no comments

Kegagalan Mengajar Lelaki Ini Erti Kejayaan Sehingga Berjaya Menggenggam Ijazah Sarjana

Nota Editor: Nukilan ini dipetik daripada Facebook Ameirul Azraie Mustadza yang berkongsikan kisah pengalaman dan cabaran beliau dalam mencapai sebuah kejayaan sehingga beliau menjadi seorang yang berkerjaya hingga menggenggam segulung ijazah sarjana.

Saya pernah beberapa kali menerima mesej daripada mereka yang menyatakan rasa kagum dengan apa yang saya capai sehingga hari ini. Setiap mesej sebegitu yang saya terima, buatkan saya tersenyum kerana tidak ramai yang tahu kejayaan yang dicapai ini adalah setelah saya melalui kegagalan yang sangat pahit.

Izinkan saya berkongsi satu cerita tentang sejarah hidup saya untuk dijadikan pedoman dan mungkin juga inspirasi untuk anda semua dalam mengejar cita-cita dan impian anda.

525574_10150930591377429_1852164442_n

Selepas tamat belajar pada Jun 2009, saya memulakan pencarian kerja di mana ketika itu dunia masih lagi dibelenggu oleh kemelesetan ekonomi. Alhamdulillah, setelah berusaha mencari, akhirnya saya diterima untuk mengikuti program latihan selama setahun bersama Technip dengan dibayar elaun sebanyak RM1,500 sebulan. Ini baru mukadimah ya, teruskan membaca.

Pada masa yang sama saya memasang impian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana. Ini kerana semasa saya di tahun akhir pengajian Ijazah Sarjana Muda saya ada terbaca artikel yang mengatakan di Malaysia berlakunya lambakan graduan kejuruteraan di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan salah satu cara untuk stay ahead of others adalah dengan memperbaiki diri dari sudut kelayakan akademik. Berbekalkan impian dan semangat mahu memperbaiki diri ini, ditemani oleh buah hati saya, Fara Fatihah kami sama-sama ke Open Day UTM KL.

fpree

Setelah saya berbincang dengan ibu bapa dan buah hati saya ketika itu, saya nekad untuk menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal di UTM KL secara separuh masa di mana kelas diadakan pada setiap hujung minggu, Sabtu dan Ahad. Ketika ramai yang menikmati hari hujung minggu dengan aktiviti yang jauh lebih menarik, saya menghabiskan masa hujung minggu menghadiri kelas.

Pengambilan pelajar pascasiswazah untuk Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal pada ketika itu cuma 10 orang dan bila digabungkan dengan pelajar semester lain ada lebih kurang dalam 20-25 orang. Bila saya mulakan pengajian, saya rasakan sayalah orang yang sudah cukup bersusah payah untuk mencari manisnya kejayaan. Tapi bila saya lihat ramai lagi manusia hebat seperti Tuan Azunaidi Abdul Aziz, Tuan Nik Ibrahim Mohd dan banyak lagi rakan sekelas lain yang berkelana setiap hujung minggu dari Kedah, Pahang dan negeri lain, saya rasa malu dengan definisi “susah payah” saya ketika itu. Melihat kegigihan mereka mencari ilmu untuk memperbaiki diri dan keluarga telah mengubah sedikit sebanyak perspektif saya mengenai kehidupan.

1919125_410912416124_3532795_n

Apabila saya berada di semester pertama, di tengah-tengah kesibukan menjalani latihan di Technip dan jadual hujung minggu yang padat, saya membuat keputusan untuk bertunang sekitar bulan Mac 2010 dan tidak lama selepas itu saya menduduki peperiksaan untuk subjek Advanced Mathematics dan coursework submission untuk subjek Computational Fluid Dynamics dan CAD. Saya rasakan dalam kesibukan saya menguruskan kehidupan ketika itu, saya telah berikan yang terbaik untuk ketiga-tiga subjek tersebut.

Namun begitu, apa yang saya jangka dan harapkan meleset sama sekali apabila saya gagal subjek CAD dan hanya berjaya mendapat GPA 2.67 yang merupakan lulus paling minimum dan dikenakan syarat supaya keputusan semester berikutnya perlu lebih dari 3.00. Pada ketika itu, hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa sedih dan kecewanya saya kerana setelah duit ayah saya sebanyak RM5,500 telah saya gunakan untuk bayaran yuran pengajian semester pertama saya telah gagal satu subjek dan cuma lulus bersyarat.

Ketika itu, saya cuma terfikir satu perkara, untuk menyerah kalah dan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia pengajian pascasiswazah berikutan kegagalan yang cukup pahit untuk saya telan. Saya masih ingat ketika saya menelefon ayah saya, Mustadza Md Yusop menyatakan betapa kesalnya saya atas kegagalan saya dan saya seperti mahu give up, ayah saya menenangkan saya yang telah tersedu menangis dengan mengatakan, “If this is what you want to do, just continue, ayah will always support you. Ayah percaya kalau Jaie work harder, you can improve your CGPA.” Ketika saya rasa, I’m a total failure and good for nothing, ayah sayalah manusia yang memulihkan semangat saya.

Setelah berfikir panjang, saya membuat keputusan untuk meneruskan pengajian ke semester dua dan menggunakan duit ayah saya sebanyak RM5,500 lagi untuk membayar yuran pengajian semester dua. Setelah semester dua berakhir, saya berjaya memperbaiki CGPA tetapi masih di bawah 3.00. Tinggal dua semester lagi dan saya perlu menamatkan pengajian dengan mencapai CGPA sekurang-kurangnya 3.00 dan ke atas untuk dianugerahkan Ijazah Sarjana.

Pada masa inilah ALLAH membantu saya dengan menemukan saya dengan Profesor Madya Dr. Intan Zaurah, seorang supervisor yang sangat-sangat membantu saya dalam pengajian saya untuk dua semester yang terakhir. Dipendekkan cerita, bermula dengan CGPA 2.67 pada semester pertama, saya berjaya menamatkan pengajian dengan CGPA 3.48. Daripada seramai 10 orang yang sama-sama memulakan pengajian dengan saya, hanya 2 orang sahaja yang berjaya menamatkan pengajian dan menggenggam segulung Ijazah Sarjana. Dan yang lebih manisnya apabila di semester akhir saya dikurniakan cahaya mata yang pertama. Pada ketika saya menerima segulung Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal barulah saya mengerti nikmat MANISNYA KEJAYAAN setelah merasai PAHITNYA KEGAGALAN.

10461743_10204746458557582_5759981770057168218_n

Kejayaan tidak datang tanpa usaha. Kejayaan tidak datang tanpa pengorbanan. Jika anda mulakan sesuatu, tetapkan matlamat dan berusaha sehingga matlamat itu tercapai. Jangan sesekali berhenti separuh jalan. Jika sekarang anda memiliki Sijil, perbaiki diri untuk menggenggam Diploma. Jika sekarang anda memiliki Diploma, perbaiki diri untuk menggenggam Ijazah Sarjana Muda. Dan begitulah seterusnya. Jika anda diuji sepanjang perjalanan mengejar kejayaan, itu perkara biasa kerana itu adalah tanda ALLAH sayangkan anda dan mahu anda bergantung harap pada-Nya.

12193419_10207580191399132_5847566727776479784_n

Kredit : Ameirul Azraie

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL