no comments

Nasihat Seorang Professor Kepada Pelajar PhD, Tepuk Dada Tanya Selera

Nota Editor: Pengalaman ini telah dikongsikan oleh Mulan iaitu seorang blogger yang telah menamatkan pengajiannya dalam dunia PhD. Semoga segala perkongsian ini dapat memberi sedikit pengajaran kepada anda. 

Skills, Knowledge, Abilities

Saya ingin berkongsi cerita tentang perbualan saya dengan seorang Professor disini. Beliau bercerita, PhD adalah satu perjalanan pencarian ilmu. Setiap yang mendaftar sebagai pelajar PhD sepatutnya sedar bahawa proses pencarian adalah sesuatu yang sukar dan penuh dengan ketidakpastian. Semua kerja perlu dilakukan dengan sabar disertakan dengan niat untuk menambah ilmu. Beban bertambah bagi golongan seperti saya yang pasti akan dipertanggungjawabkan untuk menyelia pelajar lain apabila tamat pengajian.

Yang menariknya, beliau mengingatkan, sama seperti perjalanan lain dalam hidup, perjalanan PhD juga adalah jalan singkat. Pesan beliau, jangan sesekali terpedaya dengan jalan singkat yang akhirnya merugikan diri sendiri. Saya tidak faham dan meminta beliau menerangkan dengan lebih lanjut. Dengan senyum, beliau berkata adalah tidak mustahil untuk mendapatkan PhD walaupun kandungan tesis penuh dengan kesilapan. Semua itu berlaku dizaman sekarang kerana PhD berhubung rapat dengan hubungan antara manusia.

Seterusnya beliau mengingatkan jangan sesekali berasa selesa apabila penyelia tidak mengkritik kerja-kerja kita sebagai pelajar atau sentiasa memberi komen yang menggembirakan kita. Sebagai pelajar kita harus sedar yang penyelia juga manusia dan manusia itu sudah semestinya punya pelbagai niat, gaya, rupa dan cara. Beruntung sekiranya pelajar mendapat penyelia yang menjalankan tugas penuh integriti. Tambah beliau, adalah lebih baik kalau pelajar selalu mendapat krikitan dari penyelia kerana secara tidak langsung menunjukkan penyelia benar benar membaca kerja pelajar.

Sebelum meninggalkan saya, beliau berpesan setiap tesis pasti ada kesilapan dan anda akan merasa malu untuk membaca tesis anda sendiri selepas 5 tahun anda berjaya mendapatkan PhD. Namun begitu, tanggungjawab besar adalah untuk memastikan tesis yang dihantar mempunyai kualiti dan tidak dipenuhi dengan kesilapan-kesilapan yang TIDAK boleh dimaafkan. Jangan biarkan pembaca tesis anda terutamanya pelajar yang sedang membuat PhD mempersoalkan bagaimana anda berjaya mendapatkan PhD berdasarkan tesis yang sedemikian rupa. Berdoalah agar penyelia dan juga pemeriksa anda merupakan mereka yang menjalankan tugas penyeliaan dan pemeriksaan dengan penuh tanggungjawab dan mempunyai niat untuk percambahan ilmu. Ingatlah, dizaman sekarang semuanya bole terjadi!

Di sepanjang tempuh pengajian, saya tidak putus berdoa agar penyelia dan juga pemeriksa yang akan dilantik nanti menjalankan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab. Sekurang kurangnya tesis tidak dipenuhi dengan kesilapan BESAR yang akan membuat hati sesiapa yang membaca tesis saya tertanya tanya tentang status PhD saya.

(مَنْ أَرَادَ الدُّنْيَا فَعَلَيْهِ بِاْلعِلْمِ وَ مَنْ أَرَادَ ْالآخِرَةِ فَعَلَيْهِ بِاْلعِلْمِ وَ مَنْ أَرَادَ هُمَا فَعَلَيْهِ بِاْلعِلْمِ)

Ertinya:

Barangsiapa yang menginginkan kehidupan dunia, maka ia harus memiliki ilmu, dan barang siapa yang menginginkan kehidupan akhirat maka itupun harus dengan ilmu, dan barang siapa yang menginginkan keduanya maka itupun harus dengan ilmu. (HR. Thabrani)

KOMEN ANDA

Komen

TENTANG KAMI | PENAFIAN | HUBUNGI | HANTAR ARTIKEL