak aku sentiasa sampai kekadang aku menjadi stres. Tapi aku ambik semuanya itu sebagai cabaran besaq untuk aku hadapi. Aku sahut kesusahan itu dengan kata hikmat aku, segala kekurangan aku adalah kekuatan aku. Jika jatuh bangun sendiri. Malah ayah aku selalu kata, “tengok mak hang, anak kita ni tak padan dengan rupa tapi jiwa besaq”. Aku suka kata ayah itu kerana aku tau ayah mencabaq keupayaan aku.

Aku hadapi semuanya dengan penuh kesabaran lebih-lebih lagi dorongan daripada ayah dan mak. Ayah izinkan aku ambik cikgu tuisyen membantu aku dalam subjek English, Matematik dan Sains di rumah. Mak aku akan sediakan segelas susu dan biskut setiap kali aku ulangkaji matapelajaran SPM setiap malam dalam bilik aku. Aku bangga dengan mereka yang menyediakan sedikit kemudahan dan mendidik anak cacat mereka itu.

 

Aku lulus SPM dengan Pangkat Satu dengan beberapa matapelajaran gred A1. Ustazah Aishah pernah berjanji kat aku, kalau dapat gred A1 dalam Pengetahuan Agama Islam, akan diberi RM10. Aku dapat! Aku sambung lagi peringkat akhir di sekolah yang sama di bandaq ini dalam Kelas Pra-universiti atau Tingkatan 6. Semangat aku lagi berkobar-kobar apabila dapat merasai kelas pra-universiti sebagai jambatan ke universiti satu hari nanti. Guru kelaih aku, Cikgu Hashimah dan Ustazah Aishah sentiasa memberi semangat dengan mengkaitkan pengorbanan ayah hantaq ambik sekolah setiap hari. Kata itu lagi menyahut impian aku ke menara gading. Sebagai seorang insan cacat yang punya semangat tinggi bagi memperbaiki dirinya itu, aku boleh dikatakan kerap balik lewat dan belajaq dalam kelaih berkeseorangan diri. Ayah aku faham situasi itu. Mak aku akan membekaikan nasik goreng, roti, cucoq dan dua bekaih ayiaq agar aku tak kelaparan sampai ke petang. Kesannya, dalam peperiksaan STPM aku lulus dengan keputusan yang membuatkan ayah dan mak bangga. Sijil itu ayah aku bingkaikan dan gantung di dinding ruang tamu rumah. Aku naik segan dibuatnya.

15202544_10154246687514217_2164960812516500579_n

Sebenaqnya, bandaq Aloq Setaq ini telah membentuk aku sebagai anak tempatan yang sedia hadapi segala cabaran lebih-lebih lagi sebagai remaja OKU sehingga akhir tahun 1990-an. Banyak bangunan-bangunan awam yang tiada kemudahan OKU pada sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an, hatta di Pejabat Kebajikan Masyarakat Aloq Staq sekalipun. Hanya bangunan perpustakaan awamnya dan muzium negeri saja yang punya sedikit kemudahan OKU seperti laluan kerusi roda dan tandas khas. Semua kegetiran aku sebagai insan OKU aku jadikan penguat semangat untukku harungi dengan lebih kuat sehingga aku kecapi hingga kini tanpa ada ibu bapaku. Di bandaq ini jugak aku kehilangan mereka yang pergi menyahut panggilan Ilahi semasa di zaman universiti.”

DrMohamad Muzammil Mohamad Noor

#dlmbilikopiskuyangpenuhbukusejarah

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL