no comments

Komunikasi Dua Era

comunication

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran berbahasa, kerap kali penulis melihat pelajar mahupun sesiapa sahaja akan diperdengarkan dengan monolog atau percakapan dari dalaman seseorang berkenaan dengan minat, mahupun pekerjaannya, sedangkan dalam kehidupan sebenar, jarang sekali bagi mereka untuk berpeluang berhadapan dengan keadaan di mana seseorang itu terbuka untuk berkongsi mengenai hal peribadi. Di manakah silapnya? Apakah kekangan yang berlaku dalam kalangan kita?

Situasi yang lain pula berlaku, di mana seseorang akan terus mengutarakan pandangan dan segala yang terbuku dalam perasaannya tanpa berfikir kesan dan akibat dari tindakannya itu. Cara penyampaian mesej juga kedengaran kasar dan tidak sepatutnya dilakukan oleh mereka, khususnya yang bergelar seorang yang dewasa. Si penerima mesej pasti akan menunjukkan reaksi tidak selesa bahkan cuba untuk mengelak dari terus meneruskan komunikasi dengan seseorang yang bertindak melulu sedemikian. Bagaimana boleh hal ini berlaku dalam kalangan masyarakat kita? Kadangkala golongan professional juga antara majoriti yang terlibat dalam permasalahan komunikasi sebegini. Di manakah silapnya?

Apabila diteliti dan dikenalpasti, semuanya mungkin berlaku disebabkan oleh beberapa faktor, samada luaran mahupun dalaman. Secara rawak, penulis melihat hal ini dari suatu sudut kecil yang mungkin dipandang enteng. Seperti yang telah sedia maklum, setiap manusia dilahirkan secara fitrah. Jika diperhatikan, setiap bayi atau kanak-kanak mempunyai tahap keberanian yang tinggi untuk mencuba sesuatu yang baru, mahupun melakukan sesuatu yang kelihatan sukar bagi mereka. Namun, itu semua tidak pernah menjadi halangan atau kekangan untuk mereka terus melangkah dan maju ke hadapan. Golongan ini begitu polos dan ikhlas dalam melaksanakan apa sahaja, tanpa mengira sebab dan kepentingan peribadi. Sebagai contoh, apabila setiap kanak-kanak disuruh untuk senyum, mereka akan senyum seikhlas mungkin, Namun, bagi mereka yang dewasa pula, apabila diminta untuk menguntumkan senyuman, mereka akan senyum hanya kerana mahukan gambar kelihatan cantik. Di sini merupakan contoh di mana kanak-kanak melakukan sesuatu tanpa diselindung dengan sebarang kepentingan, manakala setiap dewasa pasti melakukan sesuatu dengan tujuan dan sebab musabab tertentu.

Bagi kanak-kanak sekolah misalnya, mereka tidak kekok untuk membuat sebarang persembahan yang menuntut mereka ke hadapan dan berkomunikasi secara terbuka dengan masyarakat. Sebagai contoh, Adik Adi Putra, pada beberapa ketika yang lalu, berusaha untuk berkongsi pendapatnya dengan Sultan Pahang, dan menyatakan setiap pandangan dan tegurannya tanpa perlu berselindung, malah penuh dengan integriti dan berani. Berlainan pula bagi golongan dewasa, mereka akan sedaya upaya untuk menyembunyikan identiti sebenar dan hanya akan mengutarakan pandangan waima ketidakpuasan hati mereka di belakang tabir dengan menggunakan media sosial sedia ada seperti Facebook, Twitter, Blog dan sebagainya.

Tujuan penulis mengutarakan contoh-contoh di atas adalah sekadar gambaran sebenar situasi masyarakat masa kini yang berdepan dengan persoalan dan kekeliruan. Hal ini juga berlaku ke atas diri penulis sendiri di mana masih cuba untuk mencari faktor dan sebab wujudnya perbezaan pembawakan diri mahupun cara berkomunikasi antara kanak-kanak dan golongan dewasa.

Tidak dapat dinafikan, bagi penulis, kanak-kanak merupakan medium pembelajaran terbaik bagi kita selaku golongan dewasa. Mungkin ianya kelihatan janggal, namun tidak dapat dinafikan bahawa mereka mampu memberi contoh terbaik dan membuka pandangan mata kita berkenaan dengan cara pembawakan diri, cara menilai, cara melaksanakan mahupun cara berfikir yang sewajarnya. Jika diperhatikan, golongan dewasa (remaja,belia) masa kini, terutama remaja (Generasi Y dan Z) kurang mempunyai daya ketahanan diri, tidak berkeyakinan, tidak berdaya saing, dan tidak dapat tidak terpaksa digelar sebagai “strawberry clan“.

Hal inilah yang membimbangkan penulis, di mana tahap keberanian yang tinggi, polos dalam pemikiran, keyakinan yang tinggi hanya kekal dalam diri individu di bawah lingkungan purata umur 1-12 tahun. Apabila mereka menjengah usia remaja, segala kemahiran yang berharga ini hilang begitu sahaja, berkemungkinan berpunca dari faktor persekitaran yang tidak membereangsangkan, yang mana menyekat perkembangan individu, tiada galakan dan panduan yang tepat untuk kanak-kanak ini terus mengekalkan sifat peribadi terbabit, atau mungkin mungkin disebabkan faktor-faktor lain yang belum dapat dikenalpasti.

Penulis berharap agar mempunyai ruang dan peluang untuk melakukan kajian terperinci berkenaan dengan isu ini. Hal ini kerana, komunikasi merupakan satu-satunya medium perantara yang mampu menghubungkan apa sahaja, tanpa mengira hubungan dalam lingkungan yang kecil, sederhana, mahupun luas tanpa sempadan. Kepada semua, waima sebagai pelajar mahupun golongan professional, adalah wajar untuk kita mempunyai daya keupayaan yang baik dalam berkomunikasi. Tanpa komunikasi yang baik, berkesan, dan beretika, adalah sukar bagi sesebuah masyarakat untuk terus maju dan berdaya saing. Segalanya bermula dari kita. Moga kita terus memupuk nilai tambah dalam diri dan berkongsi nilai tambah bersama orang lain. Teruskan berusaha.

P/s: Be brave and bold. Stay success, May Allah bless

Penulis: Husna Noor Hamdan, 2016

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL