no comments

Makan Gaji VS Kerja Sendiri

Persoalan yang kerap berlegar di minda setiap graduan. Antara makan gaji vs kerja sendiri yang mana satu harus dipilih? Jawapannya amat bergantung pada apa wang diingini kerana setiap pilihan mempunyai pro dan kontra. Ya, ramai yang memilih kerja berdasarkan minat dan kelayakan mereka. Kita diberi pilihan dan setiap orang berhak untuk memilih sesuatu untuk kebaikan dirinya untuk jangka masa panjang.

Bermula dengan kerja makan gaji, maksudnya bekerja di bawah orang lain sama ada dalam sektor awam atau swasta. Sektor awam seperti jabatan-jabatan di bawah naungan kerajaan Malaysia atau kerajaan negeri, sekolah rendah, sekolah kebangsaan, universiti dan sebagainya. Sektor swasta pula contohnya bekerja di syarikat-syarikat Berhad, Sendirian Berhad atau Enterprise. Makan gaji bererti bekerja untuk majikan di mana majikan akan memberikan upah yang tetap pada setiap hujung bulan. Si pekerja pula tahu bagaimana untuk meneruskan kehidupan dengan upah yang diberikan. Faktor kecemasan dan kemalangan mungkin tidak akan menggugat situasi si pekerja kerana ia dijamin oleh majikan tetapi bagi mereka yang bernama majikan, mereka perlu mencari jalan untuk membayar upah kepada pekerja mereka.

Tahu kah anda lebih separuh dari rakyat Malaysia menjana pendapatan dengan makan gaji. Antara tarikan yang paling menarik untuk bekerja makan gaji ialah menerima gaji setiap bulan sama ada melalui cek atau terus dikreditkan ke dalam akaun bank selagi mereka bekerja dengan syarikat tersebut. Ini berbeza dengan orang yang berniaga yang mungkin mengalami kemelesetan bisnes yang seterusnya mengganggu pendapatan mereka. Antara kelebihan makan gaji ialah dapat memperoleh gaji secara tetap setiap bulan, mudah mendapat pembiayaan pinjaman seperti membeli rumah, kereta, kad kredit dan sebagainya, dapat menikmati kemudahan perubatan di klinik panel dan juga rawatan di hospital dibiayai, berpeluang mendapat bonus tahunan, kenaikan pangkat dan pembangunan kerjaya.

Bagi mereka yang bekerja sendiri pula, mereka perlu mencari jalan bagaimana mereka dapat membayar upah kepada diri mereka sendiri. Mungkin mereka tahu dan tidak tahu berapa upah yang mereka perlukan setiap bulan, ini kerana mereka bekerja untuk hidup. Mereka tidak bergantung kepada majikan, mereka tidak bergantung kepada pekerja, mereka bergantung kepada diri sendiri. Faktor kecemasan dan kemalangan akan memberikan kesan kepada mereka sendiri jika mereka tidak berusaha untuk mendapatkan upah yang dapat membiayai faktor kecemasan tersebut. Dalam erti kata lain, kerja sendiri ialah bisnes atau perniagaan. Bidang perniagaan ini luas. Kerja sendiri ini mempunyai cabaran dan risikonya yang tinggi, ditambah pula dengan modal yang menelan kos yang jumlahnya agak besar. Namun semua itu dapat dikurangkan sekiranya mendapatkan khidmat nasihat pakar daripada syarikat yang berkelayakan seperti FAMA, SIRIM dan sebagainya. Mereka akan membantu dari segi pinjaman dan khidmat sokongan sehingga seseorang usahawan itu dapat “berdiri di atas kaki sendiri” dalam perniagaan.

Perniagaan yang bersaiz kecil, jika diusahakan dengan betul akan membuahkan hasil yang lumayan dan mampu berkembang menjadi sebuah konglomerat yang besar dan disegani. Perniagaan yang melibatkan ratusan ringgit pada mulanya boleh mencapai nilai jutaan ringgit. Sebagai contoh, lihat sahaja Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang bermula sebagai peniaga pasar dan akhirnya mencapai status antara orang terkaya di Malaysia. Antara kebaikan menjalankan bisnes ialah hasil pendapatan boleh mencecah angka yang jauh lebih lumayan daripada kerja makan gaji. Sekiranya bisnes dikendalikan oleh pekerja-pekerja yang cekap dan dijalankan dengan penglibatan minimum oleh pemilik bisnes tersebut, kebebasan masa dapat diperoleh ? Selain itu, tiada kerenah birokrasi untuk mendapat cuti atau naik pangkat seperti mereka yang makan gaji. Di samping itu, pemilik bisnes dapat membantu masyarakat dengan menyediakan peluang pekerjaan dan menjana pertumbuhan ekonomi negara. Dan yang paling penting, pemilik bisnes berpeluang untuk menjadi jutawan dan merasai kebebasan kewangan.

Makan Gaji Kerja Sendiri
Masa ditetapkan : 8.00 Pagi hingga 5.00 Petang Masa Bebas
Pendapatan Tetap Pendapatan Tidak Menentu
Cuti Tahunan : Cuti anda ada kadar tertentu yang telah ditetapkan setahun, tidak dibenarkan cuti sesuka hati Cuti Harian : Tidak perlu risau perihal cuti kerana diri sendiri yang ditetapkan
Tempat Kerja Ditetapkan Tempat Kerja Sendiri

Tidak dinafikan ramai yang tidak suka menghadap kesesakan lalu lintas, bos yang suka mengambil kesempatan, rakan sekerja yang menjengkelkan, gaji kecil dan segala macam sebab. Hari-hari mengeluh mengenangkan nasib. Belajar berbelas-belas tahun, apabila sudah mendapat ijazah, berusaha pula berhempas pulas untuk menjadikan orang lain kaya. Adakah ia satu tindakan yang bijak? Sedangkan Rasullah s.a.w pernah berkata bahawa 9 daripada 10 punca rezeki datangnya daripada perniagaan, tetapi ramai yang masih bergantung pada 1 punca rezeki! Islam menggalakkan umatnya untuk berniaga kerana perniagaan itu tidak kiralah kecil atau besar mampu mengubah hidup seseorang dari kehidupan biasa-biasa kepada kehidupan “luar biasa”.Lihat sahaja contoh isteri nabi iaitu Siti Khadijah merupakan seorang peniaga yang kaya-raya.

Orang yang paling bahagia dan paling puas adalah mereka yang mempunyai perniagaan mereka sendiri. Mereka memiliki kebebasan masa dan wang. Mereka yang berjaya dalam perniagaan terdiri dari mereka yang bekerja keras. Sekiranya seorang pekerja boleh mendedikasikan bertahun-tahun hidup pada sebuah syarikat, hakikatnya pekerja itu sendiri tidak dapat mengawal apa yang akan berlaku kepada syarikat itu seperti perubahan pengurusan, syarikat diambil alih oleh bos lain dan pertukaran polisi dll. Perkara ini akan memaksa perubahan mendadak pada diri pekerja itu tanpa diduga. Begitu juga dengan bekerja sendiri. Risiko untuk menghadapi persaingan, perubahan, kegagalan dll itu sebenarnya lebih kurang sama dengan bekerja sendiri!

Baru-baru ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP) dek kerana ingin menggalakkan rakyat Malaysia yang tidak didaftarkan secara rasmi sebagai pekerja untuk mencarum kepada KWSP di bawah kategori bekerja sendiri sebagai usaha untuk menabung bagi persaraan mereka. Maka tiada alasan lagi mereka yang bekerja sendiri untuk tidak mempunyai jaminan kewangan untuk hari tua

Golongan peniaga juga dikatakan lebih berminat daripada yang bekerja sendiri. Mengapa? Di alam perniagaan, pulangan di atas kertas memang cantik. Berhabis sejuta boleh dapat 2 juta dalam masa kurang 12 bulan (100% ROI setahun). Tapi realitinya boleh berbeza sama sekali. Pemilik perniagaan sentiasa berhadapan dengan risiko muflis sekiranya pinjaman bank tidak dapat dibayar tepat pada masanya. Terlalu banyak uncertainty yang menjadikan pemilik perniagaan lebih berusaha. Lebih beriman. Kedua, sebagai majikan, sudah menjadi tanggungjawab untuk menjaga para pekerja. Majikan mungkin tahu yang pekerja menghadapi kesukaran untuk survive dalam suasana kos kehidupan yang tinggi dengan gaji yang diberi. Namun, tahu saja tak cukup. Justeru, pemilik perniagaan perlu fikirkan bagaimana untuk meningkatkan hasil perniagaan agar gaji pekerja dapat ditingkatkan dan beban mereka juga boleh diringankan. Lebih berat nak memahamkan pekerja yang kita cuba nak tolong tu agar sama-sama berusaha supaya sama-sama dapat manfaat. Lebih berusaha. Lebih beriman.

Ketiga, pemilik perniagaan tidak memikirkan elemen kenaikan pangkat atau gaji. Sebaliknya, faktor keuntungan dan kerugianlah yang menjadi pertaruhan mereka. Sehubungan dengan itu, mereka mempunyai pertimbangan sama ada mampu atau tidak perniagaan itu dikendalikan dengan baik dan menguntungkan ataupun sebaliknya. Andainya perniagaan yang diusahakan menemui kegagalan, mereka tidak berputus asa, sebaliknya mereka memikirkan tindakan alternatif untuk memulihkannya. Hal inilah yang menjadi keistimewaan sebagai usahawan. Semangat keusahawanan mengatasi segala semangat bekerja, mereka dapat memikirkan alternatif yang terbaik untuk mengatasi kegagalan yang dihadapi. Semangat begini berbeza daripada pekerja makan gaji, iaitu masa bekerja telah ditetapkan, selepas itu, mereka tidak perlu lagi memikirkan masalah yang timbul di pejabat dan tidak perlu mencari kaedah untuk mengatasi masalah. Lebih berusaha. Lebih beriman.

Namun, bukan semua kerja dengan orang itu sesuatu yang buruk. Sebagai contoh, guru, doktor, posmen, pemandu bas, penebar roti canai, penoreh getah dan sebagainya mempunyai peranan mereka sendiri. Kalau tiada mereka, anda mungkin tidak dapat menikmati roti canai yang sedap. Anda mungkin akan mati kerana tidak diberikan ubat yang dapat menyembuhkan penyakit anda. Kereta mewah yang anda pandu mungkin tidak akan gunakan tayar getah yang berkualiti. Anak anda mungkin tidak akan menjadi insan yang handal pada suatu masa nanti disebabkan tiada guru yang berminat untuk mengajar.

Anda boleh lihat di sini bahawa inilah pengorbanan mereka kepada sosial. Inilah sumbangan mereka kepada perkembangan ekonomi. Inilah juga sumber pendapatan internet anda sekiranya produk yang anda jual dibeli oleh mereka. Sesetengah orang memang tidak mempunyai kemahiran untuk menjadi usahawan dan tidak pun berminat untuk menjadi usahawan. Disebabkan faktor tertentu, mungkin mereka lebih sesuai untuk menjadi pekerja seumur hidup mereka.

Orang yang makan gaji selalu fikir di kepala bilalah nak jadi kaya. Seolah-olah tidak bersyukur apa yang mereka ada selama ini dan merasakan tidak pernah cukup. Tetapi pernah tak mereka terfikir perasaan orang yang sedang mencari pekerjaan. Bukankah mereka (makan gaji) berada dalam kedudukan yang lebih baik?

Makan gaji atau bekerja sendiri bukan menjadi soalnya. Sebenarnya, ia bukanlah sesuatu perkara yang penting untuk menentukan yang mana lebih baik, asalkan anda gembira dengan apa yang anda lakukan. Itu lah yang terlebih baik. Ramai orang amat gembira untuk bekerja makan gaji. Mereka suka dengan kerja yang mereka lakukan, mereka gembira dengan semua rakan-rakan di tempat kerja dan mereka hidup gembira dengan keadaan itu. Dan sesetengah orang pula, sangat gembira menjalankan perniagaan sendiri, mereka bebas melakukan apa yang mereka suka lakukan, mereka gembira dengan hasil pendapatan yang mereka peroleh dan mereka hidup gembira dengan keadaan itu.

Sumber : Usahawan Berjaya

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL