no comments

Redha Ibu Bapa Kunci Bahagia

happiness-e1436412727219

Manusia, kesusahan dan pengorbanan. Bagi saya, semuanya berkait. Daripada pengorbanan, lahirnya kebahagian. Kata pepatah, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Betapa berat sebenarnya untuk memperolehi kesenangan. Ada Khalifah yang dikurniakan kesenangan bagi rezekinya, ada juga yang diberi kesusahan akan rezekinya tapi kedua-duanya akan dapat bahagian disebalik rezeki yang diberikan. Namun, disebalik semua rezeki yang dianugerahkan, jangan kita lupa pada ibubapa dan Maha Pencipta.

Saya ada satu niat, untuk sambung belajar bila dah habis buat degree. Tapi disebabkan oleh desakan kehidupan, mak ayah bukan orang senang, adik beradik pun ramai lagi kecik-kecik. Sapa nak tampung belanja belajar saya, maka saya decided untuk kerja. Impian sambung belajar saya pendam jauh-jauh dalam hati. Saya mula kerja sebagai guru ganti di salah sebuah sekolah dekat dengan rumah. Rezeki saya masa tu. Tapi nak dijadikan cerita, selang beberapa bulan bekerja, saya bergaduh dengan adik, kerana dia pecahkan barang yang sangat saya sayang. Gaduh- gaduh, saya dimarah, sehingga keluar ayat “ kalau tak suka kongsi. Jangan duduk rumah ni” saya terkesima. Saya seakan-akan dihalau. Tak da orang faham saya. (Masa ni muda remaja, hati panas lagi). Dan saya buat keputusan, untuk habiskan kontrak beberapa hari lagi sebagai guru dan pindah ke JB. Kebetulan kawan baik saya disana. Detik ini merupakan permulaan detik hitam kepada kehidupan saya.

Saya pindah ke JB bersama hati yang sakit akibat dihalau. Tapi ada kata-kata, “siapa yang ibubapanya tidak Redha, maka susahlah hidupnya”. Ye. Sangat betul. Saya keluar dari rumah, tapi hati saya tak senang. Rasa macam ada yang tak cukup. saya mula kerja di syarikat jual motor. Berpangkat executive tapi gaji hanya RM700. Kemudian, Allah buka lagi rezeki saya, saya dapat kerja sebagai eksekutif juga di sebuah syarikat, bergaji permulaan RM2000. Dah beberapa tahun bekerja, saya decided untuk buat bisnes. Saya berniaga di salah sebuah Shoping Centre terkemuka di Malaysia. Perniagaan saya pada awalnya maju, dengan pendapatan yang boleh dikatakan lumayan. Saya dikelilingi oleh rakan-rakan yang saban waktu ajak saya berseronok dan sentiasa ada untuk saya, tidur sebantal, makan sepinggan. Saya harapkan seorang kawan tolong jagakan bisnes bila mana saya di office. Saya masih bekerja di syarikat dan pada masa yang sama menguruskan perniagaan saya.. Namun, Disebalik rezeki itu, saya diuji. Bisnes saya collapse. Saya minta tolong kawan-kawan, namun semua menghilang. Saya cuba bertahan dengan bisnes, saya melepaskan pekerjaan tetap saya untuk bagi tumpuan kepada bisnes, tapi saya masih tidak mampu bertahan.  Akhirnya saya kehilangan kedua-duanya. Saya dirundung kesedihan. Bisnes hilang, Pekerjaan hilang, kawan- kawan pun hilang.

Saya cuba move on. Saya berkenalan dengan seorang rakan baru. Namanya Ari, Ari ajak saya bekerja diitempat dia. Sebuah syarikat construction. Walau bergaji kecil, namun pada ketika ni, saya bersyukur saya ada kawan yang baik dan membantu saya. saya mula mencari, apakah kesalahan saya sehingga Allah tarik nikmat Rezeki saya. Akhirnya saya sedar, mungkin kedatangan saya bekerja di JB pada asasnya tidak Diredhai oleh ibubapa saya. Akhirnya saya pulang ke rumah, memohon ampun dari kedua ibubapa saya. Mak menangis, kami sama-sama menangis. Allah, rupanya saya derhaka pada kedua-ibubapa saya.

Saya pulang kembali bekerja. Tapi kali ini perasaan jauh berbeza. Tenang sekali. Dan saya buat keputusan untuk sambung belajar. Saya berhenti kerja dan dengan sekali mohon, Akhirnya saya ditawarkan mengikuti Pengajian peringkat Sarjana Di UKM. Alhamdulillah. Apa saya angankan mula nampak bayangnya. Allah permudahkan rezeki saya, walaupun saya saya tidak bekerja, tapi boss lama tawarkan saya bekerja part time, saya buat freelancer  dan saya ketemu jodoh abadi saya.

Sekali lagi saya diuji. Semasa menyiapkan projek akhir. Hujung minggu itu saya di office bekerja part time. Selesai kerja, saya mula keyin data dari borang soal selidik di dalam SPSS. Tepat jam 3 petang, saya keluar lunch bersama Ari. Laptop dan borang soal selidik saya tinggalkan di office untuk sambung kemudian. Kami keluar, tetiba saya dapat satu panggilan telefon, Office Terbakar. Allah, segala projek dan laptop dalam office. Saya tak da backup. Saya berlari ke office pada ketika tu, saya terpaku. Apa perlu saya buat. Mengenang kembali kesusahan yang dihadapi untuk analisis data. Saya belajar SPSS melalui buku, hari-hari saya memerap di library untuk faham perisisian IBM SPSS. Saya hadiri bengkel yang dianjurkan MPWS semata-mata untuk faham dan analisis data. Saya bersengkang mata. Saya tak mampu untuk harungi itu lagi. Saya cuba masuk, namun dihalang oleh pihak Bomba. Saya jelaskan, hasil kerja dan penat lelah saya di dalam. Jika terbakar, maka sia-sia usaha saya. Akhir nya dengan bantuan Bomba, saya masuk kedalam office yang marak terbakar, saya selamatkan laptop dan beg soal selidik saya. Kami berjaya keluar dengan selamat. Terima kasih Abang Bomba. Allah saja tahu betapa saya takot akan kejadian hari tu. Mempertaruhkan nyawa bagi menyelamatkan sebuah laptop dan satu beg kertas. Namun Alhamdullillah Allah lindungi saya.

Akhirnya, Saya berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh minimum pengajian (3 semester). Semasa pengajian, Allah permudahkan pengajian, rezeki dan saya bertemu dengan insan-insan yang baik dalam hidup saya. Kini, saya bergelar pensyarah di salah sebuah Universiti dan saya amat bersyukur atas segala pengalaman yang mematangkan. bila mana kita dirundung kesusahan dan kesedihan, muhasabah diri, dimana silap kita sebelum ini. Disini bukan saya nak menceritakan kederhakaan saya kepada kedua orang tua saya, tapi lebih kepada apa ertinya REDHA ibu bapa dalam kini menjalani kehidupan sebagai siapa pun kita. Ada kala kita rasa kita  dah dapat apa yang kita nak didalam hidup. Jangan lupa Allah mampu tarik kesenangan itu sekelip mata. REDHA itu penting untuk kita rasa bahagia dan berkat dalam hidup. Walau jauh mana kita melangkah, walau seberjaya mana pun kita, jangan lupa orang tua kita. Pengorbanan itu kadang kala kita tidak sedar, dan apa bila kita sedar akan pengorbanan itu, kehidupan itu lebih indah sebenarnya. Dari aspek pembelajaran, jangan pula kita meniru, mengupah orang untuk melakukan analisis data misalnya. Belajar, banyak bengkel-bengkel dianjurkan oleh badan seperti MPWS dan
Universiti untuk membantu kita sebagai pelajar mencari jalan keluar kepada kegusaran kita. Keberkatan dan kepuasan itu tiada nilainya.

 

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL