1 comments

Lelaki Ini Mampu Mencapai Kejayaan Dalam Ijazah Kedoktoran Tanpa Biasiswa

Kisah Dr.Muhaimin telah menarik perhatian team pascasiswazah.com mengenai kejayaan beliau sehingga berjaya menamatkan pengajian peringkat PhD. Walaupun sepanjang pengajian beliau tidak menerima biasiswa, itu tidak menjadi penghalang untuk beliau mencapai impian. Bagi Dr.Muhaimin, setiap cabaran yang dihadapi mesti mempunyai jalan penyelesaian. Kini beliau adalah pemegang Ijazah Kedoktoran dalam bidang Teknologi Pendidikan.

edit 1

Dr.Muhaimin memulakan pendidikan awal di Tadika Kemas pada umur 6 tahun. Kemudian beliau meneruskan pendidikan rendah di Sek. Keb. Bukit Bota, Chenor dari tahun 1988 hingga 1993 dengan kelulusan terakhir UPSR. Menerima pendidikan menengah di Sek. Men. (A). Chenor dari tahun 1994 sehingga 1998 dengan kelulusan Sijil Menengah Agama (diambil pada 1997 semasa tingkatan 4). Manakala Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diambil pada 1998 semasa tingkatan 5.

Kemudian beliau melanjutkan pendidikan peringkat tinggi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 1999 dalam kursus pengajian Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Pengajian Islam). Dr.Muhaimin meneruskan pengajian selama empat tahun sehingga tahun 2003. Bukan sahaja tertumpu kepada pengajian, malah beliau juga turut terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti kolej kediaman dan universiti seperti sukan, khidmat masyarakat, dan persatuan pelajar sepanjang pengajian peringkat Sarjana Muda di UTM.

Setelah kira-kira dua bulan menamatkan pengajian Sarjana Muda, beliau menyambung pengajian peringkat Sarjana di Fakulti Pendidikan dalam bidang Teknologi Pendidikan (Multimedia). Sepanjang pengajian bermula pertengahan 2003 hingga akhir 2004 (tiga semester), beliau terlibat dalam pelbagai aktiviti akademik seperti AJK penganjuran seminar, pembantu penyelidik, pengajar kelas amali dan juga sebagai pembantu felo kolej kediaman. Walaupun Dr.Muhaimin sibuk dengan pelbagai aktiviti, akhirnya beliau berjaya mengenggam ijazah Sarjana Pendidikan (Teknologi Pendidikan) pada konvokesyen UTM 2005.

Minat yang mendalam serta galakkan keluarga menyebabkan Dr.Muhaimin menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Teknologi Pendidikan di Fakulti dan Universiti yang sama pada awal tahun 2006 ketika berusia 25 tahun. Hasil perbincangan dengan penyelia, kajian Doktor Falsafah menjurus kepada Pembelajaran Koperatif dalam Talian (Online Cooperative Learning).

Menurut Dr.Muhaimin, beliau memilih bidang ini atas pengaruh latar belakang keluarga dan kecenderungan sendiri. Pertama latar belakang keluarga dengan ibu bapa adalah guru menyebabkan kecenderungan beliau lebih kepada menjadi seorang pendidik. Kedua ledakan teknologi komputer dan Internet di Malaysia pada pertengahan 1990-an menyebabkan beliau cenderung kepada ICT. Oleh itu, sebagai gabungan kecenderungan berkenaan, beliau memilih bidang teknologi pendidikan. Dr.Muhaimin mendalami bidang multimedia semasa peringkat Sarjana dan menjurus pengkhususan kepada bidangan e-Learning semasa pengajian peringkat Ph.D.

edit 2

Apa yang menarik perhatian penulis, sepanjang proses pengajian, Dr. Muhaimin tidak menerima sebarang biasiswa dari mana-mana pihak. Oleh itu, beliau mendaftar pengajian secara separuh masa. Pada masa yang sama juga, beliau berkhidmat sebagai pensyarah separuh masa di Fakulti Pendidikan dan SPACEUTM dengan mengajar subjek berkaitan ICT. Di samping itu juga, beliau dilantik sebagai pembantu penyelidik (RA) di Pusat Komputer UTM dan Fakulti Pengkomputeran UTM. Walaupun kelihatan ada banyak kerja pada satu masa, tetapi itu adalah salah satu cara beliau mendapatkan wang bagi membayar yuran pengajian dan menampung kehidupan sepanjang pengajian. Dari satu sudut lain, itu adalah cara mendapatkan pengalaman tidak ternilai sebagai bekalan apabila beliau menamatkan pengajian nanti selain memberi nilai tambah kepada kajian Ph.D.

Selain itu, sebagai jalan bijak mengurangkan kos pengajian, Dr. Muhaimin memohon menjadi pembantu felo kolej kediaman. Secara tidak langsung membantu mengurangkan tekanan menyiapkan kajian dengan melibatkan dalam aktiviti seperti khidmat masyarakat, sukan, pembangunan kendiri, motivasi, dan keagamaan.

Setelah lima tahun lebih dengan pelbagai cabaran, halangan, air mata, dan darah, Dr. Muhaimin berjaya lulus dalam sesi pembentangan kajian Ph.D (viva) pada 8 Mac 2012. Menurut beliau, sekiranya betul-betul fokus dan bersungguh, beliau boleh menyiapkan pembetulan kira-kira dua minggu selepas sesi pembentangan, tetapi beliau memilih untuk berehat lebih kurang sebulan di kampung halaman kerana ingin menghilangkan tekanan pengajian.

Setelah berehat di kampung halaman, Dr. Muhaimin menghantar naskah akhir penulisan hasil kajian peringkat Ph.D. Beliau dianugerahkan ijazah Ph.D pada Disember 2012 pada umur 31 tahun atau dengan lebih tepat pada umur 30 tahun 2 bulan.

Sepanjang pengajian, tiada pencapaian menarik yang boleh dikongsikan. Cuma beliau ada menghadiri beberapa seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa, semuanya dianjurkan dalam Malaysia.

Tiada petua khusus yang Dr. Muhaimin gunakan sehingga berjaya mengenggam ijazah Ph.D. Tetapi ada beberapa perkara yang beliau pegang sehingga berjaya dianugerahkan ijazah Ph.D. Pertama ialah hubungan, doa dan pengharapan kepada Allah tidak boleh dikurangkan walau sesaat.

“Sentiasa memohon kepada Allah kerana segala ilmu di dunia ini adalah pinjaman-Nya. Berdoalah kepada Allah untuk memudahkan perjalanan mendapatkan ijazah Ph.D. Jauhilah segala larangan-Nya. Sentiasa bersangka baik kepada Allah kerana Allah tidak menghampakan setiap doa, harapan, dan usaha setiap hamba-Nya yang bertaqwa.”

Kedua, ibu bapa Dr.Muhaimin adalah sumber kekuatan dan motivasi untuk meneruskan cabaran Ph.D walau ketika senang dan susah. Setiap apa yang beliau lakukan, beliau menjadikan ibu bapa sebagai inspirasi utama bagi mencapai kejayaan.

Ketiga ialah Dr.Muhaimin sentiasa positif dengan segala apa yang berlaku di sekeliling dan bersangka baik serta mengukuhkan ikatan silaturahim dengan setiap individu di sekeliling beliau. Bagi Dr.Muhaimin, setiap dugaan atau masalah yang dihadapi mesti ada jalan penyelesaian. Apa yang penting, jangan mudah putus asa tetapi berusahalah bersungguh-sungguh.

“Pesanan saya kepada sesiapa yang ingin menyambung pengajian terutama Ph.D, ada tiga pesanan utama saya seperti yang saya pegang. Sentiasa berdoa dan bersangka baik dengan Allah. Yakinlah dengan janji-Nya. Semua ilmu adalah milik Allah, mintalah dengan Allah. Jaga hubungan dengan Allah. Kedua, Jaga hati dan perasaan ibu bapa. Mohon mereka doakan agar dipermudahkan segala urusan dan cabaran sepanjang pengajian. Terakhir sekali, sentiasa positif dan menjaga hubungan baik dengan setiap individu di sekeliling kita.”

Dr.Muhaimin kemudian mendapat tawaran skim Post-Doctoral di UTM dari September 2013 hingga Januari 2015. Fokus kajian beliau adalah dalam pembangunan perisian multimedia Flora dan Fauna di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST).

Pada Febuari 2015, Dr.Muhaimin mendapat tawaran sebagai pensyarah kanan di Kolej Universiti Poly-Tech MARA, Kuala Lumpur. Beliau di tempatkan di Fakulti Pengkomputeran Dan Sains Teknologikal untuk mengajar dalam subjek berkaitan ICT.

KOMEN ANDA

Satu Respon

  1. Ir Dino

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL