no comments

Konsep Berniaga Cara Islam

Dalam artikel kali ini tentang beberapa isi penting konsep perniagaan cara Islam (yang menitik beratkan soal halal haram), yang boleh kita jadikan sebagai tanda aras kita dalam menguruskan perniagaan.

“Rezeki secupak tidak akan jadi segantang”

Frasa ini adalah pepatah Melayu lama. Dalam pepatah ini ada kebenarannya dan ada juga kesalahannya. Seperti yang kita sedia maklum, rezeki setiap manusia itu sudah ditentukan oleh Allah SWT sejak azali lagi, atau sejak mula manusia itu diciptakan.

Sehinggalah manusia itu menghembuskan nafas yang terakhir. Ketahuilah bahawa setiap butir rezeki yang ditakdirkan Allah kepada kita telah disusun aturkan oleh Allah dengan sangat teliti.

Oleh yang demikian, kita sebagai hamba-Nya, harus sentiasa bersyukur atas apa jua kurniaan dan rezeki yang Allah SWT limpahkan kepada kita. Ini sesuai dengan Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Janganlah kamu merasa, bahawa rezekimu terlambat datangnya, kerana sesungguhnya tidaklah seorang hamba akan mati, hingga telah datang kepadanya rezeki terakhir (yang telah ditentukan) untuknya, maka tempuhlah jalan yang baik dalam mencari rezeki, iaitu dengan mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram.” 

(HR. Ibnu Majah, Abdurrazzaq, Ibnu Hibban, dan al-Hakim, serta dishahihkan oleh al-Albani)

Namun begitu, timbul persoalan yang sentiasa bermain dihati,

“Kalau sudah ditakdirkan secupak, buat apa perlu kita ikhtiar lagi untuk mendapatkan segantang?”

Pendapat ini yang menjadi fahaman yang salah.

Siapakah yang tahu tentang secupak atau segantangnya rezeki seseorang. Tidak ada sesiapa yang tahu, melainkan Allah Yang Maha Memberi Rezeki.

Kita sebagai umat Islam tidak dibenarkan berfahaman sedemikian. Sebaliknya kita digalakkan untuk berusaha menggali rezeki semampunya.

Kemudian bertawakkal selepas berusaha. Menurut sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan tawakkal yang sebenar-benarnya, maka akan diberikan rezeki kepada kamu, sebagaimana burung diberikan rezeki, yang mana ia pergi di pagi hari dalam keadaan lapar, dan pulang pada waktu petang dalam keadaan kenyang, penuh perutnya”

(Hadith riwayat Tirmidzi, Hadith Hasan Sohih)

Rezeki Allah itu adalah satu ketentuan dan tidak perlu untuk kita takut kelaparan.

Kerana Allah SWT telah menjanjikan rezeki buat setiap hamba-Nya. Umpama seekor burung yang langsung tidak mengetahui di pohon manakah rezekinya akan ditemui, atau ulat manakah yang akan menjadi santapan keluarganya pada hari itu.

Kepentingan Berkat Dalam Mencari Rezeki

Keberkatan dalam kita memperoleh rezeki sangat dititik beratkan dalam Islam. Setiap ‘secupak’ yang kita perolehi dan bagaimana kita membelanjakannya akan ditanya kelak. Hanya Allah SWT yang berhak dan layak mencukupkan keperluan manusia. 

Pernahkah anda membaca Sirah Nabi yang menceritakan tentang seperiuk makanan yang mampu mengenyangkan sebatalion angkatan tentera?

Ada juga kisah Raja yang mati kekenyangan dalam mahligai besar yang tersergam indah dipenuhi harta dan kemewahan dunia. Semua ini kerja Allah Rezeki, ajal dan jodoh semuanya hanya Allah yang berhak menentukannya, dan ianya menjadi rahsia Allah Yang Maha Agung.

Sekiranya kita berniaga, laksanakannya dengan jujur dan amanah. Ikut cara Rasulullah SAW berniaga. Baginda Rasulullah sangat terkenal dengan sifat amanahnya. Sehinggakan Baginda Rasulullah SAW digelar Al-Amin yang bermaksud ‘Yang Amanah’.

Sebahagian peniaga tidak jujur dalam urusannya, dan mengurangkan timbangan malahan yang lebih teruk lagi tertanam sifat dengki serta hasad terhadap pesaingnya dalam perniagaan. Seperti menyantau atau menggunakan ilmu hitam semata-mata mahu menjatuhkan perniagaan pesaing. Persaingan dalam perniagaan itu biasa, dan sebagai peniaga yang kreatif, kita perlu memikirkan cara untuk mengatasi persaingan dengan cara yang sihat iaitu tidak memburukkan atau menjatuhkan mereka.

Ramai orang yang tidak belajar dengan betul tentang mengurus perniagaan, namun perniagaannya tetap utuh bertahun-tahun lamanya. Berapa banyak restoran yang makanannya tidak sedap dan suasananya tidak sehebat mana, namun pemiliknya tetap terus memperolehi rezeki dan keuntungan dari pelanggan.

Mungkin inilah yang dinamakan berkat dalam mencari rezeki. Jika halal sumber dan caranya, maka berkatlah hasilnya. Rezeki yang diperolehi setiap orang berbeza-beza. Ada yang memperolehinya dengan cara yang mudah, ada yang memperolehinya dengan dengan cara yang sangat susah. Begitulah ketentuan Allah dalam pemberian rezeki.

Suka untuk saya kongsikan disini, kisah benar dalam perniagaan. Sebuah syarikat telah diminta untuk memberi rasuah supaya mendapatkan kemudahan bagi memudahkan urusan perniagaannya. Demi menjaga amanah dan keberkatan, pemilik syarikat ini memilih untuk tidak menikmati kemudahan itu dengan tidak memberi rasuah. Agak sukar pada mulanya untuk beliau bersaing mendapatkan tender tersebut.

Namun, berkat tindakan beliau, akhirnya Allah telah mentakdirkan bahawa kemudahan itu tetap akan menjadi miliknya. Tidak berapa lama selepas itu, pegawai yang mengurus kemudahan itu bertukar, dan pengurus yang baharu membuat pertimbangan semula.

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL