no comments

Panduan Penuh Kepada Para Graduan Mengenai Alam Selepas Tamat Belajar. Makan Gaji VS Kerja Sendiri

Persoalan yang sering bermain difikiran belia-belia muda setelah tamat pengajian di institut pengajian iaitu makan gaji atau kerja sendiri yang mana harus menjadi pilihan mereka? Jawapannya amat bergantung kepada apa yang diingikan setiap kerana setiap pilihan mempunyai pro dan kotra yang tersendiri. Ya, ramai graduan diluar sana yang menginginkan kerja berdasarkan minat dan kelayakan yang mereka perolehi. Anda semua diberikan pilihan dan setiap seorang dari anda berhak untuk memilih sesuatu unutuk kebaikan dirinya untuk jangka masa panjang.

Tahukah anda lebih daripada separuh rakyat Malaysia menjana pendapatan diperolehi daripada makan gaji. Antara tarikan yang paling menarik apabila bekerja makan gaji ini ialah menerima gaji setiap bulan sama ada iainya melalui cek atau terus dimasukan ke dalam akaun bank selagi mereka bekerja dengan syarikat tersebut. Ini sangat jauh berbeza dengan mereka yang berniaga dimana mungkin mengalami kemelesetan  bisnes yang seterusnya menggangu pendapatan mereka.

Diantara kelebihan makan gaji ialah memperolehi gaji secara tetap setiap bulan, mudah mendapat pembiyaan pinjaman seperti membeli rumah, kereta, kad kredit dan sebagainya dapat menikmati kemudahan perubatan di klinik panel dan juga rawatan di hospital dibiayai, berpeluang mendapat bonus tahunan, kenaikan pangkat dan pembangunan kerjaya.

Bagi mereka yang bekerja sendiri pula, mereka perlu mencari jalan bagaimana untuk membayar upah atau gaji kepada pekerja dan kepada diri sendiri. Mungkin mereka tidak boleh mengagak berapa ringgit mereka memperolehi income setiap bulan, ini disebabkan mereka bekerja untuk teruskan kehidupan. Mereka hanya bergantung kepada diri sendiri. Faktor kecemasan dan kemalangan akan memberikan kesan kepada mereka sendiri jika mereka tidak berusaha untuk mendapatkan upah yang dapat menampung kos pembiyaian kecemasan tersebut.

Perniagaan yang bersaiz kecil, jika diusahakan dengan betul akan membuahkan hasil yang lumayan dan mampu berkembang menjadi sebuah konglomerat yang besar dan disegani. Perniagaan yang melibatkan ratusan ringgit pada mulanya boleh mencapai nilai jutaan ringgit.

Syed Sebagai contoh, lihat sahaja Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang bermula sebagai peniaga pasar dan akhirnya mencapai status antara orang terkaya di Malaysia. Antara kebaikan menjalankan bisnes ialah hasil pendapatan boleh mencecah angka yang jauh lebih lumayan daripada kerja makan gaji. Sekiranya bisnes dikendalikan oleh pekerja-pekerja yang cekap dan dijalankan dengan penglibatan minimum oleh pemilik bisnes tersebut, kebebasan masa dapat diperoleh ? Selain itu, tiada kerenah birokrasi untuk mendapat cuti atau naik pangkat seperti mereka yang makan gaji. Di samping itu, pemilik bisnes dapat membantu masyarakat dengan menyediakan peluang pekerjaan dan menjana pertumbuhan ekonomi negara. Dan yang paling penting, pemilik bisnes berpeluang untuk menjadi jutawan dan merasai kebebasan kewangan.

Di bawah ini disenaraikan perbandingan ringkas antara makan gaji vs kerja sendiri:

Makan Gaji  Bekerja Sendiri
  • Masa Ditetapkan: Sekitar 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.
  • Masa Bebas : Terserah kepada individu.
  • Pendapatan Tetap: Setiap hujung bulan atau minggu ke-4 setiap bulan, gaji akan diberikan. Kadangkala, terdapat kenaikan pangkat yang menuntut kenaikan gaji.
  • Pendapatan Tidak Menentu: Gaji mengikut usaha. Naik turun keuntungan bergantung kepada kerajinan dan perancangan perniagaan.
  • CUTI Tahunan: Cuti anda ada kadar tertentu yang telah ditetapkan setahun, tidak boleh cuti sesuka hati.
  • CUTI Harian: Tidak perlu risau perihal CUTI kerana diri sendiri yang tetapkan.
  • Tempat Kerja Ditetapkan: Tempat kerja ditetapkan, mungkin jauh daripada rumah atau dekat.
  • Tempat kerja sendiri: Bebas menetapkan lokasi tempat kerja, sama ada di rumah atau di tempat lain yang berdekatan.

Tidak dinafikan ramai yang tidak gemar menghadapi kesesakan lalu lintas, bos yang suka mengambil kesempatan, rakan sekerja yang menjengkelkan, gaji kecil dan segala macam sebab. Hari-hari mengeluh mengenangkan nasib. Belajar berbelas-belas tahun, apabila sudah mendapat ijazah, berusaha pula berhempas pulas untuk menjadikan orang lain kaya. Adakah ia satu tindakan yang bijak?

rezeki

Sedangkan Baginda Nabi Muhamad S.A.W pernah bersabda bahawa 9 daripada 10 punca rezeki datangnya daripada perniagaan, tetapi ramai yang masih bergantung pada 1 punca rezeki! Islam menggalakkan umatnya untuk berniaga kerana perniagaan itu tidak kiralah kecil atau besar mampu mengubah hidup seseorang dari kehidupan biasa-biasa kepada kehidupan “luar biasa”. Lihat sahaja contoh isteri nabi iaitu Siti Khadijah merupakan seorang peniaga di zaman Baginda S.A.W.

Orang yang paling bahagia dan paling puas adalah mereka yang mempunyai perniagaan mereka sendiri. Mereka memiliki kebebasan masa dan wang. Mereka yang berjaya dalam perniagaan terdiri dari mereka yang bekerja keras. Sekiranya seorang pekerja boleh mendedikasikan bertahun-tahun hidup pada sebuah syarikat, hakikatnya pekerja itu sendiri tidak dapat mengawal apa yang akan berlaku kepada syarikat itu seperti perubahan pengurusan, syarikat diambil alih oleh bos lain dan pertukaran polisi dll. Perkara ini akan memaksa perubahan mendadak pada diri pekerja itu tanpa diduga. Begitu juga dengan bekerja sendiri. Risiko untuk menghadapi persaingan, perubahan, kegagalan dan sebagainya itu sebenarnya lebih kurang sama dengan bekerja sendiri.

Diantara kehidupan di dalam berkerja sendiri :-

  • Pemilik perniagaan sentiasa berhadapan dengan risiko muflis sekiranya pinjaman bank tidak dapat dibayar tepat pada masanya. Terlalu banyak uncertainty yang menjadikan pemilik perniagaan lebih berusaha. Lebih beriman.
  • Sebagai majikan, sudah menjadi tanggungjawab untuk menjaga para pekerja. Majikan mungkin tahu yang pekerja menghadapi kesukaran untuk survive dalam suasana kos kehidupan yang tinggi dengan gaji yang diberi. Namun, tahu saja tidak cukup. Justeru, pemilik perniagaan perlu fikirkan bagaimana untuk meningkatkan hasil perniagaan agar gaji pekerja dapat ditingkatkan dan beban mereka juga boleh diringankan. Lebih berat nak memahamkan pekerja yang kita cuba untuk menollong agar sama-sama berusaha supaya sama-sama dapat manfaat. Lebih berusaha. Lebih beriman.
  • Pemilik perniagaan tidak memikirkan elemen kenaikan pangkat atau gaji. Sebaliknya, faktor keuntungan dan kerugianlah yang menjadi pertaruhan mereka. Sehubungan dengan itu, mereka mempunyai pertimbangan sama ada mampu atau tidak perniagaan itu dikendalikan dengan baik dan menguntungkan ataupun sebaliknya. Andainya perniagaan yang diusahakan menemui kegagalan, mereka tidak berputus asa, sebaliknya mereka memikirkan tindakan alternatif untuk memulihkannya. Hal inilah yang menjadi keistimewaan sebagai usahawan. Semangat keusahawanan mengatasi segala semangat bekerja, mereka dapat memikirkan alternatif yang terbaik untuk mengatasi kegagalan yang dihadapi. Semangat begini berbeza daripada pekerja makan gaji, iaitu masa bekerja telah ditetapkan, selepas itu, mereka tidak perlu lagi memikirkan masalah yang timbul di pejabat dan tidak perlu mencari kaedah untuk mengatasi masalah. Lebih berusaha. Lebih beriman.

Bukan semua kerja dengan orang itu sesuatu yang buruk. Sebagai contoh, guru, doktor, posmen, pemandu bas, penebar roti canai, penoreh getah dan sebagainya mempunyai peranan mereka sendiri. Kalau tiada mereka, anda mungkin tidak dapat menikmati roti canai yang sedap. Anda mungkin akan mati kerana tidak diberikan ubat yang dapat menyembuhkan penyakit anda. Kereta mewah yang anda pandu mungkin tidak akan gunakan tayar getah yang berkualiti. Anak anda mungkin tidak akan menjadi insan yang handal pada suatu masa nanti disebabkan tiada guru yang berminat untuk mengajar.

Makan gaji atau bekerja sendiri bukan menjadi soalnya. Sebenarnya, ia bukanlah sesuatu perkara yang penting untuk menentukan yang mana lebih baik, asalkan anda gembira dengan apa yang anda lakukan. Itu lah yang terlebih baik. Ramai orang amat gembira untuk bekerja makan gaji. Mereka suka dengan kerja yang mereka lakukan, mereka gembira dengan semua rakan-rakan di tempat kerja dan mereka hidup gembira dengan keadaan itu. Dan sesetengah orang pula, sangat gembira menjalankan perniagaan sendiri, mereka bebas melakukan apa yang mereka suka lakukan, mereka gembira dengan hasil pendapatan yang mereka peroleh dan mereka hidup gembira dengan keadaan itu.

Sumber: Usahawan

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL