no comments

6 Tips Tamatkan PhD Dalam Masa 3 Tahun

Nota Editor: Bukan mudah untuk menghabiskan PhD dalam masa 3 tahun, ada sahaja masalah yang timbul semasa dalam pengajian. Akan tetapi, jika kita membuat perancangan dari awal sentiasa bersedia dalam apa jua situasi, tidak mustahil kita akan berjaya menamatkan PhD lebih awal. Artikel ini dikongsikan berdasarkan pengalaman oleh Dr. Muhammad Aizzat yang berjaya menghabiskan PhD dalam masa 3 tahun.

*********

Tahun 2015 merupakan tahun saya menamatkan pengajian PhD saya. Pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi sepanjang  melanjutkan pelajaran peringkat  PhD. Di sini suka saya kongsikan beberapa tips berdasarkan pengalaman saya sendiri selama 3 tahun ini. Pengalaman yang saya lalui mungkin berbeza dengan jalan yang anda tempuhi sekarang, namun tidak rugi jika kita belajar sesuatu dari pengalaman orang lain supaya kita tidak melakukan kesilapan yang sama.

Tips 1 : Buat perancangan timeline penyelidikan anda pada hari pertama anda menjadi pelajar PhD.

Antara kesilapan ramai orang adalah pada tahun pertama pengajian mereka mengambil remeh perancangan timeline ini. Tahun pertama adalah tahun yang kritikal untuk perjalanan penyelidikan anda. Apa yang perlu anda lakukan :

    • Ambil pen dan kertas, buat plan atau topik yang anda akan teliti selama 3 tahun.
    • Study plan anda perlu spesifik, seperti apa sumbangan kajian anda, berapa lama masa anda perlukan.
    • Buat perbincangan dengan supervisor anda kerana supervisor anda lebih pakar di dalam bidang tersebut. Anda yang beru bermula mungkin tidak nampak secara jelas sumbangan akademik PhD anda. Di sini, komunikasi yang jelas dengan supervisor anda sangat diperlukan.
    • Antara soalan yang perlu anda tanya kepada supervisor anda, “apa perkara asas di dalam bidang saya yang perlu saya kuasai?”, “boleh tuan cadangkan buku, jurnal atau paper yang boleh saya baca untuk saya biasakan diri dalam bidang saya ini”.

Soalan sebegini nampak ringkas, namun sebenarnya ia membawa impak yang besar kepada anda yang baru bermula. Fungsi supervisor anda adalah supaya anda tersesat di dalam pelayaran PhD anda. Jadi, anda kena dapatkan nasihat daripadanya sebanyak yang mungkin. Ia juga menunjukkan komitmen anda terhadap kajian anda kepada supervisor dan mewujudkan first impression yang baik kepada supervisor yang akan membawa banyak kebaikan.

Tips 2: Kekalkan hubungan yang baik dengan supervisor anda

Menyambung pengajian peringkat Phd adalah diibaratkan anda dan supervisor anda akan menjadi pasangan rapat. Segala hala tuju pengajian anda adalah atas dasar persetujuan anda dan supervisor anda. Di sini pentingnya hubungan baik dengan supervisor. Hubungan yang keruh dengan supervisor hanya akan menyukarkan proses pengajian anda. Sebaiknya, cuba jaga hati supervisor anda walaupun terdapat beberapa perkara yang anda tidak bersetuju dengannya. Di sini pentingnya kemahiran soft skills di mana anda dan supervisor perlu berbincang untuk mendapatkan kata putus terhadap sesuatu perkara. Jikalau supervisor senang terhadap anda, mereka tidak akan segan silu menghulurkan pertolongan kepada anda jikalau anda di dalam kesusahan atau pun nampak jalan buntu semasa sesi kajian anda berjalan. Saya boleh katakan, hubungan yang baik dengan supervisor anda akan menghasilkan output perbincangan yang baik sekaligus memudahkan proses kajian anda.

Tips 3: Anda perlu bersedia untuk berkorban banyak perkara

Pengorbanan yang pertama adalah perubahan mental anda. Kebiasaannya pelajar Phd adalah merupakan pelajar yang sudah pernah bekerja, sudah berkahwin ataupun sudah mempunyai anak. Menyambung Phd beerti anda perlu berkorban masa, wang ringgit dan kasih sayang anda kepada anak-anak. Pengalaman saya sendiri, saya banyak menghabiskan masa di makmal sehingga larut malam untuk membuat kajian penyelidikan saya. Ada masanya jika perlu, saya terpaksa datang pada hujung minggu. Keletihannya amat terasa, anda pulang malam dalam keadaan yang sangat letih. Anda hanya memikirkan tilam sahaja sewaktu itu. Rumah anda menjadi tidak terurus kerana fikiran anda sentiasa runsing masalah kajian anda.

Dari segi wang ringgit pula, jika dahulu anda pernah bekerja. Anda mungkin akan terasa bebannya apabila biasiswa yang anda dapat tidaklah sebanyak gaji anda dahulu. Anda mungkin terpaksa berhutang untuk makan dan membayar sewa rumah. Dipandang rendah oleh orang ramai seolah-olah anda tidak mempunyai kerjaya dan tidak habis-habis belajar. Makcik di kampung pula sibuk membandingkan anda dengan anaknya yang sebaya dengan anda dan sudah berkerja. Boleh beli kereta mewah, tapi anda masih hidup cara orang miskin.

Masa anda bersama keluarga, anak-anak, ibu bapa anda akan berkurangan. Berdasarkan pengalaman saya, walaupun sesibuk mana kita jangan sesekali mengabaikan orang yang rapat dengan kita seperti isteri dan ibu bapa. Mereka inilah yang sebenarnya banyak mendoakan kita dan menyebabkan segala urusan kita ini dimudahkan. Orang lain biasanya hanya akan nampak kita apabila kita sudah berjaya. Namun, mereka yang kita sayanglah akan bersama-sama dengan kita semasa kita senang dan susah. Pendek kata, hargailah mereka jika tidak anda akan menyesal.

Tips 4: Cuba hasilkan penerbitan seawal yang boleh

Antara syarat mendapat Phd adalah anda perlu menghasilkan penerbitan jurnal dan konferen. Ini tips yang saya boleh berikan. Anda perlu set matlamat seperti berikut :

– Tahun 1 : Hasilkan 2 kertas konferen
– Tahun 2 : Hasilkan 1 kertas konferen dan 1 jurnal
– Tahun 3 : Hasilkan 1 jurnal

Secara idealnya, jikalau anda dapat menghasilkan penerbitan jurnal dengan impak faktor lebih awal adalah lagi bagus. Namun, secara realistik adalah amat sukar memandangkan anda pada masa tersebut tidak mempunyai sebarang hasil kajian anda lagi. Jadi, saya lebih bersifat realistik dengan meletak matlamat saya untuk mendapatkan jurnal impak faktor pada tahun kedua pengajian saya.

Kenapa perlu ada jurnal? Kerana jurnal impak faktor merupakan tiket awal untuk mendapatkan Phd. Apabila anda sudah ada jurnal, hati anda akan jadi lebih tenang melakukan kajian kerana satu syarat untuk Phd sudah tercapai. Anda hanya perlu fokus kepada sumbangan Phd anda sehingga tahun akhir pengajian anda.

BACA: Tips Untuk Menamatkan Pengajian Dengan Kepujian Kelas Pertama

Tips 5 : Phd anda hanyalah selama 2 tahun 6 bulan, bukannya 3 tahun

Ramai yang terlepas pandang benda ini. Untuk mendapatkan GOT (graduate on time), anda perlu menghabiskan kajian anda selama 2 tahun 6 bulan sahaja. Bukannya 3 tahun. 6 bulan terakhir digunakan untuk fokus sepenuhnya kepada penulisan tesis sahaja. Penulisan tesis pula perlu bermula seawal yang mungkin. Saya mula menulis tesis pada awal tahun 3. Jadi, saya memerlukan selama 1 tahun untuk menghabiskan penulisan tesis saya termasuk beberapa suntingan tesis (saya rasa lebih dari 20 kali suntingan). Saya juga agak menyesal kerana saya tidak memulakan penulisan tesis saya lebih awal. Menulis tesis bukannya kerja yang mudah, anda perlukan banyak masa dan melakukannya dengan tenang untuk mendapatkan ilham. Selain itu, tesis anda perlulah melalui suntingan dan proof read untuk memastikan tesis anda benar-benar mencapai piawaian tesis peringkat Phd. Mulalah menulis tesis seawal yang mungkin.

Tips 6 : Tahu limit anda dan belajar berhenti

Apabila melakukan kajian, sifat ingin tahu anda terhadap sesuatu perkara akan membuak-buak. Anda rasakan setiap elemen di dalam kajian anda perlu diketahui sebabnya. Sehinggakan anda tidak tahu berhenti dan merasakan kajian anda belum lengkap walaupun sudah lebih 3 tahun anda melakukan kajian anda. Anda akan berasa tidak yakin dengan kajian anda dan berasakan hasil kajian anda masih belum cukup. Nasihat saya, tahu had anda. Dapatkan nasihat supervisor, dan ingatlah tesis anda tidak perlu 100% sempurna. Anda juga manusia biasa yang tidak terlepas dari salah. Belajar berhenti, buat yang terbaik dan selebihnya serahkan urusan kepada Allah.

Saya bagi 2 kes yang berbeza dan menghasilkan 2 output berbeza.

Kes 1 : Ali menghantar tesis pada tahun ketiga pengajian, namun beliau diberikan pembetulan selama setahun selepas viva kerana hasil kajiannya masih belum cukup.

Kes 2 : Abu pula menghantar tesis pada tahun keempat pengajian kerana merasakan tesis beliau masih banyak perlu ditambah dan tidak cukup. Abu banyak menghabiskan masa membuat kajian dan tidak menulis.

Bagi kes 1, Ali sudah menghantar tesis dan beliau tahu apa perlu selepas diberi komen oleh panel pemeriksa. Jadi, Ali sudah tahu apa kekurangan di dalam tesisnya.

Bagi kes 2 pula, Abu pula masih terkial-kial merasakan diri tidak cukup. Abu hanya boleh menghantar tesis pada tahun keempat. Namun, pada jangka masa yang sama dengan Ali, Abu masih tidak tahu bagaimana keinginan panel pemeriksanya. Berpuas hati atau tidak. Jikalau panel pemeriksa mahukan 1 tahun pembetulan, masa yang diambil Abu lebih lama dari Ali. Nampak kan perbezaan keduanya?

BACA: Tips Persediaan Dalam Menghadapi Viva

Kesimpulan

Sebenarnya, banyak lagi boleh saya kongsikan. Namun, kerana kekangan masa saya cuba senaraikan beberapa perkara penting dahulu. Saya simpulkan seperti berikut :

1. Hasilkan jurnal seawal yang mungkin.

2. Penat lelahlah kerana Phd anda, kerana anda akan dapat rasa manisnya kemudian. Dan ia amat berbaloi!

3. Ingat, Phd hanya selama 2 tahun 6 bulan. Selebihnya adalah masa menulis tesis.

4. Tahu masa yang sesuai untuk berhenti kajian anda.

5. Buat yang terbaik, kemudian tawakalah kepada Allah. Tuhan yang memberi rezeki.

Nukilan,
Dr. Muhammad Aizzat

KOMEN ANDA

Tiada Respon

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL