2 comments

Pernyataan Masalah Dalam Penyelidikan????

Pernyataan Masalah Penyelidikan

.

APA ITU MASALAH…???

Masalah merupakan isu-isu yang wujud dalam literatur, teori atau amalan yang mewujudkan keperluan pelaksanaan sesuatu penyelidikan. Menurut Uma Sekaran(2000), masalah ialah sebarang situasi di mana wujud jurang antara keadaan sebenar dan keadaan ideal.

.

PENYELIDIKAN DAN MASALAH PENYELIDIKAN….???

Sesuatu masalah penyelidikan dapat ditentukan dan dibentuk berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seharian. Pelbagai persoalan pasti timbul apabila diminta untuk menyatakan dan seterusnya menulis masalah penyelidikan. Antara persoalan yang mungkin timbul yang boleh dijadikan panduan oleh penyelidik baru untuk menulis bahagian ‘Masalah Penyelidikan’ dalam cadangan penyelidikan mereka adalah:

  1. Adakah perkara yang dikenal pasti itu wajar dikaji?
  2. Bagaimanakah cara menulis masalah penyelidikan ini supaya pembaca dapat diyakinkan bahawa perkara itu penting untuk dikaji?
  3. Adakah perkara yang ingin dikaji itu menyumbang kepada pengetahuan baru?
  4. Pernah kah perkara ini dikaji sebelum ini oleh penyelidik lain? Jika ya, apakah aspek lain berkaitan masalah yang dikenal pasti yang belum disentuh atau diteliti?
  5. Adakah perkara yang akan dikaji relevan kepada amalan dalam dunia pendidikan?

.

MASALAH PENYELIDIKAN…..???

Sesuatu masalah penyelidikan adalah suatu masalah yang ingin dikaji oleh seorang penyelidik yang menuntut perbincangan, yang perlu diperbetulkan, memerlukan penyelesaian serta maklumat lanjut yang tepat.

.

SUMBER MASALAH PENYELIDIKAN……???

Terdapat 4 sumber utama yang menyumbang kepada sesuatu masalah untuk dikaji:

  1. Pengalaman – penyelidik atau individu lain yang berkisar kepada kehidupan harian seperti pengalaman sebagai pendidik.
  2. Literatur/penyelidikan lalu – sesuatu dapatan penyelidikan yang mempunyai aspek atau hal tertentu yang masih belum disentuh atau ditangani dan penyelidikan baru yang boleh menjadi perangsang atau pemangkin kepada satu atau lebih penyelidikan lanjutan.
  3. Teori – kekurangan dalam teori-teori yang diguna pakai turut boleh dijadikan suatumasalah penyelidikan dan juga memandu penyelidikan melalui ramalan yang dibuat yangmembantu kepada pembinaan idea dan penyelidikan baru.
  4. Isu-isu praktikal – Isu-isu yang memerlukan penyelesaian seperti pemilihan buku teks,disiplin,stress dan konsep kendiri guru.

.

MENGENAL PASTI MASALAH PENYELIDIKAN….???

Berikut adalah antara perkara yang perlu dipertimbangkan oleh penyelidik dalam proses mengenal pasti masalah penyelidikan:

  1. Konteks bidang yang dikenal pasti sebagai masalah.
  2. Teori dan konsep utama serta idea terkini dalam bidang berkenaan.
  3. Dasar kepada andaian-andaian dalam bidang berkaitan
  4. Punca isu-isu berkaitan diberi kepentingan
  5. Aspek yang memerlukan penyelesaian
  6. Latar belakang, perbalahan dan persoalan yang masih belum terjawab, serta isu-isu signifikan yang perlu diterokai. Penyelidik harus memberi kepentingan kepada perkara-perkara di atas pada peringkat pengenalpastian masalah supaya ia dapat memikirkan masalah yang berkaitan secara analitikal, iaitu agar penyelidik turut dapat memikirkan penyelesaian yang mungkin bagi masalah tersebut.

.

PRINSIP-PRINSIP PEMILIHAN MASALAH PENYELIDIKAN

Terdapat 2 prinsip yang perlu difikirkan oleh seseorang penyelidik apabila ingin membentuk masalah penyelidikannya:

  1. Masalah yang dikaji itu ialah masalah yang jitu dan konkrit serta memerlukan jalan penyelesaian. Contohnya, seorang pengetua sekolah ingin mengetahui sama ada sisitemmentor membantu guru baru atau tidak.
  2. Nilai sesuatu masalah sama ada berfaedah kepada diri atau negara dan ia tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Elakkan memilih masalah berdasarkan imaginasi tanpa tinjauan karya lalu kerana ini akan menimbulkan kekaburan dalam kalangan pembaca tentang masalah yang diselidiki.

.

MENGENAL MASALAH

Sejauh mana sesuatu penyelidikan yang dicadangkan menepati keperluan penyelidikan? Aspek-aspek berikut boleh membantu seseorang penyelidik dalam menjawab persoalan ini:

  1. Penyelidikan dalam bidang ini tidak banyak dijalankan.
  2. Terdapat percanggahan dalam dapatan penyelidikan-penyelidikan tertentu terdahulu
  3. Belum ada penyelidikan yang menggunakan sampel atau lokasi yang telah dikenal pasti.

.

MENULIS PERNYATAAN MASALAH

Berikut adalah garis panduan berkaitan dengan penulisan pernyataan masalah:

  1. Perlu dinyatakan dengan tepat dan jelas.
  2. Harus menjelaskan apa yang hendak diselidik, cara menyelidik masalah yang dikenal pasti serta batasan seperti setakat mana penyelidikan perlu dilakukan.
  3. Menghadkan bidang penyelidikan dengan menjuruskan masalah kepada bidang-bidangyang lebih kecil.
  4. Mengandungi penjelasan berkenaan pemboleh ubah atau istilah.
  5. Menilai andaian-andaian yang digunakan dengan memberi bukti yang menyokong andaian.
  6. Dinyatakan dalam bentuk operasi. Contoh: Kesan masa latihan menulis ke atas pencapaian pelajar tingkatan 1 dalam penulisan karangan.
  7. Dinyatakan dalam bentuk hubungan antara dua pemboleh ubah.
  8. Dinyatakan dalam bentuk soalan. Contoh: Adakah jumlah masa latihan mengura memberi kesan ke atas pencapaian pelajar tingkatan 1 dalam ujian Matematik. Maka, secara amnya, sesuatu pernyataan masalah akan:
  9. membincangkan isu-isu umum tentang masalah
  10. menghuraikan masalah dan hubungan antara pemboleh ubah
  11. menghuraikan beberapa penyelidikan lalu yang berkaitan dengan masalah
  12. membincangkan kekurangan dalam penyelidikan lalu
  13. menutup dengan persoalan yang perlu dijawab. Mengikut Creswell(2005), elemen-elemen yang seharusnya ada dalam sesuatu penyataan masalah ialah:
    • tajuk atau perkara yang dikaji
    • masalah yang dikaji
    • bukti bagi menjustifikasikan pemilihan permasalahan penyelidikan berkenaan, iaitu bukti berdasarkan karya atau literatur atau bukti daripada pengalaman-pengalaman praktikal
    • kekurangan dalam bukti berkaitan dengan perkara menjadi fokus penyelidikan iaitu bukti-bukti yang sedia ada, apa yang tertinggal atau apa yang masih perlu diketahui dengan lebih lanjut
    • sasaran penyelidikan, iaitu bagaimana tindakan menangani apa yang perlu diketahui dapat membantu penyelidik, pendidik, perancang serta individu atau kelompok lain yang berkepentingan.

.

Sumber:Noraini Idris

KOMEN ANDA

2 Komen

  1. Rozita
    • ADHAM

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL