no comments

Dorongan Arwah Bapa Penyebab Wanita Ini Berjaya

Nota Editor: Pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh mereka yang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, termasuk Siti Rasna Sierra Rasmat yang mempunyai kisahnya tersendiri. Dorongan yang diberikan oleh arwah bapa membuatkan beliau meneruskan pengajian tanpa rasa ragu.

10424258_555746134571254_667303592816663978_n

Anak kelahiran Negeri Sabah yang bernama Siti Rasna Sierra Rasmat atau lebih mesra dipanggil Sierra merupakan anak ke 7 daripada 9 orang adik beradik. Sierra yang kini berusia 25 tahun dibesarkan oleh seorang ibu tunggal bernama Puan Tabu binti Diwan. Arwah Ayah kesayangan beliau yang bernama Encik Rasmat bin Ompong telah meninggal dunia pada tahun 2013.

Berbicara mengenai zaman persekolahan, beliau memulakan zaman persekolahan di Tadika Kemas Pekan Telupid, Beluran, dan kemudian menyambung pembelajaran beliau di SK Pekan Telupid. Pada ketika itu beliau sering kali mendapat keputusan yang cemerlang sehinggakan beliau dianugerahkan sebagai pelajar terbaik UPSR di sekolah tersebut. Selanjutnya, beliau meneruskan persekolahan di peringkat menengah di SMK Pekan Telupid dan berpindah ke Maktab Sabah, Kota Kinabalu, pada tahun 2007. Pada tahun 2010, beliau sekali lagi telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan sekaligus menjadikan beliau sebagai salah seorang pelajar terbaik STPM peringkat Negeri Sabah. Sewaktu di alam persekolahan menengah, selain memegang jawatan sebagai Pengawas sekolah, beliau juga terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti dan pertandingan seperti Pidato, Forum Remaja, Perbahasan, Berpantun, Debat dan banyak aktiviti lagi. Beliau juga pernah mewakili sekolah dalam sukan Bola Jaring dan Catur.

Berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Muda, beliau terpilih untuk menjadi pelajar dalam jurusan Komunikasi di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Beliau terlibat aktif dalam pelbagai Persatuan dan Kelab sepanjang tiga tahun berada di alam Universiti. Beliau juga merupakan bekas Timbalan Pengerusi Persatuan Komunikasi USM pada sesi 2012/2013. Pelbagai jawatan yang dipegang oleh beliau telah menjadikan beliau sebagai seorang wanita yang lebih matang, bertanggungjawab dan berdikari.

Sebaik sahaja menamatkan pengajian Sarjana Muda, beliau kemudian melanjutkan lagi  pengajian beliau di peringkat Sarjana dalam jurusan Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Sekali lagi, beliau mendapat keputusan yang cemerlang dan berjaya menamatkan pengajian beliau dalam tempoh 1 tahun sahaja. Beliau merupakan salah seorang daripada pemegang Ijazah Sarjana termuda pada usia 24 tahun ketika itu. Sewaktu pengajian, beliau telah mengajar secara sambilan dalam subjek Komunikasi Korporat di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, UMS. Menyedari hakikat bahawa beliau tidak mempunyai pengalaman yang meluas dalam dunia industri, beliau kemudiannya menimba pengalaman dengan bekerja di sebuah Syarikat Swasta yang terkemuka di Negeri Sabah.

IMG-20160206-WA0009

Cabaran sepanjang pengajian Peringkat Sarjana

Antara cabaran yang saya hadapi sewaktu pengajian di peringkat Sarjana adalah terpaksa bekerja sepenuh masa dan belajar sepenuh masa pada waktu yang sama. Biasiswa yang saya perolehi tidak cukup untuk membiayai yuran pengajian saya. Oleh itu, saya terpaksa mencari iktihar lain untuk membayar yuran pengajian dan mendapatkan duit saku dengan cara bekerja pada waktu pagi.

Untuk makluman umum, kelas saya bermula pada jam 7.00 malam pada hari Isnin hingga Jumaat dan jam 9.00 pagi sehinggalah jam 5.00 petang pada hari Sabtu. Kadang kala, kami terpaksa menghadiri kelas ganti pada hari Ahad bermula daripada pagi sehinggalah petang (bergantung kepada jadual kelas ganti).

Untuk bekerja sambil belajar dalam masa yang sama bukanlah satu kerja yang mudah, di mana saya terpaksa membahagikan masa untuk menyeimbangi kedua-duanya. Pada waktu pagi saya bekerja, dan pada waktu malam saya menghadiri kelas. Keadaan menjadi lebih mencabar apabila saya harus bertemu dengan rakan sekumpulan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan. Cuba fikirkan dengan jadual yang begitu padat, bagaimana saya hendak bertemu dengan rakan kumpulan untuk berbincang?

Alhamdullillah, saya mempunyai rakan kumpulan yang sangat memahami. Selepas kelas kami akan berbincang sehingga tugasan tersebut siap. Walaupun kadang kala perbincangan itu habis pada jam 1.00 atau 2.00 pagi. Pada ketika itu, Tuhan saja tahu bagaimana rasanya tidur dalam hanya 3 jam sahaja setiap hari. Selepas subuh, saya akan pastikan tugasan saya siap sebelum ke tempat kerja. Konsep pembahagian masa ini juga saya guna dalam menyiapkan disertasi (Dissertation) saya.

IMG-20160226-WA0019

Tunaikan impian arwah Ayah

Ramai yang bertanya mengapa saya ingin terus melanjutkan pengajian dalam peringkat Sarjana sebaik sahaja tamat pengajian dalam peringkat Sarjana Muda, saya sebenarnya ingin menunaikan impian terakhir arwah Ayah saya yang menginginkan saya melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana. Saya merasakan jawapan ini akan menjawab segala persoalan mengenai pergorbanan saya selama ini. Perasaan tidak tenang akan sentiasa menghantui diri saya selagi tidak dapat menunaikan impian terakhir tersebut. Alhamdullillah akhirnya impian arwah Ayah telah dapat saya tunaikan. Walaupun arwah tidak dapat melihat saya naik ke atas pentas sewaktu Majlis Konvokesyen peringkat Sarjana mahupun peringkat Sarjana Muda tetapi saya tahu arwah sentiasa memerhatikan saya di alam yang lain dan saya berharap beliau akan berbangga dengan pencapaian ini.

IMG-20160226-WA0020

Tips mendapatkan keputusan cemerlang

Salah satu cara yang boleh saya kongsikan adalah membuat jadual yang tersusun. Bak pepatah Melayu, “Masa itu emas”. Jangan bazirkan masa anda untuk bermain atau melepak sahaja. Pastikan jadual anda seimbang. Jikalau belajar sahaja 24 jam pun tidak sihat juga. Selitkan juga waktu beriadah, waktu berjumpa kawan-kawan dan pelbagai waktu peribadi yang lain. Asalkan waktu belajar, anda fokus sepenuhnya dengan pembelajaran.

Anda kena mempunyai strategi dalam pembelajaran. Pelajar mempunyai kebolehan mereka yang tersendiri, ada yang berkebolehan dalam menyuarakan pendapat, ada yang berkebolehan dari segi penghafalan teori, ada yang hebat dalam penulisan dan pelbagai jenis kebolehan lagi. Pastikan anda tahu cara terbaik untuk belajar mengikut kesesuaian diri anda sendiri. Cari jalan yang bersesuaian untuk memastikan anda sentiasa teruja untuk mengali ilmu pengetahun. Anda juga hendaklah sentiasa berdedikasi dengan setiap perancangan yang anda lakukan.

Anda juga harus mempunyai tujuan ke kuliah. Jikalau hanya sekadar memenuhi kehadiran sahaja, semua pun boleh hadir juga. Jikalau hanya hendak lulus, semua orang pun boleh lulus. Tapi apakah keistimewaan anda berbanding dengan pelajar yang lain? Fikir-fikirkanlah.

Selain itu, pastikan anda faham mengenai perkara yang pensyarah anda terangkan semasa dalam kuliah. Sekiranya tidak faham, pastikan anda bertanya semasa tutorial. Jikalau anda jenis yang lebih selesa berkongsi pendapat dengan rakan-rakan, bentuk kumpulan untuk berdiskusi mengenai topik-topik yang kurang jelas. Namun pastikan salah seorang daripada ahli kumpulan anda faham mengenai topik tersebut. Kalau masih ragu-ragu, terus bertanya kepada pensyarah anda melalui emel. Almaklumlah sesetengah pelajar agak pemalu untuk bersemuka dengan pensyarah. Pensyarah walaupun sibuk macam mana sekalipun, beliau pasti akan balas emel anda punya, percayalah! Ingat pesan saya, malu bertanya, sesat jalan. Lagipun peluang hanya datang sekali, pastikan anda manfaatkan peluang itu sebaik boleh. Tuntutlah ilmu daripada mereka yang berpengalaman.

Tidak kira apa agama sekalipun, pastikan anda tidak lupa akan ajaran agama masing-masing. Saya percaya apa saja kita lakukan adalah dengan keizinan dan keberkatan daripada Tuhan yang satu. Bagi saya yang beragama Islam, menuntut ilmu itu adalah salah satu tuntutan dalam agama Islam dan saya berjuang bermati-matian untuk memperolehi ilmu pengetahuan tersebut. Niat yang baik dan bersungguh-sungguh juga memainkan peranan penting.

Saya percaya bahawa semua perkara yang kita lakukan adalah atas pilihan kita sendiri. Otak kita mengawal keputusan dan pergerakkan kita. Tiada siapa yang boleh membantu diri kita melainkan diri kita sendiri. Sentiasalah berfikiran positif dan terus bangkit sekiranya mengalami sebarang kekecewaan. Ingat, tiada manusia yang dilahirkan dengan secara automatiknya menjadi pandai, anda memerlukan usaha untuk menuju ke arah itu. InsyaAllah usaha yang bersungguh-sungguh pasti akan membawa hasil yang lumayan.

BACA: Sambung Master Atau Cari Kerja?

Pesanan kepada rakan yang meneruskan pengajian di peringkat Sarjana

Menjadi seorang pelajar Sarjana kita berhadapan dengan pelbagai dugaan. Apatah lagi apabila anda telah berkeluarga dan mempunyai komitmen lain di pejabat. Hal ini kerana rata-rata pelajar Sarjana adalah daripada kategori mereka berkerjaya. Jika tidak bekerja, mungkin akan menjadi Research Assistant ataupun mempunyai pekerjaan sambilan. Kerja berlambak, kepala serabut, tidak mempunyai banyak masa dan macam-macam dugaan lain yang akan mendatang.

Namun, saya sentiasa berpegang kepada peribahasa Melayu “Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian”. Walau apa pun ujian yang mendatang, jangan sesekali putus asa. Pastikan anda mempunyai strategi dalam mengatur jadual harian anda. Percayalah, Tuhan tidak akan menguji dan membebankan kita jikalau kita tidak mampu melakukannya.

Ini adalah lorong perjalanan yang kita pilih sendiri, jangan sesekali berhenti di tengah jalan. Kita kena habiskan perkara yang kita mulakan. Pastikan anda memegang skrol Ijazah Sarjana anda dalam majlis Konvokesyen nanti. Ingat pesan saya, jangan sesekali putus asa!

Perancangan selepas ini

Ketika ini saya ingin menumpukan perhatian untuk membina kerjaya dan setelah stabil daripada segi kewangan khususnya, InsyaAllah (Jika di izinkan Tuhan) akan meneruskan pengajian saya di peringkat yang seterusnya iaitu PHD. Saya percaya, pengalaman dalam industri amat berguna ketika meneruskan pengajian PhD kelak dan InsyaAllah akan menjadi kelebihan kepada saya.

BACA: Lelaki Ini Mampu Mencapai Kejayaan Dalam Ijazah Kedoktoran Tanpa Biasiswa

KOMEN ANDA

Tiada Respon

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL