no comments

Kamus Yang Membantu Penterjemah Melakukan Kerja. #4 Mungkin Anda Tak Sangka-sangka

Kamus dan penterjemah tidak dapat dipisahkan. Jika dahulu penterjemah perlu membawa kamus yang tebal-tebal ke sana sini, kini tidak lagi. Dengan adanya kamus dalam talian dan aplikasi telefon pintar, kerja menterjemah lebih mudah dilakukan bukan hanya oleh penterjemah, malah orang biasa. Ada juga yang penterjemah yang sudah tidak perlu membuka komputer riba; telefon bimbitnya sahaja boleh menjana pendapatan bulanan sebanyak empat angka hasil daripada menterjemah.

Oh ya, saya Muhammad Zaki Ramli, Pengarah (Terjemahan dan Penterjemah) di MPWS Szakif Translation Sdn. Bhd. Saya juga tenaga pengajar bagi kursus terjemahan intensif di Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bagi bidang Sains dan Teknologi. Selain mengajar terjemahan, saya juga mengendalikan bengkel pembacaan pruf (proofreading) kepada pelajar pascasiswazah dan pensyarah universiti.

Artikel ini menyenaraikan beberapa laman dan aplikasi yang kerap saya gunakan dalam kerja-kerja terjemahan saya.

  1. Laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu (http://prpm.dbp.gov.my/Default.aspx)

Sebagai penterjemah bahasa Melayu, kamus ini perlu siap sedia ditandakan (bookmarked) pada pelayar Internet (browser) masing-masing. Wau alif jim ba– WAJIB. Laman inilah yang menjadi sumber rujukan utama bagi mendapatkan padanan dalam bahasa Melayu (BM) dan Inggeris (BI). Di dalam artikel saya yang akan datang, saya akan jelaskan kaedah mengoptimumkan penggunaan PRPM bagi tujuan penterjemahan dan penulisan BM dan BI.

Screenshot 2016-02-05 15.41.11

  1. Laman sesawang Portal Maya Istilah Sains (Etisas: http://appsmu.ukm.my/etisas/index.php)

Portal yang dibangunkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini turut berguna bagi mendapatkan padanan istilah bahasa Melayu dan Inggeris. Klik pada tab ENJIN CARIAN dan masukkan istilah yang Tuan ingin gelintar (search). Tuan boleh lakukan carian umum dan carian spesifik. Tuan juga boleh mendapatkan padanan bagi istilah teknikal yang biasanya digunakan dalam bidang akademik dengan mengklik tab DAFTAR ISTILAH.

Screenshot 2016-02-05 15.50.02

  1. Aplikasi telefon bimbit “Kamus Pro” (gelintar di Play Store)

Telefon pintar penterjemah turut perlu dilengkapi oleh aplikasi ini. Muat turun secara percuma di Play Store dengan menggelintar “Kamus Pro”.

2016-02-05 07.50.57

  1. Aplikasi telefon bimbit “Merriam-Webster Dictionary” (gelintar di Play Store)

Selain kamus dwibahasa, penterjemah juga sebenarnya perlu membiasakan diri dengan kamus monobahasa. Hal ini bagi membolehkan penterjemah memahami sesuatu perkataan dengan lebih baik dalam konteks bahasa asalnya berbanding dari perspektif terjemahan. Adakala dengan memahami maksud perkataan bahasa Inggeris dalam definisi bahasa itu sendiri lebih memudahkan penterjemah mendapatkan padanan kata BM yang sesuai tanpa perlu menyemak kamus dwibahasa. Hal ini kerana penterjemah boleh tenggelam dan lemas dalam lautan aksara di dalam kamus dwibahasa.

2016-02-05 07.50.06

Ikuti artikel saya yang seterusnya (akan diterbitkan) kerana saya mahu berkongsi kaedah yang biasanya saya gunakan untuk mengoptimumkan penggunaan PRPM (rujuk perkara #1).

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL