no comments

Lelaki Ini Kongsikan Pengalaman Beliau Menghadapi Viva PhD Di UK

Nota Editor: Kisah ini dikongsikan oleh Dr. Afandi Ahmad mengenai pengalaman beliau ketika menghadapi viva semasa di UK. Semoga pengalaman beliau ini dapat dijadikan panduan dalam menghadapi viva di masa akan datang.

Saya pasti, cerita dan perkongsian saya yang berkisar dalam soal asam garam pengajian peringkat doktor falsafah, bukanlah satu karya agung! Tetapi, jauh di sudut hati saya agar perkongsian yang bersifat peribadi ini dapat menjadi dorongan dan panduan kepada mereka yang mencari-cari kisah sebegini. Apabila disebut sebagai perkongsian peribadi, pastinya pelbagai parameter perlu diambil kira dan akan sentiasa berubah-ubah. Lantas, generalisasi juga lazimnya perlu diminimumkan.

Saya akan cuba kongsikan pengalaman saya pada hari peperiksaan lisan tersebut dan pastinya kisah ini hanya sesuai bagi mereka yang mengikuti pengajian di UK (kerana sistem penilaian PhD adalah berbeza mengikut lokasi).

Saya menyerahkan tesis secara rasmi untuk tujuan peperiksaan lisan pada 2 Julai 2010 (Jumaat) dan panel penilai (pengerusi dan kedua-dua pemeriksa) bersetuju agar peperiksaan dijalankan pada 23 Julai 2010 (Jumaat) bermula jam 10.30 pagi. Sejujurnya, ini adalah satu proses yang singkat dan tempoh lazim di Brunel memakan masa 4 – 6 minggu bagi membolehkan peperiksaan lisan diatur.

 

Saya hadir awal (jam 9.00 pagi) ke lokasi peperiksaan di Howell (H139) bagi memastikan keadaan bilik dan alat bantu berada dalam keadaan yang terbaik. Saya membuat persediaan sehinggalah kira-kira jam 9.45 pagi, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pascasiswazah), Prof. Luiz Wrobel datang dan datang bersembang serta memberikan kata-kata semangat.

Tidak lama selepas itu, penyelia saya yang datang dari Northern Ireland muncul dan mula bersembang dengan Prof. Luiz. Di sini, kita ada hak untuk membenarkan atau tidak kehadiran penyelia dalam peperiksaan lisan kita.

Tidak lama selepas itu, kira-kira jam 10.10 pagi, pemeriksa dalam dalam pengerusi muncul. Saya sudah mula gementar (lebih gementar). Mujur, pemeriksa dalam seolah-olah nampak riak wajak risau saya dan beliau mempelawa saya minum kopi bersama dan mula bertanya beberapa soalan pembuka perbualan. Beliau nampak seorang yang sopan dan tutur katanya sangat tertib.

Sedang kami berbual, baru muncul pemeriksa luar. Perasaan saya ada ketika itu sangat risau dan gemuruh. Tidak lama kemudian, pengerusi meminta saya keluar sebentar bagi membolehkan pra-mesyuarat di kalangan panel dibuat. Kurang lebih dua minit selepas itu, saya dipanggil masuk untuk memulakan peperiksaan. Pengerusi memperkenalkan panel dan bertanya adakah saya ingin membuat pembentangan. Saya katakan saya ingin membuat pembentangan sekitar 15 – 20 minit. Beliau memberikan keizinan untuk saya bermula. Saya kira jam pada ketika itu sekitar 10. 40 pagi.

 

 

 

Saya cuba memberikan pembentangan sebaik mungkin dan nampak pemeriksa dalam menunjukkan minat (berdasarkan bahasa badan) , tetapi tidak bagi pemeriksa luar. Ini agak mengganggu fokus saya, lantas saya alihkan anak mata saya lebih kepada pemeriksa dalam (mujur mereka duduk bersebelahan). Untuk rekod, tiada soalan sepanjang sesi pembentangan dijalankan.

Selepas selesai, saya duduk dan sedang saya membuka tudung botol air, pemeriksa luar sudah mula bertanya soalan. Saya sedikit kaget dan cepat-cepat meneguk air. Soalan pertama adalah pada halaman abstrak. Tiada masalah untuk dijawab.

BACA: Persediaan Untuk Melanjutkan Pengajian

Soalan kedua pula, tiba-tiba sahaja melompat kepada bab 5. Saya terkedu, kerana penyelia saya ada menceritakan pengalamannya yang lazimnya soalan akan berjalan mengikut jujukan. Selepas soalan dalam bab 5, pemeriksa luar kembali memberikan soalan bab 1, kemudian bab 4 dan kemudian bab 1 semula. Bermula di sini, beliau mengikut jujukan yang betul sehingga ke soalan terakhirnya.

Sesi soal jawab bersama pemeriksa luar berjalan sekitar 50 minit dan saya mula mengalami keletihan. Pemeriksa luar saya adalah English dan agak berumur. Pada tempoh 15 – 20 minit awal saya mengalami sedikit kesukaran untuk memahami sebutan beliau. Selain itu, intonasi beliau juga agak senada, yang lucunya ada ketikanya beliau bukanpun bertanyakan soalan, tetapi saya sangkakan soalan! Aduh sungguh memalukan diri sendiri.

Selepas tamat soalan dari pemeriksa luar, giliran pemeriksa dalaman. Apabila beliau menyatakan, “I just have one question…” Saya rasa amat lega dan soalan terakhir itu dapat saya jawab dengan baik. SELESAI!

Pengerusi meminta saya keluar dari bilik. Saya menuju ke koridor dan sangat berdebar-debar. Sejujurnya, saya kurang berpuas hati dengan pencapaian saya dan pelbagai fikiran yang bersifat negatif timbul. Akan berjayakah saya?

Tidak lama (selepas 2 – 3 minit), penyelia saya meminta saya masuk. Saya melangkah masuk. Saya lihat pemeriksa luar berdiri dan belum sempat saya duduk, pemeriksa luar menyatakan, “I would like to congratulate you, pass with minor revision“. Saya rasa sangat sebak dan masa berlalu begitu cepat, panel dan penyelia saya datang menghulur tangan untuk salam dan ucap tahniah. Penyelia memberikan “arahan” kepada saya, “go home and have a nice sleep“.

Saya bergegas pulang dan dalam perjalan pulang saya menghubungi kedua ibu dan bapa serta ahli keluarga. Sampai di rumah, saya cuba memberikan “element of suprise” kepada suri hati saya. Terima kasih semua!

Sumber: Dr. Afandi Ahmad

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL