no comments

12 Tips Untuk Proofread Kerja Anda Sendiri

Kepentingan membaca pruf tidak boleh diambil ringan dalam sesebuah proses penulisan, lebih-lebih lagi apabila menulis dalam bahasa Inggeris. Kebolehan membaca pruf (proofreading) adalah satu skil yang tidak boleh dikecapi dalam masa yang singkat, tetapi akan bertambah baik dengan praktis yang banyak. Cara untuk memperbaiki skil proofreading anda adalah dengan memperbanyakkan mengulas kerja orang lain atau kerja anda sendiri. Walaubagaimanapun, satu cabaran setelah selesai menulis atau menaip sesuatu dokumen adalah untuk membaca pruf semula tulisan anda.

BACA: Salahkah Cara Kami Tulis Tesis? 5 Aspek Penting Yang Terabai

Membaca pruf kerja sendiri merupakan satu tugas yang sukar, kerana kita sangat susah untuk menangkap kesalahan dalam karya sendiri. Hal ini kerana kita sudah tahu kandungan apa yang telah kita tulis. Oleh itu, agak payah untuk kita melihat kesalahan yang terdapat dalam tulisan sendiri, tapi ia tidak bermakna anda tidak boleh membiasakan diri untuk mencari juga kesilapan dan membetulkannya dengan penuh keyakinan. Berikut adalah langkah-langkah atau tips supaya anda lebih mahir untuk proofread kerja sendiri.

  1. Habiskan penulisan anda terlebih dahulu. Setelah selesai menulis dan semua fakta telah disemak, barulah mulakan proofreading.
  2. Pastikan suasana persekitaran anda tenteram. Matikan segala telefon bimbit, muzik, televisyen dan jauhkan diri dari gangguan yang boleh membuat anda hilang fokus dengan kerja proofreading.
  3. Ambil perhatian terhadap kesilapan yang paling kerap anda lakukan. Kadang-kadang, apabila idea sedang mencurah-curah dari kepala, anda akan menulis dengan kadar yang cepat, lantaran akan membuat kesalahan ejaan atau penggunaan ayat. Sebagai contoh, antara kesalahan yang sering dilakukan apabila menulis adalah yang berkaitan dengan ‘homonym’, atau perkataan-perkataan yang mempunyai sebutan yang sama tetapi maksud dan ejaan yang berbeza, seperti ‘too’ dan ‘two’, ‘bare’ dan ‘bear’, ‘their’ dan ‘they’re’, dan sebagainya.
  4. Semak format penulisan anda pada masa yang lain, bukan serentak dengan proofreading. Ini dilakukan untuk mengelakkan kekeliruan, kerana mengubah format mungkin akan mengubah susunan penulisan anda.
  5. Baca kerja anda dengan nada suara yang kuat sambil anda proofread. Cara ini boleh menangkap lebih banyak kesilapan dalam penulisan anda apabila anda mendengar sendiri kesalahan yang anda telah lakukan.
  6. Proofread atas salinan kertas atau gunakan aplikasi Track Changes dalam Microsoft Word. Sesetengah orang lebih selesa dan fokus apabila menanda di atas kertas menggunakan pen merah berbanding dengan melihat tulisan di skrin komputer.
  7. Jarakkan masa antara selepas anda habis menulis kerja anda dengan apabila anda hendak mulakan proofreading. Ini akan membolehkan anda membaca semula karya anda dengan perspektif yang baru, dan kebarangkalian anda untuk terjumpa kesalahan dalam dokumen tersebut adalah lebih tinggi berbanding membuat proofreading sebaik sahaja anda selesai menulis.
  8. Jangan takut untuk potong ayat anda, lebih-lebih lagi untuk penulisan berbentuk akademik. Penulisan akademik seperti artikel untuk jurnal, tesis dan sebagainya memerlukan ayat yang jelas dan padat; jadi, satu perenggan yang hanya menyampaikan satu isi pasti boleh dipendekkan.
  9. Jangan terlepas pandang tajuk, subtopik, bahagian rujukan, gambar rajah, nota kaki, dan lain-lain. Kesilapan ejaan dan tatabahasa sangat banyak terdapat di sini.
  10. Jangan ketepikan angka semasa anda sedang membaca pruf. Kesilapan nombor sering berlaku, terutama sekali dalam kajian saintifik yang menggunakan data berbentuk nombor.
  11. Proofread berkali-kali. Kategorikan jenis kesilapan anda setiap kali anda proofread. Sebagai contoh, kali pertama anda proofread, fokus untuk mencari kesilapan ejaan. Untuk kali kedua anda proofread, cari kesilapan tatabahasa pula. Teruskan sehingga anda puas hati dengan dokumen anda.
  12. Gunakan sebanyak sumber yang mungkin untuk memudahkan anda membaca pruf. Bukan semua orang pakar dalam bidang bahasa, dan bukan semua orang yang suka membaca secara automatiknya mahir dalam hal-hal proofreading. Oleh itu, jika anda kurang yakin dengan penulisan anda, carilah masa untuk belajar sendiri dari sumber-sumber seperti internet dan buku dari perpustakaan. Sebagai contoh, jika anda tidak boleh bezakan penggunaan ‘who’ dan ‘whom’, carilah jawapannya menggunakan website seperti ‘Google’ dan aplikasikan dalam penulisan anda.

BACA: Kajian Literatur. Masa Untuk Menulis Secara KRITIS!

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL