no comments

Sokongan Kita Perlu untuk Banteras Phd Palsu

Dewasa ini, pendidikan dan kemahiran tinggi menjadi prasyarat untuk mencapai kecemerlangan. Tanpa tahap pendidikan dan kemahiran tinggi, sukar untuk mencapai apa yang dicita-citakan. Ibarat anak kecil yang baru dilahirkan. Dia mengambil masa untuk bertatih sebelum mampu berdiri sendiri, berjalan dan kemudian berlari. Ibu bapa cukup ceria dan bangga apabila anak-anak yang membesar di depan mata dan mampu mencapai kejayaan atas usaha mereka sendiri tanpa bantuan orang lain.

Cita-cita pula bukan mudah untuk dicapai. Ada kalanya, terpaksa menghadapi rintangan dan halang­an yang sukar. Mengambil masa bertahun-tahun. Ada juga yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak. Begitupun, kejayaan sebenar masih tak kunjung tiba. Namun, setelah bertahun-tahun mencuba, barulah kejayaan menjengah. Sebaliknya, dengan usaha yang sekelumit cuma, kejayaan yang datang bukanlah kejayaan sebenar. Barangkali akan hilang lenyap dalam masa seketika juga.

Lihat sahaja apa yang berlaku di sekeliling kita. Ahli-ahli sukan yang mempunyai kemahiran tinggi akan berjaya dan disanjung masyarakat. Kejayaan mereka bukan dicipta sekelip mata, malahan melalui latihan intensif yang panjang. Pengorbanan mereka pula, bukan calang-calang. Begitu juga dengan pemilihan ke­tua-ketua jabatan agensi kerajaan sudah mengutamakan kriteria kelulusan calon dengan ijazah doktor falsafah (PhD). Calon yang tiada kelulusan PhD mendapat markah yang rendah bagi dilantik ke jawatan-jawatan utama perkhidmatan awam di negara ini.

Di universiti, pelantikan ketua-ketua jabatan dan fakulti hanya dibuat kepada mereka yang berkelayakan PhD. Lantaran, untuk dilantik sebagai ketua makmal sekalipun, diutamakan yang mempunyai kelu­lusan PhD. Mereka tidak dibenarkan menyelia pelajar di peringkat pasca ijazah atau PhD sekiranya tanpa kelulusan di peringkat berkenaan. Maka, kelihatan seolah-olah mereka terpinggir dan dipinggirkan. Sama ada suratan atau kebetulan, kehendak sistem pendi­dikan tinggi terbentuk dan dibentuk sedemikian rupa.

Begitu juga dengan usaha untuk memperoleh ijazah tertinggi, PhD. Seorang yang menjalankan penyelidikan sekurang-kurangnya tiga tahun, bersengkang mata untuk menyiapkan tesis PhD di institusi pengajian tinggi yang diiktiraf. Di bawah penyelia yang juga diiktiraf. Penyelidik berkenaan mengambil masa untuk menentukan arah tuju kajian. Dalam tempoh ini, terpaksa bekerja keras untuk meletakkan dirinya di atas landasan yang betul. Ibarat sebuah kereta api yang tidak dapat sampai ke destinasi yang dituju sekiranya landasan yang ada belum siap atau tidak lurus, kereta api akan tergelincir jika ada masalah landasan. Penyelidikan akan gagal.

Kemudian setelah landasan untuk bergerak di­siapkan, barulah kajian literatur dijalankan. Di sini, kajian-kajian lepas yang dijalankan akan diselidiki dan difahami supaya proses pembentukan teori (theorising) dapat difahami dan dikemukakan.

Proses ini amat penting sebagai titik tolak sesebuah kajian di peringkat PhD. Ramai pelajar yang gagal pada peringkat ini. Puncanya, barangkali kekurangan bahan bacaan, kurang memahami apa yang dibaca ataupun kekurangan data untuk dihadamkan (maldigestion) yang berkaitan dengan kajian yang dijalankan.

Seterusnya, penyelidik akan menjalankan pe­ngumpulan data untuk dianalisis dengan kaedah yang di­pilih. Sudah tentu, kaedah penyelidikan perlu bertepatan dengan kajian yang hendak dijalankan. Terutama sekali dengan objektif kajian yang hendak dicapai.

Sekiranya kaedah penyelidikan tidak sesuai untuk mencapai tujuan, kajian akan terkeluar daripada landasan atau tergelincir. Kegelinciran membawa padah, penyelidikan akan gagal. Tesis PhD tidak akan menemui kejayaan. Data analisis menjawab perso­alan seterusnya membentuk dapatan kajian. Akhirnya, ke­simpulan boleh dilakukan. Kesimpulan menjawab matlamat sesuatu kajian.

pg-camp

Proses terakhir dalam sesebuah kajian adalah me­nulis dan menyiapkan penulisan dengan gaya akademik. Salah satu syarat, bahasa akademik mesti digunakan dan bukan gaya bahasa yang berbunga-bunga. Cara menulis dan membuat rujukan perlu mengikut piawaian tertentu. Ciplakan tidak sesekali dibenarkan. Kemudian baharulah proses terakhir iaitu pemben­tangan dan mempertahankan tesis diadakan. Kemudian, pembetulan sekiranya ada. Itulah proses memperoleh sekeping PhD yang mengambil masa dan menguji ketabahan serta kesungguhan.

Ibarat menyediakan masakan untuk pelanggan di sebuah restoran yang terkenal. Segala ramuan mesti disediakan segar. Proses memasak dimulakan mengikut prosedur tertentu. Setelah masak dan sebelum dihidangkan, cubaan merasa makanan dijalankan. Sesudah cukup asam garam barulah dihidangkan dengan bergaya. Begitu juga untuk memandu sebuah kereta, sebelum mula memandu, persediaan minyak mesti cukup, lampu dan isyarat dipastikan berfungsi dengan baik, Sebelum masuk ke lebuh raya hendaklah diberi isyarat. Begitu juga apabila hendak berhenti. Semua­nya ada peraturan.

Proses untuk memperoleh sekeping PhD mengambil masa panjang. Tidak mudah untuk memperoleh­nya. Masa dan tenaga perlu dicurahkan. Sudah tentu tidak adil untuk mendapatkannya dengan jalan yang mudah.

Kata penyelia penulis, Profesor MacRobert dari Universiti Aberdeen, Scotland, sekiranya PhD mudah diperoleh, nescaya sesiapa sahaja di jalanan boleh memilikinya. Lantaran, tidak adil bagi kita membeli PhD apa lagi memperdaya orang lain dengan mengatakan memilikinya sedangkan kita tidak memperolehnya. Apatah lagi memalsukannya. Justeru, langkah pihak kerajaan terutama Kementerian Pendidikan Tinggi dan Majlis Profesor Negara membanteras kecurangan profesional ini amat dinanti-nantikan.

PROFESOR DR. ISMAIL OMAR ialah pemegang PhD dalam bidang Ekonomi Tanah dari Universiti Aberdeen, Scotland yang kini adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan Harta Tanah, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Sumber : Utusan Malaysia

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL