no comments

Sudah Graduate, Siapakah kita?

Nota Editor: Artikel ini dikongsi oleh  Amin Rukaini Mustafa tentang usaha untuk menjadi seorang graduan yang luar biasa selepas tamat pengajian. Kata beliau, sebagai lepasan graduan, banyak cabang untuk menjadi orang luar biasa, yang mampu menyumbang bukan satu dua, tetapi berjuta-juta. Untuk menjadi orang luar biasa, kita memerlukan usaha yang lebih. Sudah graduate, siapakah kita?

*****

Alhamdulillah, sudah tamat pengajian saya di University of Edinburgh bagi slot undergraduate. Saya memanggil ‘slot’ kerana bagi saya ini bukan yang penghabisan, tetapi baru permulaan ataupun mukadimah. Seperti dalam mana-mana program  ceramah sebagainya, banyak slot-slot yang perlu dilalui. Dan ada ketikanya di tengah-tengahnya akan ada satu berehat mungkin untuk kudapan pagi ataupun makan tengah hari. Tetapi dalam program yang dikenali kehidupan ini, isitilah waktu rehat itu tiada bagi orang mukmin kerana rehat yang sebenarnya ialah rehat di Syurga nanti. Jadi adalah penting untuk selalu kita memikirkan slot-slot yang perlu diisi dalam hidup kita.

Hidup Bukan Macam Orang Biasa

Tapi adakah hidup kita ini sekadar mahu memenuhi slot-slot ini macam orang biasa. Apa maksud orang biasa? Orang biasa ni biasanya lepas graduate akan kahwin, kemudian apply kerja, dapat gaji, rancang dapat anak, kemudian dapat cucu dan akhirnya makan pencen. Akhir sekali melayari hidup dan menunggu waktu mati. Adakah begini yang kita ingin jadi? Bagi orang biasa mungkin ya. Tetapi bagi kita yang saya yakin bukanlah orang biasa-biasa mesti perlu lebih daripada itu. Semestinya untuk jadi orang luar biasa kita memerlukan usaha yang extra. Mestilah kita punyai cita yang mana bukan sekadar mengikut resam orang biasa. Maka dari sinilah perlu berfikir semula. Usai slot alam pengajian bukanlah penghabisan satu chapter yang perlu kita banggai. Saya rasa ada banyak cabang untuk menjadi orang luar biasa. Orang yang mampu menyumbang bukan satu dua, tetapi berjuta-juta. Untuk menjadi hamba-Nya dan khalifah yang berwibawa.

  1. Orang Yang Menjana Idea

Orang biasa bila graduate hidupnya akan mula terikut dengan persekitarannya. Akan mula meresap perasaan malas dan terikut-ikut dengan persekitaran tempat kerja akhirnya lama-lama akan hanyut begitu sahaja. Maka hilanglah potensi sebenar hasil daripada ijazah kelas pertama. Jadi perlu ditekankan di sini bahawa menjadi satu amanah untuk kita menjadi pemikir-pemikir idea. Saya sebut amanah di sini kerana perlu ingat, kebanyakan graduan yang pulang dari luar negara ditaja oleh duit rakyat. Maka menjadi amanah baginya untuk kembali semula menyumbang segala macam yang mampu. Di sini saya tekankan idea kerana dengan idea pelbagai benda mampu dilaksana. Jika pulang sekadar mencari kerja. Saya rasa tidak banyak yang akan dicapai. Maka perlu untuk menjadi pemikir idea-idea baru. Idea-idea yang membina persekitaran kita. Hatta sekalipun menjadi pekerja biasa tetapi dengan idea kita mengharapkan satu perubahan besar kepada apa yang ada.

  1. Orang yang Bersikap Mengubah

Mengubah tidak bererti melaksanakan perubahan besar. Mengubah boleh jadi mengubah yang baik kepada yang lebih buruk. Banyak ibrah dan pengajaran yang diperoleh semasa menuntut di luar negara yang boleh dibawa pulang ke Malaysia. Rugilah jika sudah bertahun-tahun di luar negara tetapi pulang dengan segulung ijazah sahaja. Rakyat malaysia pasti mengharapkan sesuatu yang lebih dari itu. Sebagai contoh, jika hari ini kita mendapati trafik kenderaan di Malaysia terlalu sesak, jadi adakah kita pula pulang membawa kereta mewah keluaran Eropah menambah sesakkan lagi jalan raya? Tidakkan kita melihat sesuatu yang ibrah dari sana? Kitalah yang melihat dengan mata kasar kita tetapi kenapa kita juga yang diamkannya?

Sekadar hanya mampu diam seribu bahasa langsung tidak berkongsi pengalaman dan idea. Ini satu idea ke arah perubahan dan untuk melaksanakannya kita perlu menyebarkannya. Ataupun lebih hebat, cuba cari jalan bagaimana mahu melaksanakannya. Endahkan bisikan-bisikan orang: “Ah susah! sistem kita dah korupsi! tak boleh buat punya!“. Endahkan sahaja mereka yang membisikkan slogan begini, mereka yang bercakap begini merupakan mereka yang sudah lama terlena dalam arus ingin berubah, tidak berguna mendengar cakap mereka kerana mereka sendiri hanya tahu berbicara di warung-warung kopi dan kedai laksa. Mereka hanya sedap menghirup kuah laksa lalu menghumban kata-kata yang tidak membawa makna. Lupakan mereka jadi orang yang ingin berubah!

  1. Orang yang Mengelak ‘Comfort Zone

Acapkali saya merisaukan satu fenomena hebat jika pulang ke Malaysia, iaitu fenomena berada dalam ‘comfort zone‘. Saya analogikan berada dalam ‘comfort zone‘ ini seperti berada dalam ‘duvette tog 16.5‘ (selimut tebal) pada musim sejuk. Rasanya cukup panas dan sedap serta terasa amat malas sekali mahu keluar bahkan rasa sampai mahu tertidur lena. Begitulah juga bila kita berada dalam fenomena yang dikenali sebagai ‘comfort zone’ ini. Apa jenis ‘comfort zone‘nya? Saya bagi contoh, bila sudah berkahwin. Saya tak pernah merasainya tapi mengikut ramai veteran-veteran, bila sudah berkahwin dan sudah dapat kerja atau gaji yang tetap (lumayan), maka bermulalah episode kesedapan macam dalam duvette ini. Rasa sedap jer kan.. memang la sedap. Semua ada, isteri cantik, anak pun ada, makan sedap-sedap, kereta ada, rumah ada, apa lagi yang mahu?

Hakikatnya, inilah pembunuh nombor satu di negara kita. Ramai orang terperangkap secara tidak sedar bila memasuki alam ini. Terperangkap susah mahu keluar semula. Maka bermulalah rutin yang berulang-ulang norma seperti tikus yang berlari-lari di dalam sangkar. Bila penat dia makan, kemudian tidur, beranak-pinak, sampai waktu dia pun meninggal. Jadi, amatlah penting menjadi orang yang cuba mengelak semua ini dan paling tidak menyedari hakikat kewujudan fenomena ini dalam kehidupan. Ianya membunuh banyak orang yang hebat-hebat. Lesap dibuai mimpi indah. Hilang.

  1. Orang yang Berbudi dan Berbahasa

Penting untuk diingatkan kepada lepasan graduan luar negara. Berbudi dan berbahasa ini mungkin satu perkara yang kita anggap bosan didengari. Berbudi dan berbahasa bagi saya, didefinisikan sebagai berakhlak mulia serta membantu orang lain. Juga menjaga adab-adab baik yang sedia ada dalam masyarakat kita. Dan menjadi tanggungjawab kita untuk mewujudkan persepsi baik kepada masyarakat semua. Kita mahu bina satu persepsi di mana jika orang sebut graduan pelajar luar negara/dalam negara, maka jawapannya begini dan begini (baik-baik belaka). Bukannya mereka menganggap kita ini sombong dan bangga diri. Ini penting, tiada orang lain yang mampu mengubahnya melainkan dengan sahsiah kita.

Tidak perlu lihat jauh, kita lihat diri kita; bagaiamana perwatakan kita dengan ibu bapa kita? Bagaimana perwatakan kita dengan keluarga kita? Rakan-rakan lama kita? Terhadap makcik pakcik kampung, jiran tetangga? Layanlah kerenah mereka dengan penuh mesra. Anggaplah diri kita ini kerdil. Kita dengan mereka tiada beza jauh. Sekadar umur sahaja. Saya yakin, jika peribadi tegur menegur mesra ini dikekalkan maka akan lahirlah satu generasi masyarakat yang penuh dengan nilai kekuatan yang penting. Boleh jadi suatu hari nanti kita menjadi menteri, wakil rakyat pasti orang mudah menerima diri.

  1. Orang yang Proaktif

Satu perkara yang sangat membahayakan sekali bagi graduan-graduan ialah menjadi orang yang pasif dan malas berusaha. Saya sifatkan ini sebagai simtom ‘overhaul engine‘. Bila sudah lama belajar, maka mulalah timbul rasa malas teramat. Semua all-out maka jadilah overhaul engine yang seringkali terbengkalai di garaj-garaj menunggu masa untuk di’refubished’ semula. Penting untuk menyedai hakikat ini kerana ramai yang hilang disebabkan simtom ini. Tatkala tiada lagi sasaran yang berorientasikan akadamik, maka diri mula menunjukkan rasa malas. Sebagai contoh sudah hilang semangat mahu melibatkan diri secara proaktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

Sekadar mahu bekerja, pulang dan rehat bersama keluarga. Sedangkan di tanah air nanti wujud pelbagai keperluan dan kehendak yang mengajak kita bergerak dalam pelosok masyarakat. Jika tidak kita siapa lagi? Kerana masyarakat umumnya memandang tinggi kepada graduan luar negara dengan harapan merekalah yang pulang membawa perubahan. Kita bukanlah orang-orang tua yang lesu mengeluarkan tenaga, tetapi kita tenaga pemuda yang masih kuat lagi.Gunakan segala potensi yang ada dan zahirkanlah ia ke arah yang sesuai dan relevan pada kemampuan kita.

Saya kira, cukuplah 5 aspek penting ini untuk diteliti betul. Aspek kerohanian juga wajib diperkuatkan dengan cabaran yang semakin bertambah. Aspek ibadah, juga akhlak sama sekali pentingnya. Melahirkan individu yang kuat sudah pasti mampu mewujudkan keluarga yang cemerlang jua. Seterusnya memacu masyarakat yang berwibawa.

Hidup bukan sekadar untuk mengejar Ijazah, tetapi juga untuk segenggam Risalah!
*gambar hiasan*

*****

Amin Rukaini Mustafa. Berkelulusan dalam bidang Bioteknologi dengan memiliki ijazah BSc.(hons) dan MSc.(Dist) in Biotechnology. Kedua-dua lulusan dari University of Edinburgh (2010-2014). Mempunyai kepakaran ilmu dan kemahiran dalam bidang microbial biotechnology terutamanya biofuel dan bioremediation juga dalam bidang renegerative medicine & stem cells, biobusiness, vaccine development dan research and developments (R&D). Sedang menyambung pengajian PhD di University of Cambridge, UK. Kajian PhD menfokuskan kepada bidang bacteria spores. Juga mempunyai minat dalam biobusiness dan entrepreneurial biotechnologist.

Baca artikel yang berkaitan:
6 Tips Menghadapi Rintangan Bergelar Doktor Falsafah
Sifat Yang terkandung Dalam Diri Seorang Supervisor

KOMEN ANDA

Tiada Respon

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL